Terkini

Saturday 23 June 2007

Pematuhan Syariah dalam perbankan Islam

ISLAM adalah agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai panduan yang lengkap lagi sempurna meliputi semua aspek kehidupan manusia seperti firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat tiga (3) yang bermaksud:
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam itu sebagai agama bagi kamu”.
Islam sebagai cara hidup yang lengkap bukan sahaja tertakluk kepada hal ibadat ritual tetapi ia juga merangkumi setiap aspek kehidupan termasuk hubungan sesama manusia. Syariah merupakan satu daripada tiga aspek kehidupan. Dua yang lain adalah aqidah ( kepercayaan ) dan akhlak ( moraliti ).
Syariah bermaksud perundangan Islam. Perkataan Syariah diambil daripada bahasa Arab bermaksud jalan yang lurus. Syariah kemudiannya dibahagikan kepada dua, Ibadat ( Fiqh al-Ibadah ) dan Muamalat ( Fiqh al-Mu‘amalah ). Ibadat melibatkan pengabdian kepada Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah, manakala Muamalat pula melibatkan perkara-perkara yang dilakukan seharian dalam konteks hubungan manusia dengan manusia.
Fiqh al-Mu‘amalah adalah hukum hakam yang berhubung dengan kegiatan dan tindak tanduk manusia sesama manusia yang membawa kebaikan dalam kehidupan duniawi seperti jual beli, sewaan, gadaian, pinjaman dan lain-lain.
Dalam Muamalat, segmen terbesar merupakan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang dalam sistem ekonominya dimana di dalam sistem ekonomi tadi terdapat kegiatan perbankan dan kewangan.
Dalam sektor perbankan dan kewangan Islam, Syariah atau Perundangan Islam merupakan undang-undang yang digunapakai dalam operasi perbankan Islam seiring dengan undang-undang sivil. Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku pertembungan di antara Syariah dan undang-undang sivil maka Syariah mesti diutamakan atau didahulukan. Malahan Syariah telah pun diletakkan di kedudukan yang tinggi dengan termaktubnya Akta Bank Islam 1983 di mana seksyen dua ( 2 ) akta tersebut mentakrifkan perniagaan perbankan Islam sebagai " perniagaan perbankan di mana tujuan dan operasinya tidak melibatkan unsur yang tidak diluluskan oleh agama Islam " .
Selain itu, penggunaan Syariah dimantapkan lagi dengan adanya Akta Pelaburan Kerajaan 1983 dan pindaan ke atas beberapa akta sedia ada di antaranya Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.
Aplikasi Syariah dalam perbankan Islam terus diperkukuhkan lagi dengan berlakunya beberapa kes undang-undang yang dibawa ke mahkamah dan telah diputuskan berpihak kepada perbankan Islam. Antara kes-kes yang terlibat adalah: (i) Tinta Press Sdn Bhd v Bank Islam Malaysia Berhad [1987], (ii) Bank Islam Malaysia Berhad v Adnan Omar [1994] dan (iii) Dato’ Haji Nik Mahmud bin Daud v Bank Islam Malaysia Berhad [1996].
Perkembangan industri perbankan Islam yang begitu pesat sehingga dapat menarik pelabur luar negara menyertai industri perbankan Islam tempatan menunjukkan bahawa Syariah sudah dapat diterima dengan meluasnya oleh semua tanpa mengaitkannya dengan sentimen keagamaan.
Oleh kerana Syariah merupakan paksi kepada perjalanan dan operasi perbankan Islam, sesebuah bank Islam itu perlulah memastikan ia betul-betul mematuhi kehendak Syariah. Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam surah Al-Jaathiyah , ayat 18 :
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama ; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar) ".
Selaras dengan itu setiap bank yang terlibat dalam perbankan Islam dikehendaki mempunyai penasihat Syariah bagi memastikan segala hukum hakam yang berkaitan dipatuhi sepenuhnya. Pada peringkat pengawal selia (regulator) pula, Majlis Penasihat Syariah telah ditubuhkan sebagai autoriti tertinggi berkaitan hal-hal Syariah dalam perbankan Islam dan Takaful. Majlis ini berperanan sebagai penasihat kepada Bank Negara Malaysia ( Bank Pusat) dalam memastikan keseragaman pematuhan Syariah di peringkat industri.
Pematuhan kepada Syariah bukan sahaja satu tuntutan agama tetapi telah juga termaktub dalam Akta Bank Islam 1983 di mana seksyen berkaitan perlesenan ada menyatakan antara lainnya, “Bank Pusat tidak akan menyokong pemberian lesen, dan menteri berkenaan tidak akan memberikan lesen, kecuali Bank Pusat atau menteri berkenaan berpuas hati bahawa Jawatankuasa Pengawasan Syariah telah ditubuhkan bagi menasihati bank berkenaan dalam operasi perbankan Islamnya”.
Penubuhan Islamic Financial Services Board dilihat sebagai satu lagi langkah terkini bagi mengukuhkan inisiatif untuk melihat keseragaman pemakaian serta pematuhan Syariah oleh industri perbankan Islam di seluruh dunia.
Usaha bagi memastikan pematuhan kepada Syariah dalam perbankan Islam tidak terhenti di situ sahaja tetapi diteruskan dengan pengukuhan dalaman bank itu sendiri seperti pengambilan pegawai yang berkelayakan dan berhemah tinggi serta memberikan latihan berterusan yang secukup dan sewajarnya.
(Utusan)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment