JOHOR BAHRU 28 Mei - Malaysia kekal sebagai peneraju sukuk terbesar dalam kewangan Islam global yang didorong oleh faktor infrastruktur, pengawal selia dan perundangan serta dijadikan contoh oleh negara lain.
Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA), Profesor Dr. Mohamad Akram Laldin berkata, pengalaman negara yang menerajui kewangan Islam sejak era 80-an menyaksikan banyak permasalahan fiqh kewangan Islam diselesaikan, sekali gus memberi kelebihan dalam sektor tersebut.
"Di Malaysia jika dilihat dari segi pasaran modal, lebih 60 peratus adalah dalam bentuk sukuk berbanding bon konvensional. Malah, kita adalah pengeluar sukuk terbesar berbanding Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan negara lain dan kini mereka juga sudah mula mengurus tadbir seperti kita.
"Kita mempunyai kelebihan kerana infrastruktrur lengkap bermula dengan perbankan, takaful, pasaran kewangan, pasaran modal serta pengurusan aset. Pendek kata, semua yang ditawarkan dalam sistem konvensional mempunyai alternatif dalam kewangan Islam," katanya pada sidang akhbar selepas Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara, di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamed Aziz yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Yang turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri, Datuk Abdul Razak Hassan dan Ketua Eksekutif Marsah, Prof. Madya Dr. Mohamad Som Sujimon.
Penganjuran muzakarah kali kelapan itu bertemakan 'Menangani Cabaran dan Merintis Inovasi dalam Kewangan Islam', kembali ke Malaysia setelah diadakan secara bergilir di Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura, bertujuan sebagai platform dan wacana ilmiah bagi cendekiawan, ilmuwan agama, ahli akademik, pengamal industri dan pengawal selia berkongsi kepakaran, idea, inovasi dan penyelesaian isu syariah.
Mohamad Akram berkata, kewangan Islam di peringkat global masih belum mencapai tahap satu peratus berbanding sistem konvensional, namun menunjukkan peningkatan menggalakkan pada kadar 20 hingga 25 peratus setahun dalam dunia Islam dan kajian menunjukkan sistem berkenaan mendapat sambutan baik daripada pelanggan bukan Islam.
Sementara itu, Mohamed Khaled dalam teks ucapan yang dibacakan Mohamed berkata, muzakarah tersebut diadakan tepat pada waktunya kerana sistem kewangan pada masa ini harus ditunjangi dengan etika dan akhlak Islam.
(Utusan Online / 28 Mei 2014)
---
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment