Terkini

Thursday 22 May 2014

Peranan kerajaan bantu perkembangan sukuk

KUALA LUMPUR 22 Mei - Rangka kerja yang diperkenalkan oleh kerajaan terhadap pembangunan sistem kewangan, ternyata berkesan sehingga membolehkan Malaysia kini menguasai lebih 60 peratus daripada nilai sukuk peringkat global yang telah diterbitkan.

Menurut agensi penarafan antarabangsa, Moody’s, berdasarkan maklumat terkumpul oleh Rasameel Structured Finance, pada tahun 2013, Malaysia menguasai 68.8 peratus atau AS$82.36 bilion (RM263.55 bilion) daripada nilai sukuk yang diterbitkan.

Kedudukan negara meninggalkan jauh penerbit kedua terbesar dunia, Arab Saudi dengan AS$14.69 bilion (RM47 bilion). Diikuti, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Turki, Qatar dan Bahrain.
Penganalisis Kewangan Islam Moody's, Simon Chen berkata, sokongan kerajaan menerusi rangka kerja yang diperkenalkan berjaya menggalakkan institusi kewangan, korporat daripada pelbagai industri dan kerajaan sendiri menerbitkan bon Islam.

"Usaha yang diperkenalkan oleh Malaysia itu merupakan salah satu faktor segmen sukuk berkembang dengan pesat," jelas agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Moody's juga telah melancarkan Kumpulan Kewangan Islam (IFG), bagi menyelia, mengkaji serta meletakkan penarafan ke atas produk-produk pasaran modal kewangan Islam serta perbankan Islam. Pelancaran itu adalah bagi memenuhi dan menilai perkembangan sektor kewangan Islam pada ketika ini.
IFG akan mengeluarkan nota kajian secara bebas terhadap produk-produk patuh syariah oleh pelbagai institusi termasuk perbankan. Ia akan dipengerusikan oleh Khalid Howladar.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, meskipun masih baharu, industri kewangan Islam berkembang dengan pesat dan kini mempunyai permintaan yang tinggi.

"Khususnya pasaran sukuk, walaupun masih lagi kecil berban­ding bon konvensional, ia mengalami perkembangan yang pesat iaitu pertumbuhan 35 peratus setahun. Korporat dan perbankan kini berlumba-lumba menyertai segmen ini," jelas Khalid.


(Utusan Malaysia / 22 Mei 2014)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment