Terkini

Monday 30 June 2014

Malaysia Berencana Perluas Industri Makanan Halal ke Turkmenistan


Turkmenistan, sebuah negara di Asia Tengah yang berbatasan dengan Iran, memiliki populasi 63 juta jiwa, di mana 93%-nya adalah muslim. Melihat potensinya yang besar, Malaysia berencana memperluas industri halalnya ke negara tersebut.


"Ada banyak peluang untuk mengeksplor prospek industri halal di Turkmenistan. Ini adalah salah satu area yang menjadi tujuan diversifikasi Malaysia dalam meningkatkan hubungan antara kedua negara," ujar Duta Besar Malaysia untuk Turkmenistan, Norman Muhamad.

Rencana ini dibicarakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak saat bertemu dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov awal bulan ini. Lewat inisiatif tersebut, Malaysia berharap bisa menjadikan Turkmenistan rekan pusat halalnya di Asia Tengah.

Malaysia dan Turkmenistan beberapa tahun belakangan berupaya meningkatkan hubungan bilateral. Menurut Norman, Malaysia ingin meningkatkan eksplorasi gas di Turkmenistan. Perusahaan-perusahaan Malaysia juga didorong berpartisipasi dalam sektor konstruksi di Turkmenistan.

Selain itu, beberapa perusahaan Malaysia tertarik membantu Turkmenistan dalam pengembangan infrastruktur dan pariwisata. Malaysia juga mengajak para pelajar dari Turkmenistan untuk melanjutkan pendidikan di lembaga pendidikan tinggi Malaysia.

"Jika sebelumnya fokusnya terhadap minyak dan gas, Malaysia dan Turkmenistan kini berminat memperluas kerja sama ke area baru seperti budaya, pendidikan, dan industri makanan halal," ujar Norman seperti diberitakan The Rakyat Post (08/06/2014).

Menurut Norman, di wilayah Asia Tengah, Turkmenistan adalah rekan perdagangan Malaysia terbesar ketiga. Berdasarkan data yang dilansir Bernama (08/06/2014), total perdagangan antara kedua negara di tahun 2013 bernilai US$33.13 juta (Rp 399 miliar), naik cukup banyak dibanding tahun-tahun sebelumnya.


(Detik Food / 30 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 29 June 2014

Wakaf Perlu Gandeng Bank Syariah

REPUBLIKA.CO.ID, DUBLIN -- Minoritas Muslim di Eropa dinilai berhasil menerapkan ajaran Islam dengan baik dan benar. Ini terimplementasi pada pengembangan ekonomi syariah. Hal ini diungkap sebuah survei yang dipublikasikan akademisi di AS.
Dalam survesi tersebut diketahui sejumlah negara yang berhasil mengembangkan ekonomi Islam. Diurutan terdepan, cukup mengejutkan, yakni negara-negara Barat. 
"Kebijakan dan prestasi negara yang dicapai dalam mencerminkan dan menegakkan ajaran ekonomi islam. Terdapat negara-negara barat berada dalam 10 tingkat dalam survei tersebut terdiri atas, Irlandia, Denmark, Luksemburg, Swedia, Inggris, Selandia Baru, Singapira, Finlandia, Norwegia dan Belgia," ungkap Profesor Bisnis dan Urusan Internasional, Hossei Askari, seperti dilansir onislam.net, Rabu (11/6).

Bagaimana dengan negara Islam, negara mayoritas muslim dimulai pada peringkat 33 yaitu Malaysia dan Kuwait pada peringkat 48 dan hanya mampu berada diperingkat 50. Hasil serupa juga didapatkan dalam surveri yang dilakukan profesor Iran pada 2010 lalu.
"Banyak negara mengaku disebut negara Islam namun banyak ketidakadilan, korupsi dan keterbelakangan. Karakter ini menjadikan Islam seperti imajinasi. Islam adalah artikulasi cinta universal Allah untuk ciptaan-Nya dan kesatuannya yang sudah berabad-abad lamanya. Kesatuan yang mencakup semua pembangunan dan ekonomi," ujarnya.
(Republika / 29 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday 21 June 2014

Mengembalikan Kegemilangan Masyarakat Islam

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kegemilangan masyarakat Islam tujuh abad lepas, kini tinggal sebagai catatan sejarah. Legasi ilmu yang adapun turut diwarisi bangsa lain.

Orang Islam hari ini tidak lagi dilihat sebagai ejen penyebaran ilmu mahupun kekayaan, apatah lagi sebagai simbol kuasa politik.

Jika adapun orang Islam yang dikaitkan dengan kuasa politik, itupun tidak dalam konteks yang positif.

Sehingga kini belum ada satu formula mujarab untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam.

Apatah lagi dengan isu perpecahan, sikap berpuak-puak dan perbezaan fahaman dalam masyarakat orang Islam itu sendiri, matlamat tersebut seperti mustahil untuk dicapai.

Bagaimanapun, Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr Farhan Ahmad Nizami berkata, sebagai orang Islam, seseorang itu mestilah sentiasa optimis dalam apa jua keadaan dan usaha ke arah itu pula mesti dilakukan meskipun perjalanannya sukar.

KURANG KEYAKINAN DIRI

Dr Farhan percaya kemunduran masyarakat Islam sekarang berpunca daripada harga diri yang rendah.

Keyakinan orang Islam pada zaman kegemilangan dahulu terhadap kesempurnaan Islam membuatkan mereka amat terbuka dan tidak gentar dengan idea-idea daripada tamadun seperti Greek, Parsi dan India.

Malah mereka mengasimilasikan ilmu dan falsafah daripada semua tamadun untuk disesuaikan dengan Islam yang diyakini sebagai satu agama yang holistik dan mampu menyerap semua nilai positif.

"Apabila kita mengenang kembali legasi zaman kegemilangan Islam, apabila kita menamakan institusi awam atau mencatat kecemerlangan itu dalam buku dan muzium, kita perlu ingat legasi ini dibina atas keyakinan orang Islam.

"Keyakinan ini dapat dikekalkan dengan adanya kemewahan harta benda ditambah dengan kestabilan politik dan perundangan yang mencukupi", katanya pada Syarahan Perdana Putrajaya II baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketidakstabilan politik kerajaan Islam pada ketika itu akhirnya membuatkan mereka terjerumus ke dalam kancah kemiskinan dan penjajahan.

Senario itu juga secara tidak langsung melemahkan keyakinan diri mereka.

Bidang pendidikan turut mengalami kekurangan dana yang akhirnya menyebabkan perpecahan antara pendidikan sains sekular dengan sains Islam.

Sains Islam, seperti fikah dan syariah, diberi lebih keutamaan menerusi pembinaan madrasah manakala golongan yang ingin mendalami ilmu sekular terpaksa ke luar negara.

Akibatnya, bidang sains dan kejuruteraan yang dahulunya dipelopori sarjana Muslim seperti Al-Khwarizmi, Al-Kindi dan Ibnu Sina tidak lagi berkembang bersama tamadun Islam.

"Terdapat perpecahan antara mereka yang berpendidikan agama dan sekular, antara lama dan moden, dengan Islam di pihak lama.

"Perpecahan itulah menjadi paksi kepada cabaran yang dihadapi orang Islam di setiap bahagian dunia", katanya.

HUBUNGAN DUA HALA DAN MEMPERKASA EKONOMI

Dalam usaha mengembalikan kegemilangan orang Islam, Dr Farhan mencadangkan supaya lebih banyak institusi dan forum diwujudkan bagi mengenalpasti cabaran yang mereka hadapi pada masa kini.

Menerusi saluran itu, langkah penyelesaian perlu diusahakan bersama ke arah matlamat yang realistik atau boleh dicapai.

"Antara matlamat umum, yang paling menyeluruh ialah menjalin hubungan komersial, kewangan dan kebudayaan antara masyarakat Islam", katanya yang turut menekankan kepentingan toleransi dan ketulusan sesama kerajaan Islam.

Beliau berkata, negara Islam harus membina lebih banyak hubungan dua hala sesama sendiri khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi, pendidikan serta budaya.

Seperti dalam aspek ekonomi, sebagai orang Islam usaha membina kekuatan ekonomi menjadi tanggungjawab bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

Malah, menurut Dr Farhan, orang Islam sepatutnya berusaha menggalak dan memperluas nilai Islam dalam kegiatan ekonomi global iaitu bebas riba, adil, berkebajikan dan tidak bergantung kepada hutang.

"Lebih ramai orang Islam perlu berganding bahu bukan sahaja sesama sendiri tetapi juga dengan orang bukan Islam dalam usaha untuk mengimbangkan penghasilan dan pembahagian kekayaan. Ini supaya semua orang boleh menikmati hidup yang baik termasuk generasi akan datang.

"Usaha orang Islam membangunkan teknik pembiayaan serta pelaburan yang bebas daripada spekulasi dan ketidaktentuan perlu diteruskan.

"Usaha ini dapat mengatasi kebimbangan pihak yang mementingkan pelaburan yang beretika, adil, perdagangan bebas yang tulen di samping menghapuskan aktiviti eksport yang berteraskan penghambaan-hutang," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa satu daripada sebab kurangnya pelaburan syarikat Islam di negara Islam kerana konflik di dalam negara itu sendiri.

"Satu sebab mengapa orang Islam tidak melabur kekayaan mereka di negara Islam kerana negara itu tidak stabil, tidak selamat dan tidak produktif.

"Lingkaran ganas ini tidak membantu negara Islam itu sendiri. Keadaan sosio-ekonomi yang sama di tempat lain juga mempunyai kesan yang sama, menyebabkan aliran keluar tenaga, bakat dan wang," katanya.

MEMARTABAT IDENTITI ORANG ISLAM

Dalam usaha mengangkat identiti orang Islam ke arah yang lebih positif, Dr Farhan berkata nilai keadilan dan kesamarataan mestilah dijadikan dasar utama dalam semua jenis urusan dan dalam setiap peringkat pentadbiran kerajaan Islam.

"Ini bermakna membenarkan pusat berkuasa bebas ditubuhkan bagi mengiktiraf kebimbangan dan aspirasi pihak berkenaan.

"Ini juga bermakna pengagihan semula peluang untuk menguasai kekayaan serta pengaruh supaya proses membuat keputusan tidak bertumpu kepada orang yang sama", katanya.

Tambah beliau, identiti orang Islam juga seharusnya dipisahkan daripada sebarang bentuk politik atau fahaman kesukuan.

"Quran mencela sikap kalangan Yahudi yang mendakwa keselamatan daripada kebinasaan bergantung kepada asal usul suku kaum itu. Perkara pokok dalam peradaban Islam adalah kefahamannya bahawa nilai seperti ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kebaikan bukan hak mutlak orang Islam", jelasnya.

Menurut Dr Farhan, Quran turut menggelar masyarakat orang Islam sebagai 'ummatan wasatan' yang boleh ditafsirkan sebagai 'masyarakat pertengahan atau sederhana' atau 'antimelampau'.

"Pergilah ke Timur, pergilah ke Barat, belajar dan mengajarlah. Itu cara terbaik untuk memaparkan nilai sejati orang Islam. Itulah juga yang menjadi idaman orang Islam pada masa lampau.

"Tujuannya supaya orang tidak hanya mengaitkan seseorang itu sebagai orang Islam, yang kebanyakannya memang berbuat demikian.

"Biarlah orang itu boleh maju dan makmur serta memperbaiki kehidupannya dan identitinya sebagai orang Islam", katanya.

Di samping itu, beliau menyaran agar negara Islam memelihara hak-hak wanita khususnya dalam peluang mendapatkan pendidikan.

MALAYSIA SEBAGAI TELADAN

Dr Farhan menyentuh mengenai masyarakat orang Islam di Malaysia yang membuktikan bahawa mereka mampu membangunkan kehidupan bersama bangsa lain tanpa mengorbankan pegangan agama dan budaya.

Kestabilan politik serta pembangunan ekonomi yang dikecapi negara ini juga menjadi teladan kepada negara Islam lain.

Menurut Dr Farhan antara sebab utama mengapa ini berjaya melakukannya ialah kerana masyarakat orang Islam di Malaysia, yang majoritinya Melayu, percaya dan mengamalkan tradisi Islam sebenar iaitu toleransi dan semangat kejiranan yang tinggi.

"Malaysia adalah sebuah negara yang makmur di mana rakyatnya yang beragama Islam masih dapat mengekalkan nilai kebudayaan dan agamanya meskipun mendokong kemodenan. Ada ketegangan tetapi ada juga keamanan. Perbezaan antara kaum dapat ditangani untuk menghasilkan kepelbagaian dan kesederhanaan.

"Malaysialah yang mengambil inisiatif untuk menubuhkan Forum Ekonomi Islam Dunia. Inisiatif ini memudahkan usaha untuk memperbaiki kerjasama ekonomi antara negara-negara Islam," katanya.

Malaysia juga, katanya, menerusi program pengajian tinggi menggalakkan penyebaran ilmu dalam kalangan mahasiswa dan ahli akademik dari negara Islam.

Maka tidak hairanlah pada sidang media bersama beliau, Dr Farhan membayangkan bagaimana Malaysia boleh menjadi perintis kepada kesatuan umat Islam sedunia bagi membawa orang Islam keluar daripada pemikiran kesukuan yang dipengaruhi adat dan kepercayaan tempatan.

"Malaysia boleh bertindak sebagai pemangkin di rantau ini dan bahagian lain dunia dalam usaha untuk mengatasi sektarianisme dengan mewujudkan persekitaran untuk hubungan ekonomi dan pendidikan," katanya lagi.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 18 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 18 June 2014

Malaysia, Hong Kong Perkukuh Perkongsian Rentas Sempadan Bagi Pasaran Modal Islam

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Pasaran Hadapan Hong Kong (SFC) hari ini menganjurkan secara bersama seminar mengenai dana Islam berikutan minat yang semakin meningkat terhadap Kewangan Islam di pulau itu.

Pengerusi SC Datuk Ranjit Ajit Singh berkata seminar itu yang diadakan di Hong Kong, bertujuan mengukuhkan kerjasama merentas sempadan antara dua pasaran dalam kewangan Islam, terutama dalam bidang pengurusan dana.

"Seminar itu merupakan platform terbaik bagi pemimpin pasaran dan golongan profesional pasaran modal lain dari Malaysia dan Hong Kong untuk bertukar pandangan dan meneroka peluang yang ditawarkan melalui hubungan antara Hong Kong dan Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi gerbang masuk dana Islam ke Asia, menghubungkan Timur Tengah dan Eropah, manakala Hong Kong boleh memanfaatkan kebolehan pengurusan dana Islam di negara ini.

"Pada masa sama, kita boleh mendapat manfaat daripada kedudukan kukuh Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa," katanya.

Ranjit berkata penggabungan yang kukuh itu berupaya menambah dimensi baharu kepada pasaran kewangan Islam global.

"Hari ini, kita turut menyaksikan pelancaran dana berimbang Islam pertama dibenarkan SFC di Hong Kong di bawah Perjanjian Perakuan Bersama antara SFC dan SC.

"Kami akan terus bekerja rapat dengan SFC dan bekerja bersama pihak berkepentingan lain untuk mengukuhkan rundingan kewangan Islam Hong Kong-Malaysia," katanya.

Ranjit juga berkata acara itu menandakan kerjasama yang berterusan antara SC dan SFC dalam bidang pasaran modal Islam yang akan terus meliputi inisiatif mengenai pembangunan kapasiti serta promosi program pendidikan berkaitan skim pelaburan kolektif Islam dan produk pelaburan Islam yang lain.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 18 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday 14 June 2014

Usahawan Kecil Perlu Aggresif Ceburi Industri Halal

JELI, 14 Jun (Bernama) -- Usahawan kecil perlu lebih aggresif merebut peluang dalam industri halal yang potensinya semakin berkembang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata permintaan terhadap produk halal yang semakin meningkat di dalam dan luar negara, menjadi pemangkin kepada perkembangan industri tersebut.

"Di luar negara kesedaran terhadap produk halal semakin meningkat termasuk bagi pasaran China. Kalau pergi luar negara banyak produk halal adalah dari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Dialog Pembangunan Jeli, Sabtu.

Mustapa berkata Malaysia paling maju dalam industri halal dengan sijil halal yang dikeluarkan negara ini diiktiraf seluruh dunia.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jeli berkata setakat ini, bilangan usahawan kecil yang terlibat dalam industri halal masih kecil dan produk halal yang banyak di pasaran luar negara dikeluarkan oleh syarikat besar.


(Pertubuhan Berita Nasional Negara / 14 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 12 June 2014

LFSA Jangka Momentum Kukuh Dalam Pemajakan, Kewangan Islam, Yayasan Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) dijangka terus mengalami momentum kukuh dalam segmen pemajakan, kewangan Islam dan yayasan tahun ini.

"Dari 2008 hingga 2013, LFSA mencatat pertumbuhan setiap tahun menerusi peluasan bidang perniagaannya dan pencergasan semula.

"Ia bergerak sejajar dengan permintaan yang berubah, terutama di rantau Asia Pasifik. Ini disebabkan hakikat bahawa kebanyakan perkhidmatannya menunjukkan pertumbuhan walaupun persekitaran kewangan antarabangsa yang mencabar," kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selepas mengumumkan keputusan kewangan LFSA untuk tahun lepas.

Kegiatan pembiayaan Islam di LFSA melonjak 46.8 peratus, tahun ke tahun, kepada US$775.6 juta tahun lalu, manakala jumlah yayasan meningkat kepada 93 daripada 65.

Pemajakan adalah sektor perkembangan utama dengan 72 syarikat baharu diluluskan tahun lalu, menjadikan kesemuanya 312.

Segmen lain seperti perbankan, bagaimanapun, tidak tumbuh kukuh tahun ini, kata Zeti.

"Sebagai contoh kami tidak menjangkakan pertumbuhan dua angka untuk bank-bank tahun ini. Ia bukan jadi tumpuan tetapi satu bidang penting untuk menyediakan sokongan kepada semua kegiatan lain," kata Zeti.

Jumlah bank tidak berubah iaitu 59 di Labuan tahun lalu.

Jumlah aset bank meningkat kepada US$42.7 bilion daripada US$42.1 bilion, dan jumlah pinjaman bertambah kepada RM27.7 bilion daripada RM26.2 bilion.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 12 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Bank Perancis terbitkan sukuk RM1b di Malaysia

SINGAPURA 12 Jun - Bank ketiga terbesar Perancis dari segi aset, Societe Generale (SocGen), menjadi bank konvensional kedua selepas Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) Bhd. (BTMU Malaysia), akan menerbitkan sukuk pelbagai mata wang di bawah prinsip berlandaskan syariah bernilai RM1 bilion di Malaysia.

Menurut kenyataan RAM Ratings kepada Bursa Malaysia hari ini, me­lalui program terbitan sukuk berkenaan, SocGen akan menerbitkan sukuk melalui anak syarikat miliknya dengan menyediakan kontrak patuh syariah yang akan menyediakan para pelabur tindakan undang-undang kepada pemberi pinjaman terkemuka Pe­rancis itu.

SocGen walaubagaimanapun enggan mengulas mengenai terbitan sukuk berkenaan.
Pengumuman mengenai terbitan sukuk itu dilakukan seminggu selepas BTMU Malaysia membuat terbitan sukuk pelbagai mata wang bernilai AS$500 juta (RM1.55 bilion) di Malaysia.

Tahun lalu, Reuters melaporkan SocGen mempertimbangkan untuk menerbitkan sukuk bernilai AS$300 juta (RM962.8 juta) di Malaysia, dengan hasilnya akan digunakan bagi mengembangkan operasi bank itu di Asia Barat.

Sukuk merupakan pilihan pem­ biayaan yang semakin popular bagi syarikat korporat dan kerajaan asing di seluruh dunia, dengan Malaysia menjadi negara tumpuan kerana memiliki pasaran modal Islam terbesar.

RAM Ratings mentakrifkan program terbitan sukuk itu sebagai suatu yang stabil namun tidak memberikan butiran mengenai pegangan sukuk, struktur atau bila terbitan pertama mungkin berlaku.


(Utusan Online / 13 Jun 2014)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 11 June 2014

Malaysia jadi perintis pengurusan kekayaan Islam

KUALA LUMPUR 11 Jun - Malaysia berharap menjadi negara pertama di dunia memperkenalkan pengurusan kekayaan Islam dan memperjuangkan produk baharu itu di bawah sistem kewangan Islam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengurusan kekayaan Islam adalah sub sektor yang menarik dan menjanjikan pulangan baik dalam industri perkhidmatan kewangan.

"Kita memahami konsep pengurusan kekayaan daripada perspektif Syariah yang merangkumi aspek fizikal dan kerohanian kekayaan.

"Prinsip ini bertentangan dengan pengurusan kekayaan konvensional yang memberi tumpuan hanya kepada kekayaan fizikal atau material," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pengurusan kekayaan Islam anjuran MFPC dan Labuan IBFC di sini hari ini.

Ahmad berkata, setelah memantapkan diri sebagai peneraju global kewangan Islam, Malaysia kini adalah pasaran ketiga terbesar dunia untuk aset Syariah, iaitu produk dan perkhidmatan perbankan Islam, sukuk dan takaful.

Menurutnya, bagi meningkatkan hasrat Malaysia menjadi pusat kecemerlangan intelek dalam kewangan Islam, kerajaan meningkatkan usaha ke arah itu.

"Beberapa institusi pembangunan sumber manusia, termasuk Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Untuk Kewangan Islam (ISRA), Pusat Antarabangsa Untuk Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Kewangan Asia (AIF) telah ditubuhkan untuk menjayakan hasrat berkenaan. - BERNAMA

"Saya menjangka pengurusan kekayaan Islam akan berkembang ke peringkat seterusnya dalam industri kewangan Islam dengan ketersediaan infrastruktur di segi pembangunan sumber manusia untuk institusi kewangan Islam serta kepakaran yang sudah ada ketika ini," katanya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia dan Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan. Ia bertindak sebagai platform untuk perangkaian dan pertukaran fikiran dan pandangan mengenai fungsi dalaman industri kewangan Islam.
Lebih daripada 300 delegasi membabitkan penggubal dasar, institut penyelidikan, agensi kerajaan serta tokoh akademik menyertai persidangan tersebut.

(Utusan Online / 12 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday 8 June 2014

Adakan piawai patuh syariah

Isu status halal coklat Cadbury benar-benar mencetuskan polemik besar dalam kalangan rakyat sepanjang dua minggu ini. Walaupun keputusan ujian yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi makmal Jabatan Kimia terhadap dua coklat berkenaan telah mengesahkan ketiadaan DNA babi berbanding penemuan awal oleh Kementerian Kesihatan, ternyata masih ramai yang sangsi dan ragu.

Sebagai orang awam kita serahkan sahaja kepada pihak Jakim yang bukan sahaja lebih berautoriti dalam penentuan halal haram setiap produk makanan, malah telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai badan yang paling berkesan dan berkeupayaan dalam mengawal selia industri halal negara.

Bahkan jika ditakdirkan termakan makanan haram lantaran diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekalipun, tidak ada istilah kena samak mahupun tukar darah sebagaimana gesaan segelintir. Ini kerana prinsip Islam jelas menggugurkan tanggungjawab seseorang yang tersilap mahupun melakukan sesuatu diluar kemahuannya sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Ahzab:5).

Ini ditegaskan juga oleh Nabi SAW: "Sesungguhnya Allah SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka". (Riwayat Ibn Majah).

Apa yang mustahak kini, umat Islam mestillah kekal rasional dan tidak berhujah mahupun berdebat melampaui batas. Janganlah dek kerana beremosi kita terjerumus pula dalam perlakuan songsang seperti tohmah dan fitnah yang lebih besar dosanya daripada sekadar termakan makanan haram.

Namun di sebalik polemik coklat haram yang melanda kini, ternyata sensitiviti umat Islam kepada aspek halal haram dalam pemakanan adalah suatu yang tidak boleh dipandang enteng. Lihat sahaja isu-isu pematuhan syariah yang tercetus bukan sahaja melibatkan aspek halal haram pemakanan tetapi kini masyarakat mula mempertikaikan keabsahan status pelaburan ASB/ASN, pelaburan emas bahkan produk perbankan Islam yang ditanggap tidak berapa Islamik. Ini menzahirkan hakikat bahawa masyarakat kini bertambah prihatin berkenaan halal haram dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Mekanisme

Persoalannya, apakah kepentingan rakyat dalam mendapatkan produk dan perkhidmatan yang benar-benar memenuhi prinsip syarak benar-benar terjamin? Apakah kerajaan sudah mempunyai dasar atau mekanisme yang bersifat komprehensif dalam memastikan aspek pematuhan syariah di setiap sektor benar-benar terpelihara?

Ternyata rakyat sering kali tertipu dengan label-label agama yang diguna pakai dalam upaya melariskan produk mahupun perkhidmatan yang ditawarkan. Label ‘patuh syariah’ atau ‘shariah-compliant’ semacam menjadi satu strategi pemasaran ampuh bagi mempengaruhi pengguna masa kini.

Malah penggunaan label ‘patuh syariah’ secara berleluasa tanpa kawalan mengakibatkan ramai pelanggan sudah tertipu bahkan kerugian wang hanya kerana terdorong untuk melanggani dan berurus niaga dengan produk dan perkhidmatan yang kononnya menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Hakikatnya hari ini hanya ada dua industri yang dikawal selia aspek pematuhan syariahnya. Pertama ialah industi produk makanan halal yang dikawal selia dan ditadbir oleh Jakim. Kedua ialah industri kewangan Islam yang dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Walaupun setakat ini kita belum mempunyai satu Akta Halal secara spesifik, urusan berkaitan makanan halal dirangkum dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 serta Perintah-Perintah Perihal Dagangan yang digubal menurut seksyen 28, seperti Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Perintah berkenaan juga menamakan Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ejen pensijilan halal di Malaysia yang diiktiraf di bawah APD 2011 di samping memberi kuasa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai badan penguat kuasa.

Begitu juga dalam industri kewangan Islam, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Bank Negara 2009 dan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2012 turut meletakkan kedudukan syariah pada tahap tertinggi dengan memberi kuasa kepada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti mengawasi dan mengawal selia aspek pematuhan syariah institusi-institusi kewangan Islam di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Malah di bawah Seksyen 28 (5) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, mana-mana pihak yang didapati melanggar aspek pematuhan syariah boleh dikenakan hukuman keras sehingga boleh dipenjarakan tidak lebih lapan tahun atau denda tidak melebihi RM25 juta atau kedua-duanya sekali.

Walaupun tampak aspek pematuhan syariah begitu diperhalusi dan diperketatkan dalam hal ehwal makanan halal dan indusri kewangan Islam yang dikawal selia Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, namun banyak lagi kelompongan dalam pelbagai sektor lain.

Umpamanya bagi sektor atau institusi kewangan yang tidak berada di bawah seliaan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti, tiada sebarang akta perundangan yang mengawal urus niaga berlabel ‘patuh syariah’.
Natijahnya sudah banyak kejadian penipuan atas label agama seperti dalam kes pelaburan emas Geneva, FOREX, Ar-Rahnu, jualan langsung bahkan urus niaga peminjaman menerusi ah long-ah long yang kononnya patuh syariah. Begitu juga dengan koperasi-koperasi yang tampak begitu galak menawarkan produk pembiayaan ‘patuh syariah’ kepada ahli-ahlinya.

Namun ketiadaan undang-undang khusus yang mengawal selia aktiviti dan urus niaga berlabelkan ‘patuh syariah’ seperti inilah yang mendorong pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan agama bagi menipu pengguna yang rata-rata mudah terpengaruh dengan jaminan syurga atas penawaran perkhidmatan yang kononnya memenuhi prinsip syariah.

Justeru sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih bersifat holistik dalam mengawal selia aspek pematuhan syariah di negara ini. Yang dimaksudkan penulis sebagai pendekatan holitisk ialah keperluan mewujudkan satu 'Piawai Patuh Syariah' bersifat menyeluruh dan komprehensif melibatkan semua industri dan urus niaga.

Piawai Patuh Syariah ini amat penting bagi mewujudkan keseragaman dalam produk dan perkhidmatan yang ditawarkan atas label agama. Ini juga dapat mengurangkan kekeliruan dalam kalangan rakyat yang bagaikan mudah dipermainkan bahkan rasa tertipu apabila pelbagai versi halal atau ‘patuh syariah’ yang keluar bagaikan tanpa kawalan.

Bagi tujuan penyelarasan mungkin ada keperluan juga untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya yang diletakkan terus dibawah Majlis Raja-Raja memandangkan dari segi Perlembagaan aspek pematuhan syariah termasuk dalam hal ehwal agama merupakan bidang kuasa di bawah negeri.

Suruhanjaya ini juga boleh menyelaras semua agensi di peringkat persekutan dan negeri-negeri dalam aspek pematuhan syariah termasuklah indusri halal yang ketika ini dikawal selia Jakim mahupun industri perkhidmatan kewangan Islam dibawah Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Bahkan badan ini juga boleh memperkenalkan audit syariah bagi melakukan proses semakan dan audit yang memfokuskan kepada pematuhan syariah secara berkala dan menyeluruh. Audit syariah ini juga akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap aspek pematuhan syariah.

Umumnya rakyat hari ini makin berkesedaran tinggi akan aspek pematuhan syariah yang tidak hanya terhad pada makanan yang halal. Fenomena penawaran barangan dan perkhidmatan berlabelkan ‘patuh syariah’ tanpa kawalan juga membuktikan kecenderungan industri meraih keuntungan di atas kenaifan umat.
Dengan adanya Piawai Patuh Syariah di samping satu badan penyelarasan induk di peringkat persekutuan diharapkan mampu menangani pelbagai penyimpangan dan penyelewengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang memanfaatkan kejahilan umat bagi meraih keuntungan berlipat ganda sehingga mampu memudaratkan rakyat dan negara.

(Utusan Online / 08 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 5 June 2014

PM lancar Pusat Kewangan Islam (IFiC)

KUALA LUMPUR 5 Jun - Perdana Menteri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan pembukaan pusat kewangan Islam setempat (IFiC) yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Katanya, IFiC akan menempatkan beberapa agensi dan penyedia perkhidmatan kewangan Islam di bawah satu bumbung.

Jelasnya, buat permulaan, IFiC akan menempatkan operasi Tabung Haji, TH Travel and Tours, Bank Islam dan Takaful Malaysia.

Malah, menurut Perdana Menteri, dua lokasi IFiC setakat ini adalah di ruang tingkat bawah bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini dan sebuah lagi di Menara Tabung Haji di Johor.

“Tabung Haji yang merupakan milik kerajaan sentiasa peka dengan inisiatif ke arah perkhidmatan yang cekap, telus dan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran kad Tabung Haji Debit-i Mastercard, Coffee Table Book dan IFiC di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

(Utusan Online / 5 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Pusat Kewangan Islam Setempat dilancar

KUALA LUMPUR 5 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pembukaan pusat kewangan Islam setempat (IFiC) yang ditubuhkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Perdana Menteri berkata, IFiC akan menempatkan beberapa agensi dan penyedia perkhidmatan kewangan Islam di bawah satu bumbung seperti mana Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Beliau berkata, buat permulaan, IFiC akan menempatkan operasi TH, TH Travel and Services, Bank Islam dan Takaful Malaysia.

Malah, menurut Perdana Menteri, dua lokasi IFiC setakat ini adalah di ruang tingkat bawah bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini dan sebuah lagi di Menara TH di Johor.

"TH yang merupakan milik kerajaan sentiasa peka dengan inisiatif ke arah perkhidmatan yang cekap, telus dan mudah," katanya berucap pada majlis pelancaran kad Tabung Haji Debiti Mastercard, Coffee Table Book dan IFiC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Sementara itu, Ismee menambah, pihaknya mahu membuka IFiC di seluruh negara dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi dengan terdekat dijangka dibuka di Melaka dan utara Semenanjung Malaysia.
"Pembukaan IFiC ini perlu mengikut keperluan dan permintaan semasa dan beroperasi mengikut jadual operasi cawangancawangan TH yang lain.

"IFiC dapat memberi penjimatan kos kerana ditempatkan di bawah satu bumbung dan memberi impak dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Ketika ditanya mengenai kad TH Debiti Mastercard yang baru dilancarkan, Ismee berkata, pendeposit TH boleh memohon secara sukarela dan TH menyasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 sehingga 10,000 kad terbabit dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini.

Katanya, kad debit itu memudahkan urusan pendeposit untuk berbelanja di dalam dan di luar negara.
"Kita akan mengehadkan pengeluaran bagi setiap kad debit itu dan caj pengeluaran untuk mengeluarkan kad adalah RM8 sekeping. Pemilik kad debit perlu mempunyai akaun simpanan dengan TH," ujarnya.

(Utusan Online / 06 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 4 June 2014

Bagaimana mahu faraid barang kemas


Soalan
Assalamualaikum Ustazah.
Ibu saya telah meninggal setahun  yang lalu. Dia ada meninggalkan harta dan barang kemas (emas). Bagaimankaah saya dan adik-beradik patut membahagi-bahagikan emas tersebut. untuk pengetahuan Ustazah, kami ada lima orang adik-beradik - tiga lelaki dan dua perempuan.

Terima kasih

Jawapan:
Harta pusaka ialah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia. Harta itu milik si mati semasa hayatnya dan tidak dihibahkan kepada sesiapa dan tidak pula diwasiatkan. Harta itu akan diwarisi oleh waris-waris yang telah ditentukan mengikut hukum faraid.

Allah berfirman; Bermaksud; ”Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan…” (surah An-Nisa’ : ayat 11)

Ia bermaksud 1 nisbah 2. Anak perempuan mendapat satu bahagian setiap seorang manakala anak lelaki mendapat dua bahagian setiap seorang.

Dalam permasaalahan ini anak lelaki tiga orang, bermakna 3 x 2 = 6 bahagian, manakala anak perempuan dua orang setiap seorang satu bahagian bermakna 2 x 1 = 2. Harta itu hendaklah dibahagi lapan. Anak lelaki setiap seorang dapat 2 perlapan manakala anak perempuan dapat 1 perlapan.

Sekian, Wallahu’alam


(Harakah Daily / 04 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 3 June 2014

Bank Syariah Siapkan Produk Investasi Global

SEMARANG, suaramerdeka.com - Dalam rangka menghadapi era global bank syariah mulai mempersiapkan strategi agar dapat bersaing dengan lembaga keuangan lain secara luas. Upaya itu agar lembaga keuangan yang beroperasi dengan sistem syariah ini dapat tumbuh ke depannya.
Direktur Bank Muamalat Cabang Semarang, Karsono mengatakan, untuk meningkatkan daya saing di era globalisasi perbankan syariah akan menerapkan sejumlah strategi.
''Kami akan menyiapkan produk investasi global yang bisa diakses oleh seluruh masyarakat termasuk investor asing. Adapun strategi kami adalah membidik investor asing yang berasal dari negara Timur Tengah,'' ungkapnya dalam talkshow Implementasi Perbankan Syariah di Era Global di Fakultas Ekonomi Universitas Muhammadiyah Semarang, Selasa (3/6).
Kendati demikian, lanjut dia, upaya awal yang harus dilakukan adalah memasyarakatkan prinsip syariah kepada masyarakat luas. Tidak hanya untuk umat muslim tetapi juga kepada agama atau aliran lainnya.
''Kami memang perlu melakukan ekspansi segmen pasar bank syariah. Sebab, nilai universalitas akan menjadikan bank syariah dapat diterima untuk semua kalangan,'' imbuh Karsono.
Disamping itu Bank Muamalat juga akan menyiapkan sumber daya manusia yang berkualitas dan mengakselerasi sekaligus inovasi produk perbankan syariah. Upaya itu dilakukan agar produk yang akan digunakan secara luas dapat menjadi kekuatan bisnis pada bank syariah.
Sementara itu Bank Indonesia merilis, meskipun pangsa pasar bank syariah hanya sekitar 5%-6% dibandingkan bank konvensional, tetapi pertumbuhan dan penyaluran kreditnya lebih tinggi.
Kepala Otoritas Jasa Keuangan (OJK) Regional Jateng-DIY, Y Santoso Wibowo menyampaikan, pangsa pasar perbankan syariah memang kecil. Kendati demikian ada hal-hal positif dari lembaga keuangan berprinsip syariah.
''Untuk total aset bank syariah per Maret 2014 sebesar Rp 250triliun, kondisi itu jelas jauh dengan total aset bank nasional sebesar Rp 4.800triliun. Akan tetapi pertumbuhan bank syariah mencapai 45%, sedangkan bank konvesional hanya 18%,'' ungkapnya.
Ke depan, lanjut dia, perlu ada diversifikasi produk bank syariah dan mendorong intermediasi melalui bazar. Tujuannya adalah memasyarakatkan bank syariah.
(Suara Merdeka.Com / 03 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday 2 June 2014

CGC Cadang RM30 Juta Sebagai Bahagian Pertama Dalam Skim Bizmula-i

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) mencadangkan portfolio awal sebanyak RM30 juta untuk pembiayaan 600 PKS dalam bahagian pertama skim BizMula-i.

CGC dalam satu kenyataan berkata skim itu membiayai perniagaan baharu yang dilihat sebagai berisiko tinggi dalam sektor kewangan.

Ia bertujuan meningkatkan pembangunan perniagaan baharu yang tidak mempunyai cagaran atau rekod prestasi.

Prinsip asasnya adalah untuk menggalakkan dan melahirkan ahli perniagaan baharu yang mempunyai pelan perniagaan dan memiliki tahap keusahawanan yang tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Wan Azhar Ahmad Wan berkata skim patuh Syariah ini unik kerana perniagaan akan dibiayai secara langsung oleh syarikat.

Katanya pembiayaan bermula daripada RM50,000 hingga RM300,000 dengan tempoh bayaran balik selama tujuh tahun.

Katanya perniagaan baharu perlu diberikan akses mudah kepada kemudahan pembiayaan memandangkan pergantungan sepenuhnya kepada modal sendiri tidak mencukupi untuk mengekalkan dan mengukuhkan perniagaan mereka.

Skim pembiayaan langsung BizMula-i CGC ini layak untuk mereka yang berusia 21 hingga 58 tahun, mempunyai lesen perniagaan yang didaftarkan di Malaysia di bawah kuasa tempatan dan memiliki syarikat dalam kategori PKS yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (NCSC).

Syarikat juga perlu dikawal atau dimiliki oleh warganegara Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham dan dilesenkan atau telah beroperasi selama kurang dari tiga tahun.

"Pada masa ini terdapat kira-kira 137,000 perniagaan dan syarikat aktif yang beroperasi kurang dari tiga tahun, yang memerlukan kemudahan pembiayaan yang memberi manfaat kepada mereka.

"Kebanyakan perniagaan ini diusahakan mereka yang berusia 35 tahun ke atas, yang mewakili 60 peratus daripada jumlah komposisi perniagaan PKS," kata Wan Azhar semasa pelancaran BizMula-i di sini hari ini.


(Pertubuhan Berita National Negara / 02 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com