Terkini

Sunday 2 December 2007

Perbankan Islam perlu perluas kontrak Musharakah

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Institusi perbankan Islam perlu meluaskan kontrak Musharakah (perkongsian untung dan rugi) bagi mempelbagaikan pembiayaan untuk keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Perbankan Kewangan Islam Pusat Antarabangsa Bagi Pendidikan Kewangan Islam (Inceif), Prof. Dr. Saiful Azhar Rosly berkata, pada masa ini, institusi perbankan Islam terlalu bergantung kepada pembiayaan Murabahah dan Al-Bai-Bithaman-Ajil untuk meningkatkan saiz pasaran dan keuntungan mereka.

Sedangkan, katanya, struktur Musharakah yang merupakan konsep pembiayaan bersama antara peminjam dan pihak bank adalah perkhidmatan pembiayaan Islam yang terbaik dan diiktiraf di kebanyakan negara Islam.

Ia kerana konsep kontrak Musharakah adalah lebih luas kerana boleh digunakan dalam pembiayaan perdagangan dan vendor, termasuk pinjaman bagi sektor perkilangan, hartanah dan pertanian, menurut beliau.

‘‘Pada masa ini, kita tidak menafikan masih banyak halangan yang dihadapi oleh usahawan PKS untuk membuat pinjaman bagi meluaskan perniagaan mereka.

‘‘Tetapi, dengan adanya kontrak Musharakah, kita melihat ia mampu meningkatkan jumlah usahawan bagi merangsang pertumbuhan PKS,’’ katanya ketika membentangkan kontrak Musharakah dalam dialog meja bulat Inceif, di sini hari ini.

Beliau berkata, PKS tempatan masih terlalu jauh ketinggalan daripada segi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kira-kira enam peratus berbanding Jepun 53.3 peratus, Korea Selatan 40 peratus dan Thailand 33 peratus.

Jelas beliau, dalam konsep Musharakah, institusi kewangan akan menyediakan sebahagian besar modal yang diperlukan dan usahawan PKS pula menyediakan sejumlah kecil modal.

Kedua-dua pihak akan terlibat secara aktif dalam operasi perniagaan tersebut dan pembahagian keuntungan dibuat berdasarkan pengagihan modal, pengetahuan dan penyerapan kerugian berdasarkan pengagihan modal.

‘‘Sebab itu, dengan kontrak Musharakah, kita mampu menambah jumlah usahawan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan serta mempelbagaikan portfolio dalam perbankan Islam,’’ ujarnya.

Saiful Azhar juga tidak menolak terdapat pelbagai risiko dalam meluaskan konsep kontrak Musharakah.

Ini termasuk, kontrak Musharakah tidak menyediakan perlindungan modal dan pulangan tetap kepada kedua-dua pihak, selain keupayaan dan kebolehan bank berperanan sebagai usahawan atau pelabur dalam projek juga dipertikaikan.

Sehubungan itu, beliau tidak menafikan struktur pembiayaan kontrak Musharakah agak asing di negara ini.

Malah, katanya, menurut laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2006 mendapati hanya 0.24 peratus daripada RM67.8 bilion jumlah aset distruktur di bawah konsep Musharakah.

‘‘Dalam menangani isu dan cabaran kontrak Musharakah adalah penting bagi institusi kewangan Islam untuk lebih kreatif, jika tidak pembiayaan secara Musharakah akan menjadi tidak popular dan tidak praktikal.
- Oleh Ainul Asniera Ahsan (Utusan, 20 Nov 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment