Terkini

Sunday, 25 November 2007

Krisis ekonomi dari perspektif Islam

Sepanjang beberapa minggu lalu, masyarakat dihebahkan mengenai harga barangan di pasaran yang berpotensi untuk terus meningkat naik. Peningkatan harga di pasaran bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan merupakan fenomena global yang sedang dan bakal dihadapi oleh seluruh warga dunia.
Umum maklum bahawa fenomena peningkatan harga barangan yang berlaku amat terkait dengan malapetaka ekonomi yang melanda Amerika Syarikat ketika ini. Malapetaka ekonomi yang dimaksudkan ialah kejatuhan luar biasa pasaran jual beli hutang atau dikenali sebagai ‘subprime mortgage’ yang setakat ini telah mencecah kerugian sebanyak AS$400 bilion. Nilai mata wang Amerika Syarikat (AS) juga turut menerima kesan apabila jatuh pada kadar terendahnya minggu lalu ke paras 1.444 berbanding mata wang Euro.
Dalam realiti ekonomi global, malapetaka ekonomi yang disebabkan oleh krisis pasaran hutang AS secara langsung mahupun tidak akan memberi kesan kepada ekonomi dunia. Kejatuhan berterusan nilai mata wang AS yang menjadi mata wang asas dalam perdagangan antarabangsa pastinya akan mempengaruhi kenaikan harga pasaran komoditi-komoditi utama dunia. Buktinya, harga minyak minggu lalu sahaja telah mencecah ke paras AS$95 (RM316) setong manakala komoditi lain seperti emas mencecah paras tertinggi sejak 1980 iaitu AS$800 seounce.
Senario yang penulis ungkapkan ini sebenarnya memberikan isyarat jelas bahawa masyarakat bakal berhadapan dengan bencana ekonomi pada bila-bila masa. Sekarang ini pun kita semakin merasai kenaikan harga barangan di pasaran. Namun situasi ini tidaklah pula bermakna kita harus pasrah sahaja dengan apa jua keadaan yang bakal melanda. Amat malang lagi kiranya kita hanya berpeluk tubuh mengharapkan keajaiban agar masalah mampu selesai tanpa sebarang usaha.
Sikap sebegini pastilah bertentangan dengan fitrah dan prinsip Islam sejati. Walhal, Islam mengajar kita agar sentiasa bersiap siaga dan merencana untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuklah dalam isu ekonomi.
Inilah yang diisyaratkan oleh Al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dalam perancangan lima belas tahun yang dilakukannya sebagai jalan keluar daripada krisis yang melanda negara. Salah satu langkah yang diambilnya dalam perancangan itu ialah mengurangkan aspek kepenggunaan dalam tahun- tahun kemakmuran, di samping menyediakan bahan-bahan makanan yang dapat disimpan untuk menghadapi tahun-tahun kemarau. Kisah ini dinukilkan oleh Al-Quran: Maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan (Yusuf: 47).
Seterusnya ketika menghadapi tempoh krisis, pendekatan penjimatan dan pengagihan bekalan yang disimpan secara adil dan bijaksana turut ditekankan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah: Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (gandum) yang kamu simpan. (Yusuf: 48)
Pernyataan-pernyataan dalam Al-Quran sebagaimana yang terungkap dalam surah Yusuf di atas jelas mengisyaratkan betapa pentingnya pengurusan ekonomi secara bijaksana dalam menghadapi zaman gersang dan bencana. Ini termasuklah prinsip yang mengkehendaki setiap individu berjimat cermat dan berhemah dalam berbelanja terutamanya ketika senang bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya krisis ekonomi.
Memanglah dalam Islam, prinsip asal dalam muamalah berbelanja ialah setiap orang bebas untuk menggunakan segala kebaikan dan kenikmatan yang dihalalkan oleh Allah. Walau bagaimanapun kebebasan ini dibatasi oleh beberapa syarat yang bertujuan memastikan agar ia tidak mendatangkan kemudaratan dan kerugian kepada kepentingan awam.
Sebab itulah kepimpinan negara selaku ulil amri dibolehkan menggunakan pendekatan politik atau disebut sebagai “siyasah syariyyah” untuk mengekang dan membataskan kebebasan tersebut apabila wujud keadaan kecemasan (darurat) bagi menjaga kemaslahatan umat terbanyak.
Sebagai contoh, pernah dilaporkan oleh Ibn Jauzi dalam sirah Umar ibn al-Khattab bahawa pada masa kekhalifahannya beliau pernah melarang orang ramai untuk makan daging selama dua hari berturut-turut dalam satu minggu kerana bekalan daging sangat sedikit dan tidak mencukupi untuk semua orang di Madinah. Baginda turut menggunakan pendekatan siyasah syariyyah dengan melarang masyarakat menyembelih untuk sementara waktu sebagai langkah memastikan kepentingan rakyat terbanyak mampu dipertahankan.
Demikianlah prinsip dan nilai yang digariskan Islam agar umat sentiasa dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan malapetaka. Justeru sudah tiba masanya penekanan diberikan kepada umat mengenai aspek muamalah dalam Islam sebagaimana mereka diasuh mengenai hal-ehwal ibadah. - Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI - (Utusan Malaysia, 24 Nov 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment