Terkini

Tuesday 18 December 2007

Darurat Pinjaman

Oleh Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
“USTAZ, saya cuba memohon pembiayaan daripada bank Islam, tetapi mereka tolak. Adakah saya berdosa jika kemudian mendapatkan pinjaman riba daripada bank konvensional?” Demikian pertanyaan seorang pemuda berusia 30-an kepada saya sejurus kuliah yang panas berkaitan isu kewangan di sebuah masjid.“Puas saya memohon daripada bank Islam, tapi semuanya ditolak. Kata nak selamatkan orang daripada riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya?” luah seorang lagi pembaca menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya.
“Cerewet benar prosedurnya (bank Islam). Sepatutnya dimudahkan bagi menyelamatkan orang daripada riba. Ini tidak, kena tolak (permohonan) pula. Jadi daruratlah untuk ambil konvensionalkan, ustaz?” tanya seorang ibu tiga anak ketika waktu rehat satu Kursus Kewangan Islam kepada saya, baru-baru ini.Adakah darurat atau hajiat apabila permohonan ditolak?“Belum lagi,” itu jawapan ringkas saya. Hujahnya saya sebutkan dulu iaitu: Ertinya: “Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana darurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya darurat itu selepas usaha pencarian (yang halal).” (Syarhul Umdah, 1/426)Justeru dalam hal ini, adakah cukup digelar darurat atau hajiat, sedangkan baru satu bank Islam yang menolak?Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terbabit dengan riba di bank konvensional.Berikut senarai bank Islam dan jendela perbankan Islam yang wujud di Malaysia. (Rujuk juga www.zaharuddin.net)Bank yang ada lesen dan menjalankan operasi produknya 100 peratus mengikut syariah adalah seperti berikut:Affin Islamic Bank Berhad; Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad; AmIslamic Bank Berhad; Asian Finance Bank Berhad (AFBB); Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB); Bank Muamalat Malaysia Berhad; CIMB Islamic Bank Berhad; EONCAP Islamic Bank Berhad; Hong Leong Islamic Bank Berhad; Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad dan RHB ISLAMIC Bank Berhad (RHBI).Bank konvensional tetapi ada lesen untuk mewujudkan jendela perbankan Islam bagi menawarkan produk menepati syariah pula adalah:ABN Amro Bank Berhad; Alliance Bank Malaysia Berhad; Citibank Berhad; HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah); Malayan Banking Berhad; OCBC Bank (Malaysia) Berhad; Public Bank Berhad dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq).Nota: Jika anda pergi ke semua bank ini, anda akan dapati produk pembiayaan Islam ditawarkan. Ia juga disahkan oleh Majlis Syariah mereka.Institusi kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam adalah:Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad; Export-Import Bank of Malaysia Berhad; Bank Pertanian Malaysian dan Bank Simpanan Nasional Berhad. (Semua nama bank di atas adalah sumber Bank Negara Malaysia (BNM)Jika semua bank di atas menolak anda kerana permohonan anda tiada kelayakan atau disenaraihitamkan, anda masih boleh mencuba beberapa koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. Namun, ia hanya bagi yang layak saja seperti kakitangan kerajaan.Bagi insurans Islam atau takaful pula, anda wajib mencari perlindungan daripada mana-mana syarikat takaful yang diiktiraf berikut terlebih dulu. Ia seperti berikut:CIMB Aviva Takaful Berhad; Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad; HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad; MAA Takaful Berhad; Prudential BSN Takaful Berhad; Syarikat Takaful Malaysia Berhad; Takaful Ikhlas Sdn Berhad dan Takaful Nasional Sdn Berhad(Setakat Julai 2007, sumber: BNM)Setiap bank dan pengendali takaful ada cara semakan kemampuan individu atau ‘credit checking’ yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam, bermakna bank Islam lain juga akan menolak.Setiap bank ada cara pemasaran dan strategi masing-masing. Sebagai contoh, AFBB tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, BIMB pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai, manakala RHBI menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi hanya jenama tertentu.Sehubungan itu, tidak boleh dianggap semua bank Islam akan menolak jika satu berbuat demikian. Jika semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda, baru kaedah hajiat atau darurat boleh terpakai. Itupun dalam konteks terbatas sebagaimana disebutkan:Ertinya: “Apa-apa yang diharuskan kerana sebab darurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu.” (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27)Ia mensyaratkan penggunaan minimum dan ada had tertentu. Ertinya, wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar setakat menampung keperluan mendesak saja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula.Dalam konteks rumah, ia rumah pertama untuk didiami saja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.Apa yang bank Islam semak daripada pemohon?Setiap bank ada cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal. Secara umum, mereka menyemak:
Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang anda dari bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment’ dan ‘Agrgregated Margin of Repayment’. Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank.Sebagai contoh, ketika pemohonan dibuat, pelanggan mesti ada lebihan pendapatan bulanan sebanyak 50 peratus daripada semua jumlah hutang daripada bank lain.Formula kiraan: Bayaran ansuran bank A+B+C=mesti kurang 50 peratus daripada jumlah pendapatan kasar bulanan.Sebagai contoh, Karim berpendapatan bulanan RM5,000 dan ada sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak RM1,000, dua kereta RM550 dan RM600. Kini, beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut: RM1,000+RM 550+RM600=43 peratus daripada RM5,000.Jika dilihat daripada keputusan ini iaitu 43 peratus, ini bererti permohonan Karim layak diproses dan diluluskan.Jika tidak cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.
CTOS — laporan ini biasanya mengandungi ‘Customer’s Legal Status’, sebagai contoh saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undang-undang.Menurut CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kini informasi yang ada setiap hari. Maklumat ini mereka kumpul daripada maklumat awam di Jabatan Insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini, perkhidmatan mereka mencetus kontroversi kerana banyak maklumat tidak dikemaskini dan menyebabkan bank menolak permohonan individu yang bersih daripada masalah undang-undang. --(Harian Metro, 16 Dis 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment