Terkini

Tuesday 19 June 2007

HSBC Bank lancar produk baru Pengurusan Kekayaan Amanah

KUALA LUMPUR 19 Jun (Utusan) – HSBC Bank (M) Bhd. (HSBC Bank) hari ini melancarkan jenama terbarunya iaitu Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC, yang menawarkan pelan penyelesaian kewangan Islam dalam bentuk simpanan, pelaburan, perlindungan aset dan pengagihan kekayaan.
Pengarah Urusan HSBC Amanah, Mohamed Ross Mohd. Din berkata, jenama baru itu menyatukan produk takaful (insurans Islam), pelaburan berstruktur Islam, unit amanah Islam, penulisan wasiat dan perkhidmatan amanah Islam di bawah HSBC. Menurut beliau, penyatuan itu membolehkan HSBC Amanah menawarkan lebih banyak produk dalam pasaran.
Katanya, perbankan Islam HSBC, perbankan runcit dan pengurusan kekayaan global telah menyertai HSBC (M) Trustee Bhd. dan HSBC Amanah Takaful (M) Sdn. Bhd. ‘‘Kami mahu menjadikan HSBC sebagai pusat sehenti yang menyediakan semua pakej perkhidmatan di bawah satu kumpulan. Dengan penyatuan ini, kami berpendapat Kumpulan HSBC mempunyai peluang yang lebih besar untuk membuat jualan silang dalam perkhidmatan terbarunya,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan jenama Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC, di sini hari ini.

Jelas beliau, langkah yang dilaksanakan oleh HSBC itu memudahkan pelanggannya berurusan tanpa memerlukan mereka mengunjungi cawangan lain ketika membuat permohonan bagi Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC. Mohamed Ross berkata, jumlah pelanggan HSBC Amanah kini mencecah 200,000 orang. Menurutnya, produk perancangan kewangan itu ditawarkan kepada pelanggan Islam dan bukan Islam.
Penubuhan Pengurusan Kekayaan Amanah HSBC adalah tepat pada masanya, selari dengan inisiatif Kumpulan HSBC yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat serantau bagi HSBC Amanah, tambah beliau. Katanya, HSBC Amanah juga berhasrat melancarkan tiga lagi produk baru, sebelum akhir tahun ini, khusus dalam perbankan peruncitan dan perbankan korporat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment