Terkini

Thursday 29 May 2014

Malaysia peneraju kewangan Islam

PERKEMBANGAN sistem kewangan Islam memberangsangkan di negara ini menjadikan Malaysia antara negara peneraju sukuk terbesar di dunia berbanding negara Timur Tengah.

Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (Isra), Profesor Dr Mohamad Akram Laldin berkata, selain itu, kelengkapan infrastruktur, pengawal selia dan peraturan perundangan yang saling menyokong antara satu sama lain juga menjadi pendorong.

Menurutnya, selepas hampir 30 tahun membentuk sistem kewangan Islam, Malaysia kini menjadi contoh dalam sektor berkenaan kepada negara-negara lain berikutan kelebihan kemudahan infrastruktur lengkap di negara ini.

“Malaysia ialah pengeluar sukuk terbesar di dunia berbanding negara Timur Tengah seperti Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi, dan Bahrain. Isu kewangan Islam telah bermula di negara kita sejak 1980-an.

“Kita sekarang dalam proses untuk memantapkan serta melakukan inovasi daripada sistem kewangan Islam yang ada kini,” katanya selepas Perasmian Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara kali ke-8 (MCSN8) di Hotel Thistle, di Johor Bahru, semalam, yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohamad Aziz.

Hadir sama, Mufti negeri, Datuk Mohamad Tahrir Samsudin; Penasihat Agama Islam negeri, Datuk Nooh Gadot dan Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Profesor Dr Mohamad@Md Som Sujimon.

Muzakarah dua hari itu bertemakan menangani cabaran dan merintis inovasi dalam kewangan Islam dan turut dihadiri cendekiawan dalam bidang berkaitan dari negara luar termasuk Brunei, Indonesia dan Singapura.


(Utusan Malaysia / 29 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment