Terkini

Showing posts with label HSBC Amanah. Show all posts
Showing posts with label HSBC Amanah. Show all posts

Monday, 1 September 2008

HSBC Bank akan tawar khidmat perbankan Islam sepenuhnya melalui HSBC Amanah (M) Bhd

KUALA LUMPUR 25 Ogos (Utusan Malaysia) - HSBC Bank (M) Bhd. (HSBC Bank) akan menawarkan perkhidmatan perbankan Islam sepenuhnya melalui HSBC Amanah (M) Bhd. (HSBC Amanah) selepas ia memperoleh lesen untuk memulakan operasinya.
''Kami telah memperoleh lesen di bawah Akta Perbankan Islam untuk memulakan operasi pada 24 Ogos 2008.
''Dengan lesen ini, HSBC Amanah boleh memulakan aktiviti perniagaan perbankan Islam dan akan membuka cawangan pertama tidak lama lagi tahun ini,'' kata Pengerusi HSBC Amanah, Irene M. Dorner.
Beliau menyifatkan penerimaan lesen perbankan Islam itu adalah tepat pada masanya dan membolehkan HSBC meluaskan pembabitannya dalam industri kewangan Islam tempatan, sekali gus menyokong inisiatif kumpulan untuk menjadikan HSBC Malaysia sebagai hab kewangan Islam serantau.
Menurut beliau, meskipun cawangan perbankan Islam pertama akan dibuka, para pelanggan HSBC Amanah masih boleh membuat transaksi di 40 cawangan HSBC bank di seluruh negara, selain boleh mengakses perbankan Internet dan pusat panggilan.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 18 March 2008

HSBC Amanah mahu perkenal produk baru perbankan Islam

KUALA LUMPUR 17 Mac - HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan dua digit bagi keuntungan pracukai dan pendapatan operasi pengurusan kewangan Islamnya pada tahun ini.
Pengarah Urusan HSBC Amanah, Yakub Bobat berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak 50 peratus kepada RM97 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.
''HSBC juga menyaksikan pendapatan operasi meningkat sebanyak 29 peratus kepada RM23 juta berbanding tahun 2006.
''Sebanyak 17 peratus daripada perkhidmatan penyumberan luar cek Islam adalah kiriman tunai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Pengurusan Perbendaharaan dan Tunai di Asia Pasifik 2008 HSBC di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Perbankan Komersial HSBC, Eddie Norton dan Naib Presiden Kanan, Pembangunan Pasaran Asia Pasifik, Iain Taylor.
Menurut Yakub, HSBC Amanah, anak syarikat perbankan Islamnya yang telah diwujudkan sebagai satu unit perniagaan sejak 26 Februari lalu akan mula beroperasi pada separuh kedua tahun ini.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu berapa banyak cawangan yang akan dilancarkan tahun ini.
''Selain itu, kami akan memperkenalkan produk-produk perbankan Islam yang baru supaya bank itu boleh mengembangkan aksesnya ke industri kewangan Islam Malaysia," katanya.
Sementara itu, Norton memberitahu, HSBC juga yakin dapat mencapai pertumbuhan dua digit untuk perniagaan pengurusan tunai dan bayaran global di Malaysia dan serantau.
''Ini berikutan, jumlah keuntungan bersih sebelum cukai dan pendapatan operasinya meningkat sebanyak 30 peratus di Malaysia dan 35 peratus (serantau) dengan jumlah transaksi meningkat sehingga 11 peratus pada tahun lalu," ujarnya.--(UtusanMalaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 2 December 2007

HSBC Amanah jangka perniagaan Islam tumbuh dua angka

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Perniagaan perbankan secara Islam HSBC Bank Malaysia Bhd. dijangka mencatatkan pertumbuhan dua angka kepada 10 peratus tahun depan, selepas didorong oleh produk dan perkhidmatan baru, kata Pengarah Urusannya, Yakub Y Bobat hari ini.
“Kalau anda lihat kepada pertumbuhan pendapatan operasi kami dalam separuh pertama 2007 berbanding dengan separuh pertama 2006, perniagaan kami berkembang sebanyak 40 peratus.
“Seterusnya, dengan francais dan produk perkhidmatan tambahan kami yang kami rancang untuk diwujudkan, kami akan mengekalkan pertumbuhan yang mantap,” katanya.
Setakat September tahun ini, kewangan Islam menyumbang 10.5 peratus atau RM174 juta jumlah pendapatan operasi HSBC, kata Bobat semasa taklimat media mengenai anak syarikat perbankan Islamnya, HSBC Amanah Malaysia Bhd.
Malaysia, katanya, ialah sebuah pasaran besar bagi produk perbankan Islam, menduduki tempat pertama bagi terbitan sukuk atau bon Islam.
HSBC Bank Malaysia ialah bank asing yang pertama diperbadankan di negara ini diberikan lesen pada 7 November lalu untuk menubuhkan anak syarikat perbankan Islam oleh Bank Negara Malaysia.
HSBC Amanah Malaysia yang akan diperbadankan di negara ini tahun depan, akan menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas dalam seluruh bidang runcitan, komersial, korporat dan pelanggan berinstitusi.
Skop perbankan universal itu membolehkan entiti HSBC yang lain mengembangkan laluan mereka ke dalam industri kewangan Islam Malaysia, yang kini menyumbang 13 peratus dari keseluruhan aset perbankan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 19 June 2007

HSBC Bank lancar produk baru Pengurusan Kekayaan Amanah

KUALA LUMPUR 19 Jun (Utusan) – HSBC Bank (M) Bhd. (HSBC Bank) hari ini melancarkan jenama terbarunya iaitu Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC, yang menawarkan pelan penyelesaian kewangan Islam dalam bentuk simpanan, pelaburan, perlindungan aset dan pengagihan kekayaan.
Pengarah Urusan HSBC Amanah, Mohamed Ross Mohd. Din berkata, jenama baru itu menyatukan produk takaful (insurans Islam), pelaburan berstruktur Islam, unit amanah Islam, penulisan wasiat dan perkhidmatan amanah Islam di bawah HSBC. Menurut beliau, penyatuan itu membolehkan HSBC Amanah menawarkan lebih banyak produk dalam pasaran.
Katanya, perbankan Islam HSBC, perbankan runcit dan pengurusan kekayaan global telah menyertai HSBC (M) Trustee Bhd. dan HSBC Amanah Takaful (M) Sdn. Bhd. ‘‘Kami mahu menjadikan HSBC sebagai pusat sehenti yang menyediakan semua pakej perkhidmatan di bawah satu kumpulan. Dengan penyatuan ini, kami berpendapat Kumpulan HSBC mempunyai peluang yang lebih besar untuk membuat jualan silang dalam perkhidmatan terbarunya,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan jenama Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC, di sini hari ini.

Jelas beliau, langkah yang dilaksanakan oleh HSBC itu memudahkan pelanggannya berurusan tanpa memerlukan mereka mengunjungi cawangan lain ketika membuat permohonan bagi Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC. Mohamed Ross berkata, jumlah pelanggan HSBC Amanah kini mencecah 200,000 orang. Menurutnya, produk perancangan kewangan itu ditawarkan kepada pelanggan Islam dan bukan Islam.
Penubuhan Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC adalah tepat pada masanya, selari dengan inisiatif Kumpulan HSBC yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi HSBC Amanah, tambah beliau. Katanya, HSBC Amanah juga berhasrat melancarkan tiga lagi produk baru, sebelum akhir tahun ini, khusus dalam perbankan peruncitan dan perbankan korporat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com