Terkini

Saturday 24 January 2015

Pertumbuhan positif hab kewangan Islam

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Inisiatif kerajaan dalam Pelan Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti Kedua telah meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang sedang tumbuh dan berkembang secara positif.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Datuk Dr. Adnan Alias berkata, kedudukan kukuh berkenaan dicapai melalui penggunaan dan aplikasi pelaporan kewangan Islam yang begitu cemerlang dalam transaksi perniagaan.

Menurutnya, IBFIM juga sedang menyusun semula dan melengkapkan modul latihan pembelajaran kewangan Islam yang dilancarkan awal tahun lepas dan ini termasuk pem­belajaran secara dalam talian bagi memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai kewangan Islam.

Dalam pada itu, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dengan kerjasama IBFIM telah menganjurkan Persidangan Kewangan Islam 2015 yang memberi fokus dalam peraturan dan pelaporan yang baharu dalam kewangan Islam.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, intipati persidangan berkenaan berkisar kepada pembelajaran profesional dan pembangunan yang berterusan di samping membincangkan isu penting dalam stan­dard pengawalseliaan dan laporan baharu bagi kewangan Islam mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013).

Sementara itu, Presiden MIA, Datuk Johan Idris berkata, tumpuan berkenaan adalah kepada golongan profesional dalam industri perkhidmatan kewangan antaranya akauntan, juruaudit dan pe­ngurus kewangan.

“Dengan perkembangan pesat dalam sektor kewangan Islam sekarang ini, kita mesti terus me­ningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam bidang rangka kerja kawal selia dan undang-undang.

“Pelaksanaan persidangan pada tahun ini merupakan langkah yang tepat pada masanya kerana diyakini mampu menangani impak ke atas IFSA 2013 di institusi kewangan Islam di Malaysia,” katanya.

(Utusan Online / 22 January 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday 9 January 2015

Manfaatkan dana kewangan islam

BANYAK persoalan ditimbulkan oleh ma­syarakat berkenaan pem­bangunan pasca banjir di negeri Pan­tai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang. Persoalan juga menjurus kepada apakah pe­ranan dana kewangan Islam seperti zakat, wakaf dan baitulmal dalam membantu mangsa-mangsa banjir ini.

Seperti yang diperjelaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, masyarakat Islam yang terjejas dalam bencana banjir adalah golongan yang layak menerima zakat. Mereka tergolong dalam kumpulan asnaf al-Gharimin.

Siapakah al-Gharimin ini? Golong­an asnaf ini ialah orang yang berhutang dan mereka yang meng­alami kemudaratan seperti ditimpa musibah banjir.

Sehingga hari ini, terdapat beberapa pusat zakat negeri telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Antaranya Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Kelantan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain.

Usaha-usaha dan langkah yang dibuat oleh pusat zakat dalam membantu mangsa banjir menun­jukkan bahawa dana kewangan Islam memainkan peranan pen­ting dalam pembangunan ummah. Cakap-cakap negatif yang sering dilemparkan kepada pusat zakat harus dibuang jauh-jauh.

Namun, persoalan yang penting ialah bagaimana peranan dana kewangan Islam boleh terus diperkasakan pada masa akan datang? Adakah kutipan zakat pada masa ini mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah asnaf yang semakin bertambah? Adakah dana-dana lain yang boleh digunakan bagi membantu umat Islam?

Persoalan sebegini tentunya me­ngundang pelbagai jawapan untuk dirungkaikan. Jika dilihat kepada jumlah kutipan zakat, boleh dikatakan ada peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun kebe­lakangan ini.

Sebagai contoh, kutipan zakat di seluruh negara direkodkan berjumlah RM2 bilion pada tahun lalu. Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Namun, apa yang dikhuatiri ialah jumlah peningkatan ini tidak selari dengan peningkatan bilang­an asnaf dan jumlah bantuan yang wajar diberikan kepada golongan ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pernah menyuarakan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah asnaf tidak selari dengan peningkatan jumlah kutipan zakat.
Kebimbangan beliau ini benar-benar menjadi realiti setelah negara dilanda musibah banjir. Golongan asnaf zakat meningkat secara mendadak akibat bencana ini dan sudah semestinya jumlah dana yang perlu dihulurkan adalah besar.
Jika sebelum ini asnaf diberikan bantuan sejumlah wang tunai de­ngan amaun tertentu, maka selepas bencana banjir jumlah tersebut mungkin tidak sesuai lagi. Jumlah ini perlu ditingkatkan. Peningkatan jumlah ini sudah pasti memerlukan lebih banyak dana zakat perlu dikumpulkan daripada orang ramai.
Justeru, rakyat di seluruh negara yang masih belum membayar zakat secara sah kepada institusi zakat wajar berbuat demikian.
Sebagai contoh, rekod Majlis Agama Islam Kelantan menunjukkan jumlah kutipan zakat sehingga 7 Januari 2015 adalah lebih RM2.2 juta. Daripada jumlah ini sebanyak RM960,000 telah diagihkan kepada asnaf.
Jumlah kutipan RM2 juta ini boleh dikatakan agak sedikit jika dibandingkan dengan jumlah orang Islam yang layak mengeluarkan zakat di Kelantan.
Logiknya jika makin ramai pihak tampil membayar zakat, jumlah ini boleh ditingkatkan sehingga berjuta-juta ringgit lagi. Ini sedikit sebanyak dapat membantu umat Islam dan pembangunan rakyat di sana yang dianggarkan telah meng­alami kerugian secara keseluruhannya melebihi RM500 juta.
Selain dana zakat, wakaf tunai juga merupakan satu lagi bentuk dana yang boleh menjadi pemang­kin kepada usaha pembangunan masyarakat pasca banjir. Wakaf tunai boleh dibuat dengan mewakafkan sejumlah wang tunai ke dalam satu tabung amanah yang boleh ditubuhkan secara khusus di bawah pengurusan organisasi wakaf.
Dana wakaf ini boleh digunakan bagi tujuan pembiayaan aktiviti-aktiviti kebajikan dan pembangunan untuk manfaat awam.
Usaha juga wajar digerakkan oleh majlis agama Islam negeri di seluruh negara bagi mewujudkan baitulmal negara. Baitulmal merupakan satu institusi yang berfungsi sebagai pemegang amanah perbendaharaan awam bagi orang Islam. Peranan utamanya ialah bagi me­ngendalikan aset untuk kepenting­an umum.
Dengan wujudnya baitulmal negara ini, harta umat Islam di seluruh negara boleh diuruskan dengan lebih efisien dan efektif. Kekangan yang ada pada masa ini seperti perbezaan undang-undang dan pengurusan antara negeri dipercayai menjadi antara faktor harta umat Islam tidak mencapai tahap produktiviti yang baik.
Justeru, dengan adanya baitulmal negara, perbezaan ini dapat diminimumkan. Ini sudah pasti membuka peluang yang lebih besar untuk harta tersebut dikembangkan. Produktiviti harta yang me­ningkat akan membolehkan umat Islam terutamanya yang ditimpa musibah seperti banjir mendapat manfaat daripadanya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia.

(Utusan Online / 09 January 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday 2 January 2015

Penggabungan mega tingkat tumpuan terhadap perbankan Islam Malaysia

KUALA LUMPUR: Sektor perbankan Islam Malaysia dijangka mendapat perhatian tahun depan dengan pembentukan bank Islam mega pertama di dunia, dalam persekitaran yang mencabar.

Cadangan penggabungan tiga pihak antara CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) bakal membantu mengantarabangsakan model kewangan Islam Malaysia yang dapat menempatkan negara sebagai peneraju dalam perbankan Islam.

"Ini adalah perkembangan positif bagi industri kerana ia akan menjadi penggabungan dan pemerolehan (M&A) yang memacu pasaran," kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bank Muzaffar Hisham.

Pada 10 Julai, Bank Negara memberi kebenaran untuk memulakan perbincangan bagi tujuan penggabungan perniagaan RHB dan CIMB, serta mewujudkan francais perbankan Islam yang besar dengan MBSB.

Penggabungan mega itu dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dilaporkan berkata pewujudan bank Islam mega dalam negara mungkin mencetuskan lebih banyak lagi penggabungan industri.

Beliau juga berkata beberapa syarikat, bagaimanapun mungkin mahu pasaran mereka sendiri dan memberi tumpuan kepada bidang perniagaan khusus mereka daripada mengadakan M&A.

Naib Presiden merangkap Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berpendapat penggabungan dalam sektor perbankan, yang mempamerkan faedah sinergi daripada penggabungan mega, akan meningkatkan kecenderungan terhadap saham perbankan dan kewangan di Bursa Malaysia, pada masa akan datang.

(BH Online / 29 December 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com