HUKUM faraid sering dikatakan sebagai tidak adil dan bias terhadap wanita. Persoalan yang selalu ditanya ialah kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan waris wanita. Secara kasarnya, seolah-olah undang-undang faraid ini menafikan peranan dan diskriminasi terhadap wanita. Lantaran undang-undang faraid ini ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar memberi keadilan kepada golongan wanita.
Sebenarnya undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan sebagainya. Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat daripada sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati oleh masyarakat ramai, berbanding dengan keadilan yang diberikan daripada kaca mata individu tertentu. Oleh itu keadilan di dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat secara sama rata. Inilah pendekatan yang diambil oleh al-Quran di dalam pembahagian faraid.
Pembahagian harta pusaka Islam telah ditentukan di dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan selainnya lagi. Pembahagian yang jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad, melainkan tafsiran yang satu sahaja secara literal ataupun harfiah. Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.
Sebenarnya, hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, wanita tidak dipertanggungjawabkan dengan kewajipan yang sama.
Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun, walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. Tanggungjawab ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami yang lelaki.
Sebelum Islam
Pada zaman sebelum Islam wanita langsung tidak mempunyai hak ke atas hartanya malah mereka juga dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati. Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.
Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.
Jika kita memperhalusi konsep Islam, ia sebenarnya amat mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab yang lebih besar juga.
Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki yang lebih di dalam undang-undang pusaka dan hak ini sebenarnya mesti juga diiringi oleh tanggungjawab yang besar juga.
Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya. Dengan cara ini, barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini akan dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.
Moga-moga tidak akan kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasikan wanita. Tohmahan ini sebenarnya datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran, melainkan apa yang mereka fikirkan benar tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.
(Utusan Online / 22 Mei 2014)
---
Pelaburan unit amanah Islam PMB INVESTMENT
www.unit-amanah-islam.blogspot.com
---
Pelaburan unit amanah Islam PMB INVESTMENT
www.unit-amanah-islam.blogspot.com
No comments:
Post a Comment