Terkini

Friday 23 May 2014

Inisiatif tingkat kefahaman sistem kewangan Islam

TRANSAKSI sesama manusia hendaklah dilaksanakan dengan adil dan telus, sekali gus menutup sebarang ruang penindasan. Ini merupakan ajaran asas dalam fekah muamalat yang kemudian diterjemah dalam suatu bentuk sistem kewangan yang dikenali sebagai sistem kewangan Islam.
Justeru, pemahaman terhadap sistem kewangan Islam yang menyeluruh boleh membantu mewujudkan keadilan sosioekonomi dan kesaksamaan pengagihan pendapatan.
Kewujudan kewangan Islam yang berlandaskan hukum syarak ini bertitik tolak daripada matlamat untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi dengan kadar pertumbuhan yang optimum.
Konsep kewangan ini bukan sesuatu yang baharu. Sejak perkembangan Islam di kepulauan Nusantara pada abad ke-12, undang-undang Islam dalam perdagangan telah mula mempengaruhi masyarakat tempatan.
Dalam Undang-Undang Melaka, terdapat beberapa peraturan yang menyentuh tentang pengharaman amalan riba dalam urusan jual beli.
Selepas kemerdekaan, permintaan untuk mewujudkan satu institusi kewangan Islam meningkat. Pada tahun 1963, Lembaga Tabung Haji ditubuhkan bertujuan untuk membantu umat Islam di Malaysia menabung untuk menunaikan ibadah haji.
Kejayaan Tabung Haji menyebabkan timbul usul untuk menubuhkan perbankan Islam. Hasilnya, Kabinet meluluskan penubuhan bank Islam pertama pada tahun 1983 yang dikenali sebagai Bank Islam Malaysia Berhad disusuli Syarikat Takaful Malaysia Berhad selaku pengendali takaful yang pertama pada tahun 1984.
Sejak itu, perbincangan tentang kewangan Islam banyak didominasi perihal industri perbankan Islam dan takaful.
Salah faham
Pertama, membersihkan salah faham masyarakat awam tentang sistem kewangan Islam, khususnya perbankan Islam.
Analogi kefahaman tentang kewangan Islam ini umpama air yang bersih dan jernih, manakala salah faham sesetengah masyarakat Malaysia pula umpama sebuah cawan yang terdapat kekotoran di dalamnya.
Apa yang wajar dilakukan ialah membersihkan dahulu kekotoran yang terdapat di dalam cawan, sebelum menuangkan air bersih untuk diminum.
Disebabkan itu, kita percaya kajian dan jawapan terhadap sebarang salah faham terhadap kewangan Islam melalui media massa dapat membantu memberi kefahaman baharu.
Kedua, melakukan penjenamaan semula terhadap kewangan Islam. Ia bukan sekadar menukar logo atau simbol korporat baharu tetapi mewujudkan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan.
Institusi kewangan Islam majoritinya menawarkan produk dan perkhidmatan dengan terma-terma yang lebih bersifat eksklusif. Dalam erti kata menjenamakan produk dan perkhidmatan itu dengan terma yang tidak difahami oleh masyarakat.
Transformasi boleh membantu pemahaman masyarakat untuk mengenali sistem perbankan Islam dengan lebih dekat.
Ketiga, memperkenalkan mata pelajaran perihal kewangan Islam di peringkat sekolah bagi memberi kefahaman asas kepada generasi muda.
Saya percaya dengan tiga inisiatif asas ini, iaitu membersihkan salah faham, melakukan penjenamaan semula dan memperkenalkan mata pelajaran tentang kewangan Islam, kita boleh meningkatkan lagi kefahaman terhadap kewangan Islam, khususnya berkaitan perbankan Islam di dalam kalangan masyarakat Malaysia.
(Kosmo / 23 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment