Terkini

Showing posts with label Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Show all posts
Showing posts with label Ustaz Zaharuddin Abd Rahman. Show all posts

Sunday, 27 July 2008

Zalim bukan penentu riba

RAMAI terkeliru dalam hal ini apabila mengatakan setiap kezaliman dalam urusan kewangan adalah riba. “Bukankah riba itu diharamkan kerana zalimnya,” kata seorang pelajar sarjana syariah pada saya.

“Oh tidak, saudara tersilap faham. Mengelak kezaliman bukan ‘illah kepada riba, tetapi ia hanya hikmah dan kebijaksanaan di sebalik pengharaman riba. Ia dua perkara berbeza,” ulas saya. “Tak faham,” dia membalas lemah.

Untuk memahami perbezaan, kita perlu faham apa itu ‘illah dan syaratnya. Secara ringkas, ‘illah boleh dikatakan sebagai satu asas atau sifat yang standard.

Apabila sifat ini (’illah) ada dalam sesuatu transaksi, hukumnya akan mengikutnya lalu menjadikan transaksi atau tindakan itu haram, makruh atau halal dan sebagainya.

Disebutkan dalam kaedah Fiqh: Hukum (dalam Fiqh Islam) itu berpusing (mengikut) ‘illahnya, jika ada ‘illahnya maka hukumnya juga ada, jika ‘illah tu tiada maka hukum juga tiada. (‘Ianah At-Tolibin, 2/290; Nihayatul Muhtaj, 3/292; Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 24/159)
Contoh mudah ialah arak. ‘Illah pengharaman arak adalah mabuk, manakala hikmah di sebalik pengharaman arak yang memabukkan ini adalah untuk menjaga akal manusia.

Justeru, semua benda yang memabukkan minda apabila diminum atau makan (bukan dengan tujuan perubatan — ia ada perbincangan lain) dikira arak yang haram.

Apabila minuman dan makanan itu tidak memabukkan, sama ada banyak atau sedikitnya, ia bukan arak dan tidak haram.

Demikian juga hukum musafir yang layak mengqasarkan solat. Apakah ‘illah perjalanan untuk dikategorikan sebagai musafir?

Perlu difahami, bukan kesusahan perjalanan, lelah dan letih atau ‘masyaqqah’ dalam perjalanan yang menyebabkan sesuatu perjalanan itu diiktiraf sebagai musafir (daripada sudut hukum) sehingga layak diberi kemudahan qasar solat.

Ini kerana kesusahan berbeza-beza di antara seseorang dengan yang lain. Ketidaktentuan ini dinamakan ‘tidak standard’, sekali gus menyebabkan ‘susah’ tidak boleh dijadikan ‘illah dalam mengenal pasti sesuatu perjalanan itu musafir atau tidak.

Majoriti ulama bersetuju jarak kilometer tertentu atau dua marhalah adalah paling sesuai dianggap sebagai ‘illah bagi menentukan satu perjalanan itu musafir atau tidak.

Justeru, setiap perjalanan yang mencecah dua marhalah (bersamaan 84 atau 85 kilometer/km), mazhab Hanafi pula mengatakannya 90 kilometer (Al-Majmu’, 4/322; Fiqh Islami Waadillatuh, Az-Zuhayli)

Justeru, apa saja perjalanan yang mencecah 85 km secara automatik digelar musafir di dalam Islam, lalu layak untuk qasar solat dalam perjalanan sebegini tanpa mengira sama ada perjalanan itu sukar atau tidak, meletihkan atau tidak.

Bagaimana pula riba?

Adakah zalim sesuai dijadikan ‘illah? Jika sesuai, ini bermakna setiap yang zalim itu riba? Ulama bersepakat ‘zalim’ tidak sesuai kerana ia satu sifat yang tidak mundabid (standard).

Dikenakan faedah sebanyak RM500 ke atas pinjaman RM1 juta mungkin dianggap tidak zalim menurut logik akal berbanding jika dikenakan RM200,000, terutama jika si peminjam adalah usahawan berjaya.

Namun, RM500 yang sama juga mungkin dianggap zalim bagi usahawan yang belum maju. Oleh itu, jika zalim dijadikan ‘illah kepada riba, hukum akan menjadi permainan dan sentiasa berubah mengikut nafsu manusia.

Ramai pula yang mendakwa dizalimi dan ramai pula yang mengatakan tidak.

Saya masih ingat tercatat di dalam kitab Usul Fiqh yang unggul bertajuk Al-Mustasfa karangan Imam Abu Hamid Al-Ghazzali, kisah seorang raja yang melakukan kesalahan bersetubuh pada siang hari Ramadan.

Hukumannya adalah berdasarkan hadis sahih ini: “Datang kepada nabi seorang lelaki yang menyetubuhi isterinya pada siang hari Ramdan. Nabi bertanya: “Adakah kamu mempunyai hamba untuk dibebaskan?” Lelaki itu berkata: “Tiada.” Nabi membalas: “Adakah kamu boleh berpuasa 60 hari berturut-turut?”

Lelaki itu berkata: “Tidak berupaya wahai rasul.” Nabi membalas: “Adakah kamu mempunyai makan yang boleh memberi makan 60 orang miskin?” (Riwayat Al-Bukhari, no 1835, 3/684)

Justeru, pandangan majoriti ulama. Kafarah atau denda bagi kesalahan itu, mestilah mengikut tertib:

1. Membebaskan hamba

2. Puasa 60 hari berturut-turut

3. Memberi makan 60 orang miskin

Apabila raja merujuk kepada kadi, kadi terus memberi hukuman puasa 60 hari berturut-turut kepada raja dengan alasan hukuman pertama terlalu mudah bagi raja kerana dia kaya dan ada ramai hamba.

Lalu dibimbangi ia tidak memberi kesan kepada raja. Tindakannya berdasarkan maslahat yang dilihatnya lebih penting daripada berpegang kepada nas hadis yang menyebut bebaskan hamba terlebih dulu.

Anda mungkin bersetuju dengan tindakan kadi tadi. Betul, tidak?

Namun tindakan kadi ini dijadikan contoh popular bagi semua yang mempelajari ilmu usul fiqh, iaitu contoh bagaimana ‘maslahat mulgha’ (maslahat yang tertolak) atau ‘kepentingan’ yang disalah guna sehingga melanggar nas hadis yang spesifik memberi tertib hukuman kaffarah.

Tindakan kadi ini ditolak oleh ulama usul fiqh. Imam Al-Ghazzali, ketika memberi komen terhadap kes di atas, berkata: “Tindakan dan kata-kata seperti tadi (keputusan tadi) adalah pendapat yang batil serta bercanggah dengan nas daripada al-Quran berselindung di sebalik nama maslahat, sebarang tindakan membenarkannya berlaku akan menyebabkan perubahan seluruh undang-undang syariat dan nasnya atas sebab perubahan lokasi dan masa. (Al-Mustasfa Min ‘Ilmi Al-Usul, 1/216, cet Ihya At-turath Al-Arabiy)

Lihat, apabila nas sudah jelas, tiada elemen logik, reda dan perasaan kemanusiaan boleh masuk campur untuk membatalkannya. Kecuali dalam isu hukum yang terbuka untuk itu, tetapi tidak dalam isu ini dan juga riba.

BERSAMBUNG

MINGGU DEPAN


(My Metro/oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 18 February 2008

Tuesday, 29 January 2008

Status caj PTPTN


Oleh Zaharuddin Abd Rahman
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM



LAPORAN akhbar mengenai caj perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik perhatian saya. Laporan itu menyatakan Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail akan membawa isu caj ini ke Majlis Fatwa Kebangsaan bagi ‘membersihkan’ salah faham dan kekeliruan mengenainya.Saya amat menghargai hasrat Pengerusi PTPTN itu. Ia adalah tindakan yang amat wajar. Namun, harapan, bayangan dan pendapat awal beliau mungkin boleh menyebabkan disilap tafsirkan, beliau dilaporkan oleh akhbar sebagai berkata:“Walaupun kami tahu caj itu caj perkhidmatan, tidak bertentangan dengan syarak, namun nama baik PTPTN mesti dipertahankan. Caj itu bukan riba tetapi adalah caj yang dikenakan selepas perkhidmatan diberikan.”


Kos Pentadbiran Yang Bermasalah.


Kita semua mengetahui dengan jelas bahawa PTPTN menggunakan akad pinjaman kepada pelajar. Ia sangat jelas termaktub di dalam laman web PTPTN. (Rujuk http://www.ptptn.gov.my/ web/guest/anjung).
Keputusan persidangan ulama antarabangsa di bawah Badan Kewangan & Perakaunan Islam Antarabangsa (AAOIFI) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan daripada jumlah yang diberi pinjam yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau akad pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah dilarang sama sekali dan ia adalah RIBA. (Rujuk www.aaoifi.com) Bagaimanapun, dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Syariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ia adalah KOS SEBENAR.Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut “It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given).” (Tidak dibenarkan untuk mengaitkan caj kepada jumlah yang diberikan.” (Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338).Ini kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan sistem yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.Resolusi mereka juga menyebut adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih daripada kos sebenar, justeru ulama di persidangan tadi mewasiatkan supaya cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya.Selain itu, keputusan mereka juga menyebut kos tidak langsung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman.Malangnya, cara caj perkhidmatan yang dapat dilihat di PTPTN tidak menepati cara yang digariskan oleh majlis ulama dunia ini. Selain itu, fakta terpenting untuk difahami juga adalah riba tidak mengira sama ada dicaj di awal perkhidmatan atau selepas perkhidmatan diberikan. Ia adalah sama saja selagi mana caj dan kiraan sedemikian diletakkan di dalam akad atau kontrak pinjaman.


Cara Kiraan

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 3 peratus daripada jumlah pinjaman berbaki setiap bulan dengan hujah ia adalah kos pengurusan yang halal dan sebenar sukar untuk diiktiraf oleh mereka yang benar-benar faham isu kewangan dan syariah.Malah, formula kiraan caj perkhidmatan ini juga bersifat ‘reducing balance’ dan ‘monthly rest’. Formulanya kiraan caj perkhidmatan seperti berikut (rujuk http://www.ptptn.gov.my/c/ portal/layout?p_l_id =PUB.1.150)Kos Pentadbiran Bulanan = 3 peratus x baki jumlah semasa x 1/12Cara kiraan ini adalah hampir serupa dengan kiraan pinjaman riba dalam pinjaman perumahan di bank konvensional, bezanya ia lebih murah daripada kadar riba bank konvensional yang bersifat komersial itu.Sebutan mudahnya, setiap bulan sejumlah riba akan diambil daripada peminjam berdasarkan baki ‘outstanding balance’ dalam bulan berkenaan.Untuk menjelaskan cara kiraan, katalah pinjaman saya seperti berikut:Jumlah Pinjaman Pelajaran: RM 19,500 (pinjaman penuh aliran Sastera di IPTA untuk tiga tahun) Tempoh bayaran semula: 120 bulan (sebagaimana ditetapkan)Caj Perkhidmatan: 3 peratus = Jumlah keseluruhan untuk 120 bulan = RM 3821.38Cara kiraan penuhnya, anda boleh masukkan info di capaian halaman berikut: http://www.ptptn.gov.my/web/guest/loan_calc


Alternatif Cara Islamnya Bagaimana?


Mesti ramai yang meminta cara alternatif sejurus saya menyuarakan kritikan ini. Sebenarnya adalah rumit untuk saya menyuarakan di sini kerana ruang yang terhad dan kesukaran menerangkan melalui tulisan.Namun, saya cuba menuliskan semudah dan seringkas mungkin, yang pasti tiada darurat untuk menggunakan sistem kiraan dan akad pinjaman dengan caj perkhidmatan begini. Ini kerana terdapat cara lain yang disepakati menepati cara syariah dan diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Ia adalah seperti berikut:1. PTPTN perlu mendapatkan hak milik ke atas beberapa tempat atau ‘seat’ di IPTA dan IPTS. Sebagai contoh PTPTN mengadakan MOU dengan universiti tempatan untuk menempah dan menyewa 1,000 kelayakan untuk belajar bagi setiap universiti. Akad Ijarah (sewa) akan ditandatangani oleh PTPTN dan universiti berkenaan. Ia dinamakan sewa ‘Intangible Asset’ dan telah disahkan menepati hukum syariah oleh ulama sedunia jika menepati semua syarat Ijarah yang lain.2. Dengan termeterainya akad ini, PTPTN sudah dianggap sebagai pemilik 1,000 tempat belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia dan lain-lain (ini adalah contoh saja). 3. Setelah itu, apabila ada pelajar mendapat surat tawaran daripada mana-mana universiti yang disebutkan tadi, setiap pelajar yang mendapat surat tawaran ini boleh dan berpeluang untuk menyewa daripada PTPTN salah satu dari 1,000 tempat yang telah ditempah oleh PTPTN dengan kerjasama universiti tadi. Melalui cara ini, bermakna proses ‘sub-lease’ berlaku, iaitu universiti menyewakan tempat kepada PTPTN dan kemudian PTPTN menyewakan kepada pelajar dengan harga sewaan yang ‘fleksible’ mengikut formula tertentu.Jumlah sewaan pula boleh diselesaikan oleh pelajar selepas tamat belajar. Ia tiada sebarang masalah daripada sudut syariah. Banyak lagi perkara teknikal di sini dan sukar untuk saya jelaskan semuanya. Namun, perlu difahami, ia boleh diuruskan menurut syariah melalui Akad Ijarah. 4. Hasilnya, PTPTN akan perlu membayar sewa kepada universiti atas Akad Ijarah. Jumlah ini termasuk jumlah yuran pelajar terbabit.Itulah secara ringkas proses yang boleh dilaksanakan untuk memperkenalkan sistem pembiayaan pendidikan secara Islam. Malah, produk seperti ini telah dilaksanakan di beberapa institusi kewangan Islam di Timur Tengah. Maka bertepatan dengan hasrat Malaysia untuk menjadi pusat kewangan dan perbankan Islam sedunia, langkah kreatif ini wajib diambil.Jika ada pihak berasa sukar untuk dilaksanakan proses ini, cara Akad Bai Tawarruq yang digunakan secara meluas di Timur Tengah juga boleh difikirkan. (Rujuk www.zaharuddin.net)KesimpulanIlmu yang tersedia ada di dalam khazanah Fekah Islam mampu dihidupkan kembali dengan pendekatan baru jika ada yang benar-benar serius menggali dan mengusahakannya. Saya yakin, rakan tenaga pakar kewangan Islam dan syariah di UIAM dan lain-lain IPT berbesar hati untuk membantu PTPTN menstrukturkan kaedah pembiayaan pendidikan baru yang diiktiraf oleh ulama seluruh dunia. Insya-Allah.Apapun, kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan terutama universiti itu sendiri. Tanpa persetujuan universiti untuk bekerjasama melaksanakan struktur Ijarah, kaedah baru ini akan terbengkalai dan masalah riba pasti akan berterusan. Moga Allah menyelamatkan dan menyedarkan kita daripada dosa riba yang tidak berbau itu. Saya juga amat berharap mufti dapat menilai sebaiknya semua isu syariah dan fatwa antarabangsa yang telah dibuat mengenai caj sebegini sebelum mereka membuat sebarang ijtihad kelak.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 18 December 2007

Darurat Pinjaman

Oleh Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
“USTAZ, saya cuba memohon pembiayaan daripada bank Islam, tetapi mereka tolak. Adakah saya berdosa jika kemudian mendapatkan pinjaman riba daripada bank konvensional?” Demikian pertanyaan seorang pemuda berusia 30-an kepada saya sejurus kuliah yang panas berkaitan isu kewangan di sebuah masjid.“Puas saya memohon daripada bank Islam, tapi semuanya ditolak. Kata nak selamatkan orang daripada riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya?” luah seorang lagi pembaca menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya.
“Cerewet benar prosedurnya (bank Islam). Sepatutnya dimudahkan bagi menyelamatkan orang daripada riba. Ini tidak, kena tolak (permohonan) pula. Jadi daruratlah untuk ambil konvensionalkan, ustaz?” tanya seorang ibu tiga anak ketika waktu rehat satu Kursus Kewangan Islam kepada saya, baru-baru ini.Adakah darurat atau hajiat apabila permohonan ditolak?“Belum lagi,” itu jawapan ringkas saya. Hujahnya saya sebutkan dulu iaitu: Ertinya: “Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana darurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya darurat itu selepas usaha pencarian (yang halal).” (Syarhul Umdah, 1/426)Justeru dalam hal ini, adakah cukup digelar darurat atau hajiat, sedangkan baru satu bank Islam yang menolak?Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terbabit dengan riba di bank konvensional.Berikut senarai bank Islam dan jendela perbankan Islam yang wujud di Malaysia. (Rujuk juga www.zaharuddin.net)Bank yang ada lesen dan menjalankan operasi produknya 100 peratus mengikut syariah adalah seperti berikut:Affin Islamic Bank Berhad; Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad; AmIslamic Bank Berhad; Asian Finance Bank Berhad (AFBB); Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB); Bank Muamalat Malaysia Berhad; CIMB Islamic Bank Berhad; EONCAP Islamic Bank Berhad; Hong Leong Islamic Bank Berhad; Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad dan RHB ISLAMIC Bank Berhad (RHBI).Bank konvensional tetapi ada lesen untuk mewujudkan jendela perbankan Islam bagi menawarkan produk menepati syariah pula adalah:ABN Amro Bank Berhad; Alliance Bank Malaysia Berhad; Citibank Berhad; HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah); Malayan Banking Berhad; OCBC Bank (Malaysia) Berhad; Public Bank Berhad dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq).Nota: Jika anda pergi ke semua bank ini, anda akan dapati produk pembiayaan Islam ditawarkan. Ia juga disahkan oleh Majlis Syariah mereka.Institusi kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam adalah:Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad; Export-Import Bank of Malaysia Berhad; Bank Pertanian Malaysian dan Bank Simpanan Nasional Berhad. (Semua nama bank di atas adalah sumber Bank Negara Malaysia (BNM)Jika semua bank di atas menolak anda kerana permohonan anda tiada kelayakan atau disenaraihitamkan, anda masih boleh mencuba beberapa koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. Namun, ia hanya bagi yang layak saja seperti kakitangan kerajaan.Bagi insurans Islam atau takaful pula, anda wajib mencari perlindungan daripada mana-mana syarikat takaful yang diiktiraf berikut terlebih dulu. Ia seperti berikut:CIMB Aviva Takaful Berhad; Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad; HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad; MAA Takaful Berhad; Prudential BSN Takaful Berhad; Syarikat Takaful Malaysia Berhad; Takaful Ikhlas Sdn Berhad dan Takaful Nasional Sdn Berhad(Setakat Julai 2007, sumber: BNM)Setiap bank dan pengendali takaful ada cara semakan kemampuan individu atau ‘credit checking’ yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam, bermakna bank Islam lain juga akan menolak.Setiap bank ada cara pemasaran dan strategi masing-masing. Sebagai contoh, AFBB tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, BIMB pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai, manakala RHBI menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi hanya jenama tertentu.Sehubungan itu, tidak boleh dianggap semua bank Islam akan menolak jika satu berbuat demikian. Jika semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda, baru kaedah hajiat atau darurat boleh terpakai. Itupun dalam konteks terbatas sebagaimana disebutkan:Ertinya: “Apa-apa yang diharuskan kerana sebab darurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu.” (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27)Ia mensyaratkan penggunaan minimum dan ada had tertentu. Ertinya, wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar setakat menampung keperluan mendesak saja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula.Dalam konteks rumah, ia rumah pertama untuk didiami saja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.Apa yang bank Islam semak daripada pemohon?Setiap bank ada cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal. Secara umum, mereka menyemak:
Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang anda dari bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment’ dan ‘Agrgregated Margin of Repayment’. Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank.Sebagai contoh, ketika pemohonan dibuat, pelanggan mesti ada lebihan pendapatan bulanan sebanyak 50 peratus daripada semua jumlah hutang daripada bank lain.Formula kiraan: Bayaran ansuran bank A+B+C=mesti kurang 50 peratus daripada jumlah pendapatan kasar bulanan.Sebagai contoh, Karim berpendapatan bulanan RM5,000 dan ada sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak RM1,000, dua kereta RM550 dan RM600. Kini, beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut: RM1,000+RM 550+RM600=43 peratus daripada RM5,000.Jika dilihat daripada keputusan ini iaitu 43 peratus, ini bererti permohonan Karim layak diproses dan diluluskan.Jika tidak cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.
CTOS — laporan ini biasanya mengandungi ‘Customer’s Legal Status’, sebagai contoh saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undang-undang.Menurut CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kini informasi yang ada setiap hari. Maklumat ini mereka kumpul daripada maklumat awam di Jabatan Insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini, perkhidmatan mereka mencetus kontroversi kerana banyak maklumat tidak dikemaskini dan menyebabkan bank menolak permohonan individu yang bersih daripada masalah undang-undang. --(Harian Metro, 16 Dis 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com