Terkini

Monday 2 June 2014

CGC Cadang RM30 Juta Sebagai Bahagian Pertama Dalam Skim Bizmula-i

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) mencadangkan portfolio awal sebanyak RM30 juta untuk pembiayaan 600 PKS dalam bahagian pertama skim BizMula-i.

CGC dalam satu kenyataan berkata skim itu membiayai perniagaan baharu yang dilihat sebagai berisiko tinggi dalam sektor kewangan.

Ia bertujuan meningkatkan pembangunan perniagaan baharu yang tidak mempunyai cagaran atau rekod prestasi.

Prinsip asasnya adalah untuk menggalakkan dan melahirkan ahli perniagaan baharu yang mempunyai pelan perniagaan dan memiliki tahap keusahawanan yang tinggi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Wan Azhar Ahmad Wan berkata skim patuh Syariah ini unik kerana perniagaan akan dibiayai secara langsung oleh syarikat.

Katanya pembiayaan bermula daripada RM50,000 hingga RM300,000 dengan tempoh bayaran balik selama tujuh tahun.

Katanya perniagaan baharu perlu diberikan akses mudah kepada kemudahan pembiayaan memandangkan pergantungan sepenuhnya kepada modal sendiri tidak mencukupi untuk mengekalkan dan mengukuhkan perniagaan mereka.

Skim pembiayaan langsung BizMula-i CGC ini layak untuk mereka yang berusia 21 hingga 58 tahun, mempunyai lesen perniagaan yang didaftarkan di Malaysia di bawah kuasa tempatan dan memiliki syarikat dalam kategori PKS yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (NCSC).

Syarikat juga perlu dikawal atau dimiliki oleh warganegara Malaysia dengan sekurang-kurangnya 51 peratus pegangan saham dan dilesenkan atau telah beroperasi selama kurang dari tiga tahun.

"Pada masa ini terdapat kira-kira 137,000 perniagaan dan syarikat aktif yang beroperasi kurang dari tiga tahun, yang memerlukan kemudahan pembiayaan yang memberi manfaat kepada mereka.

"Kebanyakan perniagaan ini diusahakan mereka yang berusia 35 tahun ke atas, yang mewakili 60 peratus daripada jumlah komposisi perniagaan PKS," kata Wan Azhar semasa pelancaran BizMula-i di sini hari ini.


(Pertubuhan Berita National Negara / 02 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment