Terkini

Monday, 24 December 2007

Berkat zakat mudah diperoleh tapi sukar ditunaikan

Oleh Hamizul Abdul Hamid

DALAM sejarah Islam, sejak zakat diwahyukan Allah pada tahun kedua Hijrah, ia menjadi satu kefarduan yang diterima dengan senang hati oleh umat Islam.

Apatah lagi, zakat dari sudut sosial adalah satu bentuk kebajikan. Ia adalah satu sifat kasihan belas yang mendatangkan ihsan hingga akhirnya ia disuburkan lagi oleh agama Islam dengan dijadikan satu daripada rukun Islam.

Banyak kisah menarik pada tahap awal Islam, yang mempamerkan betapa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat adalah pelopor kepada sifat kasihan belas dan suka berderma ini. Baginda Rasulullah sendiri digambarkan sebagai pemuda al-Amin (yang amat dipercayai) yang amat menyantuni golongan miskin dan melarat.

Digambarkan pada zaman jahiliah dan pra-Islam, golongan kaya di Kota Mekah seringkali mengeksploitasi golongan daif. Di antara keluarga miskin yang ditindas ialah keluarga Ammar bin Yasser.

Muhammad al-Amin telah menzahirkan rasa kasih sayangnya apabila Baginda sering memberi makanan kepada orang-orang miskin, membantu anak-anak yatim dan memelihara kebajikan ibu-ibu tunggal. Bahkan, sifat kasihan belas nabi menjangkau kepada semua makhluk Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Nabi sendiri bertuah kerana Baginda disokong dan diperteguhkan lagi dengan kehadiran isteri tercinta, Khadijah Al-Khuwalaid yang telah terbukti di dalam sejarah memanfaatkan harta kekayaannya demi perjuangan Islam.

Para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf sendiri adalah golongan yang banyak bersedekah dan berderma. Abu Bakar sendiri menebus Bilal bin Rabah apabila Bilal disiksa oleh tuannya dengan harga beratus dinar.

Justeru itu, apabila zakat diturunkan sebagai syariat, umat Islam menerimanya dengan lapang hati. Ini kerana, Allah s.w.t. sendiri telah memberikan pertunjuk bahawa keberkatan itu lahir daripada salah satu amalan murni yang dinamakan zakat. Firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (Maryam: 31)

Faktor keberkatan

Kenapakah zakat melahirkan keberkatan? Jawapannya mudah, kerana ia adalah anugerah Allah. Apabila Allah s.w.t. mengarahkan sesuatu syariat dilaksanakan, semestinya di sana wujud pelbagai hikmah dan kebaikan. Hikmah bersolat misalnya menatijahkan kejayaan dari aspek disiplin diri. Hikmah haji melahirkan kesatuan ummah dan integrasi antarabangsa. Hikmah berpuasa pula menumbuhkan ketaatan dan kesabaran kepada Allah s.w.t. Maka, hikmah zakat pula menghasilkan kehidupan yang adil dan saksama.

Berkat pada hakikatnya adalah subjektif sifatnya. Ia tidak nampak oleh mata kasar namun dapat dirasai oleh mereka yang dipilih Allah. Namun, kehadiran berkat dapat disaksikan oleh mata. Sebagai contoh, apabila rumah tangga yang dibina aman damai, isteri menghormati suami, anak-anak mematuhi ibu bapa dan suami sendiri menjadi suami mithali, adalah pertanda keberkatan. Pertunjuk lain, ialah apabila rezeki dikurniakan Allah sentiasa mencukupi, tidak terjadinya banyak masalah dalam kehidupan, urusan seharian dimudahkan Allah dan sebagainya lagi adalah indikator keberkatan hidup mungkin telah dikurniakan Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (al-Baqarah: 274)

Bagaimana memperoleh keberkatan?

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5 peratus daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperoleh keberkatan daripada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. sesungguhnya Maha Mengetahui bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada-Nya. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan pada masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrem dalam berharta. Firman Allah bermaksud: Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan. (al-A’raf: 31).

Sebaliknya, Allah s.w.t. amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Sebagaimana firman Allah bermaksud: Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik. (al-Baqarah: 195)


Kesimpulan

Zakat adalah satu jalan dari pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkat ibadat itu sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya.

Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian dan hidup di akhirat kelak terhindar dari bakaran? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.

Bak kata hadis nabi: Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat nanti. --(Utusan Malaysia, 24 Dis 07)

* HAMIZUL ABDUL HAMID ialah pegawai perhubungan awam di Lembaga Zakat Selangor (LZS).

No comments:

Post a Comment