Terkini

Wednesday 11 June 2014

Malaysia jadi perintis pengurusan kekayaan Islam

KUALA LUMPUR 11 Jun - Malaysia berharap menjadi negara pertama di dunia memperkenalkan pengurusan kekayaan Islam dan memperjuangkan produk baharu itu di bawah sistem kewangan Islam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengurusan kekayaan Islam adalah sub sektor yang menarik dan menjanjikan pulangan baik dalam industri perkhidmatan kewangan.

"Kita memahami konsep pengurusan kekayaan daripada perspektif Syariah yang merangkumi aspek fizikal dan kerohanian kekayaan.

"Prinsip ini bertentangan dengan pengurusan kekayaan konvensional yang memberi tumpuan hanya kepada kekayaan fizikal atau material," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan pengurusan kekayaan Islam anjuran MFPC dan Labuan IBFC di sini hari ini.

Ahmad berkata, setelah memantapkan diri sebagai peneraju global kewangan Islam, Malaysia kini adalah pasaran ketiga terbesar dunia untuk aset Syariah, iaitu produk dan perkhidmatan perbankan Islam, sukuk dan takaful.

Menurutnya, bagi meningkatkan hasrat Malaysia menjadi pusat kecemerlangan intelek dalam kewangan Islam, kerajaan meningkatkan usaha ke arah itu.

"Beberapa institusi pembangunan sumber manusia, termasuk Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Untuk Kewangan Islam (ISRA), Pusat Antarabangsa Untuk Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF), Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Kewangan Asia (AIF) telah ditubuhkan untuk menjayakan hasrat berkenaan. - BERNAMA

"Saya menjangka pengurusan kekayaan Islam akan berkembang ke peringkat seterusnya dalam industri kewangan Islam dengan ketersediaan infrastruktur di segi pembangunan sumber manusia untuk institusi kewangan Islam serta kepakaran yang sudah ada ketika ini," katanya.

Persidangan dua hari itu dianjurkan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia dan Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan. Ia bertindak sebagai platform untuk perangkaian dan pertukaran fikiran dan pandangan mengenai fungsi dalaman industri kewangan Islam.
Lebih daripada 300 delegasi membabitkan penggubal dasar, institut penyelidikan, agensi kerajaan serta tokoh akademik menyertai persidangan tersebut.

(Utusan Online / 12 June 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment