Terkini

Showing posts with label Syariah. Show all posts
Showing posts with label Syariah. Show all posts

Saturday, 26 July 2008

Kekaburan fahami erti riba sukarkan natijah syariat - Perspektif IKIM

Oleh Mohd Noor Omar

Kegagalan selami pengurusan kewangan, ekonomi selari syariah ancam kestabilan ekonomi

PERSOALAN mengenai faedah atau riba dalam urusan kewangan menjadi tajuk perbincangan penting sejak berabad lamanya. Kegagalan memahami istilah dan penggunaan secara tepat menyebabkan kepincangan dalam pengurusan kewangan dan ekonomi.

Sejak penggunaan istilah yang saling berkongsi makna sama itu dan perkembangan muamalah kewangan Islam, kegiatan yang mempunyai faedah dielakkan ekoran pengharamannya. Kekaburan maksud sebenar riba dan pengabaian sudut etika pengurusan kewangan Islam menyukarkan natijah syariat.


Oleh itu, mengharuskan sesuatu amalan muamalah dengan tidak menggunakan akad yang dinisbahkan kepada faedah tidak bermakna sesuatu muamalah itu menepati ajaran Islam.

Pengharaman riba ditemui sejak 2,000-1,400 SM dalam tamadun keagamaan India. Begitu juga dalam kitab Bible (Old Testament-Ezekiel), yang menganggap riba adalah jenayah setanding dengan kesalahan merogol, membunuh, mencuri dan syirik di kalangan kaum Yahudi tahun keenam SM.

Seterusnya, Kod Hammurabi mengawal amalan riba dengan mengenakan had tertentu ke atas pemberian pinjaman wang.

Plato dan Aristotle mengakui riba sebagai tidak bermoral dan tidak adil. Greek menjadi antara yang pertama menguatkuasakan kawalan kadar tertentu ke atas riba (800-600 SM), diikuti Rom (443 SM) menetapkan kadar riba tidak boleh melebihi 8.33 peratus kemudian dinaikkan kepada 12 peratus.

Pada kurun ketujuh Masihi, al-Quran menegaskan pengharaman riba ke atas seluruh umat manusia dan mencela amalan itu.

Di Malaysia, amalan perbankan dan badan kewangan menetapkan kadar faedah pinjaman kepada Kadar Asas Pinjaman (Base Lending Rate-BLR) yang ketika ini 6.8 peratus, manakala jendela kewangan dan perbankan Islam pula menutup terus amalan berunsurkan faedah ke atas pinjaman kecuali hanya membuka ruangan ke atas akad 'jual beli'.

Perkembangan pemikir ekonomi moden seperti Adam Smith, Keynes dan Silvio Gesell, menyokong pencegahan amalan riba dengan memberi fikrah mengehadkan kadar tertentu keharusannya. Ada juga ahli ekonomi sezaman mereka menganggap riba seperti penyakit kanser dalam masyarakat.

Melihat kepada pemikir Islam dan fatwa fiqh antarabangsa, pengenaan sebarang tambahan bayaran balik ke atas pinjaman wang melebihi jumlah dipinjamkan tanpa mengambil kira bentuk dan istilah digunakan adalah haram dan ditegah sama sekali.

Dalam Riba in Islam, Fiqh of Contemporary Issues - Mohammad Razi (May 2008) menyimpulkan bahawa riba dalam apa bentuk sekalipun ke atas pinjaman tidak boleh dan haram di sisi agama Islam. Dengan kata lain, mengambil pulangan secara melebihi daripada pinjaman tidak dibolehkan, walaupun berbagai hujah logik diberikan atau mendapat keredaan pihak berkenaan.

Pengharaman riba bertujuan memberi keadilan dalam urusan kewangan dan mengelakkan daripada berlakunya penindasan golongan kaya ke atas golongan miskin. Riba juga membuatkan orang miskin bertambah miskin, manakala orang kaya tidak mahu berusaha memakmurkan sumber modal hanya mengharapkan pulangan hasil tekanan kadar tinggi ke atas peminjam. Akibatnya, ekonomi akan mundur dan cenderung memusnahkan kemakmuran sesebuah negara.

Apa yang digalakkan Islam adalah berniaga atau bermuamalah pertukaran berlandaskan keredaan dengan jalan jualbeli atau kemakmuran ekonomi menerusi perkongsian. Pengagihan kekayaan secara adil dan menggalakkan amalan bersedekah, di samping menunaikan zakat ke atas pemilikan kekayaan.

Agihan ini dapat dirasai orang kurang berkemampuan, manakala harta yang diperoleh menepati kehendak syariah mendapat berkat seterusnya menambahkan lagi kemakmuran negara. Pulangan dengan hanya memberi pinjaman tanpa mengusahakan sesuatu kegiatan ekonomi dihapuskan.

Kecenderungan terkini yang ditakuti ialah ada pihak cuba menyembunyikan amalan riba dalam akad diberi istilah tertentu. Dengan hanya menggunakan istilah bay' tidak bermakna ia tidak mengandungi riba jika akad berkenaan adalah pinjaman.

Seperkara lagi yang jelas dari segi amalannya, tidak kira sama ada institusi itu dinisbahkan sebagai badan Islam atau tidak, sekiranya mereka memberi pinjaman atau melaksanakan akad muamalah, kebergantungan kepada BLR masih tidak dapat dielakkan. BLR digunakan sebagai asas kepada kadar keuntungan aqad yang digunakan dan amalan riba dibenarkan berlaku.

Keruncingan pengurusan kewangan dan ekonomi kebelakangan ini akibat ketidaktentuan naik turun nilainya, perlu dilihat sebagai desakan yang menuntut kita menakrifkan semula riba, faedah, wang, harga dan etika pengurusan kewangan serta menyusun semula tatacara pentadbiran kewangan menyeluruh.

Masalah subprima yang dihadapi Amerika Syarikat sekarang yang bakal melumpuhkan ekonomi negara mungkin boleh dijadikan pengajaran bahawa kesan kegagalan memahami kaedah pengurusan kewangan dan ekonomi, selari kehendak syariah mengancam kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 11 March 2008

Ar-Rahnu Pajak Gadai Islam Pertama Di Dunia

SISTEM cagaran untuk mendapatkan wang telah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. apabila Baginda pernah membeli makanan daripada orang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya, menurut satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


Allah s.w.t. berfirman bermaksud: Jika kamu dalam perjalanan (dan bermuamalah tidak secara tunai) sedangkan kamu tidak memperoleh seorang penulis, maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang (oleh yang berpiutang). Akan tetapi jika sebahagian kamu mempercayai sebahagian yang lain, maka hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanatnya (hutangnya) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya; dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah: 283)


Dalam Islam telah termaktub sistem yang sempurna dan praktikal untuk dilaksanakan oleh umatnya bagi mengelakkan berlakunya riba dan unsur-unsur gharar (penipuan). Bagaimanapun, sejak zaman pemerintahan British di negara ini, perniagaan pajak gadai banyak diusahakan masyarakat Cina. Ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak. Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdullah @ Alwi Hassan berkata, orang Melayu-Islam di negara ini memerlukan perkhidmatan mudah tunai dengan menggadai barang-barang tertentu untuk dijadikan modal pusingan dari semasa ke semasa.


Kebiasaannya mereka menggunakan wang untuk membeli barang keperluan seperti beras dan bahan makanan.“Apabila kesuntukan wang, mereka akan menggunakan barang kemas untuk membeli barang-barang lain atau ditebus balik. Tetapi persoalan yang timbul di sini ialah kadar bunga atau faedah yang dikenakan kepada penggadai. Malah, ada ketikanya barang tersebut akan lupus jika mereka gagal menebusnya kembali. Ini menunjukkan berlaku pengambilan terus secara tidak adil,” jelas beliau mengenai operasi pajak gadai konvensional. Pada 1990, bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tan Sri Jaafar Hussin berucap dalam sebuah forum di Pulau Pinang tentang betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam menerusi sistem perbankan memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk memperoleh wang melalui cagaran.


Sebagai menyahut seruan itu, kerajaan Terengganu buat pertama kalinya telah melaksanakan Muassasah Gadaian Islam Terengganu pada 23 Januari 1992. Pajak gadai itu ditubuhkan di bawah Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Terengganu. Penubuhan pajakan dan operasi itu termaktub di bawah peruntukan Seksyen 12 dan 14 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Bil.2) 1986. Dari segi perundangan, operasi Muassasah Gadaian Islam Terengganu tertakluk di bawah Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Peraturannya berkuatkuasa pada 1 Jun 1992. Pelaksanaan Muassasah Gadaian Islam Terengganu yang memenuhi kehendak syariah Islam telah menarik minat Perbadanan Kemajuan Iktisad Kelantan. Melalui anak syarikatnya, Permodalan Kelantan Berhad, ia telah mewujudkan Kedai Ar-Rahn yang memulakan operasi pada Mac 1992 dengan modal awal RM2 juta. Ia merupakan syarikat atau institusi gadaian Islam terawal di Malaysia. Kerajaan pusat telah menyarankan dilaksanakan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu di seluruh negara menjelang 1993.


Kalangan ahli fuqaha dan sarjana undang-undang Islam mentakrifkan gadaian sebagai barang yang disahkan sebagai cagaran hutang atau dengan kata lain menjadikan sesuatu harta yang mempunyai harga sebagai jaminan hutang. Ia akan dijadikan pembayaran hutang sekiranya hutang tidak mampu dijelaskan. Semua barang yang boleh diperdagangkan boleh digadaikan dalam tanggungan orang berhutang. Ar-Rahnu dari sudut bahasa membawa maksud tetap (al-Dawam) dan penahanan (al-Habs).


Dari segi pelaksanaan yang lebih meluas, Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) telah memperkenalkan skim pajak gadai Islam kepada masyarakat umum. Pelaksanaannya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertindak sebagai badan kawal selia kerajaan.“Sebagaimana institusi kewangan Islam yang lain seperti takaful dan Bank Islam, skim Ar-Rahnu bertujuan untuk mengelakkan umat Islam daripada terlibat dengan amalan riba dan ketidakadilan dalam sistem pajak gadai konvensional. Dari segi ekonomi, skim ini menjadi platform untuk mendapatkan modal segera dalam perniagaan barang-barang runcit,” ujar Abdullah mengenai objektif pelaksanaan skim Ar-Rahnu.


YPEIM menjadi pelabur utama dan penyelaras dana pelaburan dan Bank Rakyat bertindak sebagai pengurus pelaksanaan operasi skim tersebut. Projek itu dijalankan berdasarkan kepada konsep Mudarabah Khas (Muqayyadah). Skim yang bermula pada 21 Oktober 1993 itu melibatkan pelaburan berjumlah RM5 juta daripada YPEIM dengan pembahagian keuntungan 70:30. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, YPEIM kemudian menjalin kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Bank Pertanian Malaysia. Pelaksanaan skim itu di semua institusi kewangan adalah selaras dengan hukum syariah.


Beberapa badan pergerakan koperasi dan kerajaan negeri turut menceburkan diri dalam bidang itu. Contohnya, kerajaan Perlis telah menubuhkan sistem pajak gadai Islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan koperasi yang terawal dalam pelaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun Terengganu.Jelas Abdullah, konsep Ar-Rahnu menggalakkan pinjaman tanpa faedah kepada mereka yang memerlukan dan membantu masyarakat tanpa mengira batas agama dan keturunan. Selain itu, ia dapat mengelakkan penglibatan umat Islam dengan transaksi perdagangan yang berunsur negatif. Islam menghalalkan gadaian kerana ia berupaya meningkatkan taraf sosial dan keadilan dalam masyarakat. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dijalankan, beliau mendapati pajak gadai konvensional mempunyai beberapa aspek yang bercanggah dengan hukum Islam terutama dari segi pelaksanaan dan operasi. Katanya, penyelewengan berlaku dari segi nilai gadaian yang semakin menyusut walaupun barang kemas didapati lebih berat. Malah undang-undang pajak gadai tidak mewajibkan peniaga pajak gadai mencatatkan saiz dan berat barang kemas pada resit gadaian. Mereka juga dikenal pasti menetapkan kadar faedah yang berlebihan berbanding yang telah termaktub dalam Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.Tambah Abdullah, sistem konvensional memberi nilai gadaian rendah walaupun banyak barang yang hendak digadai kerana akta tidak menetapkan kriteria untuk meletakkan harga pada barang gadaian. Peniaga pajak gadai turut mengenakan bayaran ke atas resit gadaian. Berdasarkan kepada akta itu, pemegang gadaian boleh mendapatkan semula resit secara percuma apabila memohon penangguhan tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran 50 sen untuk setiap salinan resit gadaian yang seterusnya. Mereka berani mengambil kesempatan kerana akta tidak mewajibkan pemberian resit bagi barang yang telah digadai kecuali pemegang yang perlu menyerahkan surat pajak gadai sahaja.“Pada masa yang sama, peniaga pajak gadai tidak memulangkan wang lebihan selepas lelongan dan ditolak jumlah hutang. Tindakan ini ternyata menindas pengguna yang amat memerlukan wang tersebut,” katanya.Apabila peniaga pajak gadai didapati sewenang-wenangnya menindas pengguna yang kurang arif mengenai operasi pajak gadai, secara tidak langsung ia membuktikan kelemahan Seksyen 46, Akta Pemegang Pajak Gadai 1972. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah akta itu tidak mewajibkan peniaga menunjukkan kadar faedah yang ditetapkan di tempat terbuka dengan jelas atau menerangkan kepada penggadai yang buta huruf kerana perniagaan pajak gadai tidak dipantau dengan ketat.Akta tersebut juga tidak menetapkan kawalan atau peraturan terhadap acara melelong barang gadaian yang tidak ditebus. Malah tidak dinyatakan waktu dan tempat lelongan diadakan. Barang gadaian yang hendak dilelong juga tidak dipamerkan.“Walaupun akta ada menyatakan pemegang lesen bertanggungjawab terhadap barang cagaran tetapi jika berlaku kerosakan, pampasan yang dibayar kepada penggadai adalah tidak adil kerana ia menerima nilai yang lebih rendah dan kurang daripada nilai gadaian sebenar,” ujar Abdullah.Enam bulan adalah tempoh pajakan yang singkat jika jumlah pinjaman yang dibuat adalah besar dan penggadai terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah. Pada masa yang sama, penggadai turut dibebankan dengan kadar faedah yang tinggi kerana perniagaan pajak gadai memerlukan modal yang besar. Selain itu, akta itu hanya mengehadkan peniaga pajak gadai memberi pinjaman sebanyak RM5,000 dan jika lebih ia perlu mendapatkan lesen peminjam wang. Keadaan ini sangat merugikan penggadai kerana keadaan inflasi akan menaikkan nilai barangan.


Dari segi menamatkan kontrak gadaian, Abdullah menjelaskan, barang gadaian akan diserahkan apabila penggadai telah melunaskan hutang kepada pemegang gadai. Sekiranya penggadai tidak mampu membayar hutang yang diambil, apabila tamat kontrak, dengan kebenaran hakim pemegang gadai boleh melelong barang tersebut dan ia hanya boleh meletakkan harga barang tersebut sebanyak hutang yang dikenakanSelain itu, kontrak juga boleh berakhir dengan pelupusan hutang (ibra’) iaitu pemegang gadai bersetuju menghapuskan hutang dengan memulangkan semua barang tersebut tanpa membayar hutang. Mengenai status penggadai yang meninggal dunia, Abdullah menyatakan, kontrak gadaian tidak akan berakhir atau terbatal sekiranya berlaku kematian. Jika penggadai atau pemegang gadai meninggal dunia, waris-waris akan menggantikan tempat mereka. Sekiranya waris masih kecil atau berada di luar negara, maka waris boleh menjual harta gadaian dengan persetujuan pemegang gadaian dan ia hanya boleh digunakan untuk menjelaskan hutang si mati.“Dalam kes gadaian yang menggunakan harta yang dipinjam pula, sekiranya berlaku kematian, pemegang gadai tidak boleh menjual barang tersebut melainkan dengan keizinan pemberi pinjaman. Tetapi jika pemberi pinjaman ingin menjualnya tanpa keizinan pemegang gadai, syaratnya harga jualan perlu dapat menampung jumlah hutang,” jelas Abdullah. Sistem pajak gadai Islam ternyata memberi kelebihan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan kerana ia berlandaskan kepada hukum Islam. Pajak gadai Islam dinilai oleh penasihat syariah yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang undang-undang Islam. Ar-Rahnu yang dijalankan di Malaysia merupakan sistem pajak gadai yang pertama di dunia dan hingga kini masih belum ada sistem yang seumpamanya di dunia.
Utusan Malaysia
28 Mac 2006
Oleh Zunaidah Zainon


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 20 February 2008

Ekonomi Islam : Tawhid dan Penyusunan Sistem Ekonomi

Nik Mustapha bin Haji Nik Hassan

Tawhid menganjurkan bahawa sistem ekonomi hendaklah berusaha kepada wujudnya suasana al-'Adl wal Ihsan (keadilan dan kerjasama).Prinsip al-'Adl wal Ihsan ini menganjurkan bahawa sistem ekonomi dalam negara Islam mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan ekonomi dan ekonomi kerjasama di kalangan ke semua sektor - awam, swasta dan sukarela. Kedua-dua unsur ini adalah asas pencapaian perjalanan sistem ekonomi yang teratur, cekap dan progresif. Keadilan ekonomi yang menepati prinsip al-'Adl membawa pengertian yang mendalam. Secara ringkas, beberapa ciri berikut dapat menjelaskan keadilan dalam perjalanan sistem ekonomi:


i. Setiap individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta tertakluk kepada Syariah dan menjaminkan harta sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi melalui pencapaian tertinggi kegiatan ekonomi pada tiap masa semungkin. Melalui pencapaian tersebut kestabilan keadaan ekonomi seperti pencapaian gunatenaga penuh, kestabilan paras harga dan pencapaian pertumbuhan ekonomi akan tercapai. Ini memungkin kos sara hidup yang rendah dalam ekonomi.


ii. Setiap individu mempunyai kebebasan dan peluang yang adil dalam menceburi dalam setiap urusan ekonomi yang dibenarkan oleh Syariah. Tidak ada golongan yang boleh menggagalkan kebebasan ini. Negara dengan itu mempunyai tanggungjawab dalam mengawal bahawa kebebasan ini benar-benar dapat dilaksana.


iii. Setiap individu dalam negara Islam semestinya dapat memenuhi keperluan asasinya yang mana tanpa keperluan tersebut, ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat. Pembasmian kemiskinan adalah usaha ke arah matlamat tersebut. Mengikut Imam Al-Ghazali, keperluan tersebut dapat dipenuhi melalui pemeliharaan keimanan, kehidupan, intelek, keturunan dan kekayaan mereka. Negara bertanggungjawab memastikan matlamat ini tercapai melalui semua dasar-dasar yang dikemukakan.


iv. Setiap faktor yang menyumbangkan kepada proses pengeluaran ekonomi hendaklah mendapat ganjaran yang setimpal dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan yang positif kepada faktor modal dengan berlandaskan sistem riba adalah diharamkan. Begitu dengan mekanisme lain yang berunsur exploitatif.


v. Setiap peruntukan sumber negara hendaklah mengikut keutamaan keperluan rakyat semasa dan setempat. Panduan Syariah perlu diikuti dalam hal tersebut.vi. Setiap bentuk pembaziran samada dalam bentuk projek atau perayaan yang hendak dilaksanakan atau pembaziran disebabkan ketidakcekapan yang terdapat dalam proses pengeluaran, pengagihan dan penggunaan mestilah dibasmikan.


Ekonomi kerjasama yang menepati konsep al-Ihsan pada hakikat yang sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi. Islam menganjurkan bahawa kesemua unit ekonomi bekerjasama dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Setiap unit ekonomi samada, sektor awam atau swasta, pengguna atau pengeluar, pekerja atau majikan dan seterusnya, sepatutnya mempunyai matlamat yang satu, iaitu mentaati prinsip agama. Oleh itu, setiap unit ekonomi perlu saling membantu di antara satu sama lain kerana mereka saling memerlui. Pendekatan ini menjamin kestabilan dan keutuhan perjalanan ekonomi.Dari kefahaman dan pendekatan ini, ia akan mengurangkan pertelingkahan di antara pasangan unit ekonomi, seperti sektor awam - sektor swasta; majikan-pekerja; penjual-pembeli; pengeluar-pengguna; dan sebagainya dalam sistem ekonomi yang berasaskan tawhid. Ini adalah kerana kesemua unit ekonomi tersebut mempunyai matlamat dan arah yang sama iaitu mengabdikan diri kepada arahan Allah S.W.T. Dengan itu, dapat kita rumuskan bahawa Islam menganjurkan perhubungan secara kerjasama dan bukan secara persaingan. Bahkan kerjasama adalah inti kepada keutuhan kegiatan ekonomi negara.Di samping itu, pendekatan Islam berkaitan dengan kerjasama dalam sistem kehidupan ini menolak dengan kerasnya pendekatan hidup dalam sistem sekular seperti falsafah Struggle for Existence. Islam menyarankan Cooperation for Existence sebagai asas pegangan hidup, bersesuaian dengan falsafah tauhid. Islam mengutama keharmonian dan keikraban hidup bermasyarakat semoga suasana kestabilan masyarakat dapat dipupuk. Keadaan tersebut sesuai untuk kegiatan ekonomi berperanan secara aktif. Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang dinamik yang pasti akan menghasilkan natijah yang positif kepada kegiatan ekonomi negara dan juga kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dalam negara.Tawhid juga mengajar manusia pendekatan yang berharmoni dalam perhubungan mereka dengan segala kejadian Allah S.W.T yang lain seperti sumber bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Manusia dalam mengusahakan kejadian Allah S.W.T ini mesti sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T seperti mengguna segala sumber dengan secekap yang mungkin dan jangan membazir, dan memperhitungkan kesan luaran yang negatif (negative externality) akibat daripada penggunaan segala sumber tersebut supaya kebajikan masyarakat, umpamanya kekotoran alam (pollution) dan keruntuhan akhlak masyarakat dapat diminimakan. Walaupun kesemua kejadian di bumi dicipta untuk keperluan dan kegunaan manusia, manusia mesti mengguna mereka dengan sempurna semoga ia tidak mendatangkan akibat buruk kepada kebajikan manusia sendiri. Dengan itu, setiap penggunaan sumber oleh manusia dalam kegiatan ekonomi ada ikatan dengan falsafah tauhid.Natijah daripada kefahaman konsep dan pelaksanaan tauhid dalam sesebuah sistem ekonomi itu akan lahirlah satu masyarakat yang mempunyai satu matlamat yang jelas dalam urusan ekonomi mereka iaitu ke arah usaha mentaati perintah agama dan bukan ke arah mengexploitasi di antara satu sama lain untuk kepentingan diri. Oleh itu, sistem ekonomi Islam mesti dibangunkan di atas semangat tauhid.Prinsip dan struktur sistem ekonomi sedemikian akan mempunyai peranannya yang tersendiri dalam rangka menjayakan matlamat yang hendak dihasilkan oleh negara Islam. Pada umumnya, negara Islam bermatlamat untuk mewujudkan satu masyarakat yang adil, aman dan makmur di mana kehidupan rakyat menepati kehendak Allah S.W.T ke atas manusia.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


Monday, 19 November 2007

Public Mutual lancar dana Islam labur di China

KUALA LUMPUR 19 Nov. – Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual Bhd. (Public Mutual) akan melancarkan dana Islam China pertamanya, Public Dana China Ittikal (PCIF) esok.
Pengerusi Public Mutual, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, dana tersebut akan dilaburkan di rantau China.
‘‘PCIF akan mengambil manfaat daripada prospek pertumbuhan yang kukuh di rantau tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PCIF ialah sebuah dana ekuiti Islam yang bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang dengan melabur dalam sebuah portfolio pelaburan yang memenuhi kehendak Syariah.
Menurut kenyataan itu, minimum 70 peratus nilai aset bersih (NAB) dana akan dilabur di rantau China iaitu di pasaran Hong Kong, China dan Taiwan.
Harga terbitan/NAB PCIF ialah sebanyak RM0.2500 seunit di sepanjang tempoh tawaran permulaan selama 21 hari dari 20 November hingga 10 Disember ini.
Di sepanjang tempoh tawaran permulaan PCIF, bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit akan dikenakan ke atas pembelian unit PCIF oleh para pelabur.
Para pelabur yang memilih untuk melabur dengan Arahan Debit Terus dengan PCIF semasa tempoh tawaran juga akan menikmati bayaran perkhidmatan promosi sebanyak 5.45 peratus NAB seunit selagi Debit Terus itu masih aktif.
Pelaburan permulaan minimum dana ini ialah RM1,000 dan pelaburan tambahan minimum ialah RM100.
Pelabur yang berminat boleh menghubungi mana-mana perunding unit amanah Public Mutual atau dail Talian Perkhidmatan Pelanggan 03-6279 5252 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana ini.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 23 June 2007

Pematuhan Syariah dalam perbankan Islam

ISLAM adalah agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai panduan yang lengkap lagi sempurna meliputi semua aspek kehidupan manusia seperti firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat tiga (3) yang bermaksud:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam itu sebagai agama bagi kamu”.
Islam sebagai cara hidup yang lengkap bukan sahaja tertakluk kepada hal ibadat ritual tetapi ia juga merangkumi setiap aspek kehidupan termasuk hubungan sesama manusia. Syariah merupakan satu daripada tiga aspek kehidupan. Dua yang lain adalah aqidah ( kepercayaan ) dan akhlak ( moraliti ).
Syariah bermaksud perundangan Islam. Perkataan Syariah diambil daripada bahasa Arab bermaksud jalan yang lurus. Syariah kemudiannya dibahagikan kepada dua, Ibadat ( Fiqh al-Ibadah ) dan Muamalat ( Fiqh al-Mu‘amalah ). Ibadat melibatkan pengabdian kepada Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah, manakala Muamalat pula melibatkan perkara-perkara yang dilakukan seharian dalam konteks hubungan manusia dengan manusia.
Fiqh al-Mu‘amalah adalah hukum hakam yang berhubung dengan kegiatan dan tindak tanduk manusia sesama manusia yang membawa kebaikan dalam kehidupan duniawi seperti jual beli, sewaan, gadaian, pinjaman dan lain-lain.
Dalam Muamalat, segmen terbesar merupakan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang dalam sistem ekonominya dimana di dalam sistem ekonomi tadi terdapat kegiatan perbankan dan kewangan.
Dalam sektor perbankan dan kewangan Islam, Syariah atau Perundangan Islam merupakan undang-undang yang digunapakai dalam operasi perbankan Islam seiring dengan undang-undang sivil. Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku pertembungan di antara Syariah dan undang-undang sivil maka Syariah mesti diutamakan atau didahulukan. Malahan Syariah telah pun diletakkan di kedudukan yang tinggi dengan termaktubnya Akta Bank Islam 1983 di mana seksyen dua ( 2 ) akta tersebut mentakrifkan perniagaan perbankan Islam sebagai " perniagaan perbankan di mana tujuan dan operasinya tidak melibatkan unsur yang tidak diluluskan oleh agama Islam " .
Selain itu, penggunaan Syariah dimantapkan lagi dengan adanya Akta Pelaburan Kerajaan 1983 dan pindaan ke atas beberapa akta sedia ada di antaranya Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
Aplikasi Syariah dalam perbankan Islam terus diperkukuhkan lagi dengan berlakunya beberapa kes undang-undang yang dibawa ke mahkamah dan telah diputuskan berpihak kepada perbankan Islam. Antara kes-kes yang terlibat adalah: (i) Tinta Press Sdn Bhd v Bank Islam Malaysia Berhad [1987], (ii) Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Omar [1994] dan (iii) Dato’ Haji Nik Mahmud bin Daud v Bank Islam Malaysia Berhad [1996].
Perkembangan industri perbankan Islam yang begitu pesat sehingga dapat menarik pelabur luar negara menyertai industri perbankan Islam tempatan menunjukkan bahawa Syariah sudah dapat diterima dengan meluasnya oleh semua tanpa mengaitkannya dengan sentimen keagamaan.
Oleh kerana Syariah merupakan paksi kepada perjalanan dan operasi perbankan Islam, sesebuah bank Islam itu perlulah memastikan ia betul-betul mematuhi kehendak Syariah. Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam surah Al-Jaathiyah , ayat 18 :
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama ; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar) ".
Selaras dengan itu setiap bank yang terlibat dalam perbankan Islam dikehendaki mempunyai penasihat Syariah bagi memastikan segala hukum hakam yang berkaitan dipatuhi sepenuhnya. Pada peringkat pengawal selia (regulator) pula, Majlis Penasihat Syariah telah ditubuhkan sebagai autoriti tertinggi berkaitan hal-hal Syariah dalam perbankan Islam dan Takaful. Majlis ini berperanan sebagai penasihat kepada Bank Negara Malaysia ( Bank Pusat) dalam memastikan keseragaman pematuhan Syariah di peringkat industri.
Pematuhan kepada Syariah bukan sahaja satu tuntutan agama tetapi telah juga termaktub dalam Akta Bank Islam 1983 di mana seksyen berkaitan perlesenan ada menyatakan antara lainnya, “Bank Pusat tidak akan menyokong pemberian lesen, dan menteri berkenaan tidak akan memberikan lesen, kecuali Bank Pusat atau menteri berkenaan berpuas hati bahawa Jawatankuasa Pengawasan Syariah telah ditubuhkan bagi menasihati bank berkenaan dalam operasi perbankan Islamnya”.
Penubuhan Islamic Financial Services Board dilihat sebagai satu lagi langkah terkini bagi mengukuhkan inisiatif untuk melihat keseragaman pemakaian serta pematuhan Syariah oleh industri perbankan Islam di seluruh dunia.
Usaha bagi memastikan pematuhan kepada Syariah dalam perbankan Islam tidak terhenti di situ sahaja tetapi diteruskan dengan pengukuhan dalaman bank itu sendiri seperti pengambilan pegawai yang berkelayakan dan berhemah tinggi serta memberikan latihan berterusan yang secukup dan sewajarnya.
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 18 June 2007

CIMB lanjut khidmat Sheikh Nizam sebagai anggota Jawatankuasa Syariah

KUALA LUMPUR 18 Jun (Utusan) – Kumpulan CIMB mengumumkan lanjutan tempoh perkhidmatan Sheikh Nizam Yaqubi sebagai anggota Jawatankuasa Syariah Islam CIMB selama dua tahun lagi, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Menurut CIMB, Sheikh Nizam, warga Bahrain, adalah pakar yang terulung dalam bidang perbankan Islam dan turut menduduki 45 lembaga penyeliaan Syariah di seluruh dunia termasuk Indeks Pasaran Islam Dow Jones (DJIM).
CIMB turut mengumumkan pelantikan Dr. Zainudin Jaffar, rakyat Malaysia dalam jawatankuasa itu berkuat kuasa 31 Mei lalu, dan mereka menyertai Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali (berasal dari Kanada tetapi memiliki status penduduk tetap), Prof. Hafiz El Zaki (Sudan) dan rakyat tempatan iaitu Dr. Mohd. Nai’m Mokhtar dan Dr. Shafaai Musa.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bank Islam CIMB, Badlisyah Abdul Ghani berkata, kesemua mereka membentuk gabungan pakar Syariah yang baik.
‘‘Ia menjadi begitu penting dalam usaha Kumpulan CIMB untuk meluaskan operasi perbankan Islam di peringkat antarabangsa dan juga meningkatkan operasi sedia ada di Bahrain menerusi CIMB Kanoo Investment Co.,’’ katanya.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com