Terkini

Thursday 29 May 2014

Keuntungan perbankan Islam meningkat

AKHBAR "Gulf News" (25 Mei 2014) melaporkan keuntungan bank-bank Islam di pusat-pusat utama perbankan Islam seperti Qatar, Indonesia, Arab Saudi, Malaysia, Ameriyyah Arab Bersatu dan Turki berjumlah USD10 bilion (RM32 bilion) pada penghujung tahun 2013.

Keuntungan diunjur meningkat ke USD25 bilion (RM80 bilion) menjelang tahun 2018. Angka-angka ini diperolehi dari firma EY, sebuah firma perakaunan antarabangsa.

Firma berkenaan selanjutnya mengunjurkan aset perbankan Islam di seluruh dunia bakal meningkat ke paras melebihi USD3.4 trilion (RM10.9 trilion) dalam tahun 2018, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara-negara utama yang mengamalkan perbankan dan kewangan Islam.

 Walaupun angka keuntungan bagi bank-bank Islam adalah besar, namun,  secara purata, ianya adalah 15-19 mata peratusan lebih rendah  berbanding keuntungan bank-bank konvensional.

Transformasi operasi dan perluasan operasi bank-bank Islam ke negara-negara lain seperti yang dilaksanakan oleh beberapa buah bank Islam sekarang ini, berpotensi merapatkan jurang perbezaan keuntungan di antara bank Islam dan bank konvensional. 

pertumbuhan bank Islam

Potensi pertumbuhan industri perbankan Islam adalah besar. Wujud lebih kurang 38 juta pelanggan yang berurusan dengan perbankan runcit Islam di seluruh duinia. Namun, hanya sebahagian kecil sahaja dari bilangan ini yang telah berpindah sepenuhnya kepada bank Islam dalam urusan perbankan mereka.

Lagipun bagi pelanggan perbankan Islam, bilangan produk bagi setiap pelanggan berpurata dua jenis produk tetapi purata jenis produk di dalam urusan perbankan tradisional ialah 5 jenis produk bagi setiap pelanggan.  Ini memberi keyakinan bahawa ruang untuk pertumbuhan sektor perbankan memang besar.

Kajian mendapati bahawa memperkasakan keyakinan pelanggan melalui kecemerlangan perkhidmatan  khususnya dalam urusan pembukaan akaun dan memperkenalkan produk-produk perbankan Islam yang lebih pelbagai kepada pelanggan, berpotensi meningkatkan saiz pasaran yang boleh dikuasai oleh perbankan Islam  sehingga sebanyak 40% lagi dari pelanggan yang sedia ada.

Dengan menambah pelanggan baru, bahagian pasaran yang dikuasai oleh perbankan Islam tentunya boleh meningkat dengan lebih besar lagi.

 Satu tinjauan yang dibuat ke atas 1,000 pelanggan runcit perbankan Islam di Emeriyah Arab Bersatu, Mesir, Turki, Indonesi dan United Kingdom mendapati bahawa majoriti pelanggan memberitahu bahawa bank-bank dengan mana meraka berurusan mempunyai kelemahan yang ketara dari segi ketelusan, misalnya mereka mengenakan yuran yang pelanggan tidak diberitahu lebih awal. Bank-bank berkenaan juga tidak menawarkan produk-produk perbankan yang memenuhi citarasa pelanggan dan mereka juga gagal melindungan kepenting utama pelanggan-pelanggan.

halangan dihadapi bank Islam

Selanjut, bila dibandingkan dengan bank-bank konvensional, bank Islam dilihat gagal berurusan dengan pelanggan sebagai rakan kongsi. Juga, bank-bank Islam tidak mengamalkan amalan terbaik dalam urusan perbankan dan mereka hanya mampu menyediakan perkhidmatan perbankan yang asasi. Ia menjadi halangan kepada usaha untuk meluaskan pangkalan pelanggan.

Walaubagaimana pun, permintaan terhadap urusan perbankan yang beretika tinggi adalah besar di seluruh dunia. Perbankan Islam berada pada kedudukan istimewa untuk memenuhi permintaan yang belum dapat dipenuhi ini. Ini adalah kerana perbankan Islam dilihat oleh pelanggan Islam dan bukan Islam sebagai perbankan yang diasaskan  kepada etika. Oleh itu, bank Islam wajar menumpukan perhatian kepada kandungan bukan rupa luaran semata-mata.

Bank Islam perlu memfokuskan diri kepada inovasi supaya produk dan perkhidmatan yang tawarkan mudah difahami dan diterima pelanggan. Ini akan menjadi produk perbankan Islam dikehendaki dan boleh memacu pertumbuhan sektor perbankan Islam keseluruhannya.

Kajian selanjutnya  menunjukkan bahawa 76% pelanggan bank di Indonesia. Mesir, Emeriyah Arab Bersatu dan Turki meyakini sektor perbankan berbanding dengan hanya 21% daripada pelanggan bank di UK yang mempunyai keyakinan kepada sistem perbankan. Malah mereka meletakkan perbankan dalam senarai paling bawah dalam senarai industri yang mereka boleh percayai.

Bilangan pelanggan yang bersedia untuk berurusan dengan bank Islam meningkat sebanyak 30% apabila pelanggan diperjelaskan mengenai prinsip-prinsip dan nilai-nilai utama perbankan Islam. Di United Kingdom khususnya, bilangan pelanggan yang bersedia untuk berurusan dengan bank Islam, bila mana mereka diberitahui akan prinsip dan nilai-nilai perbankan Islam, betambah 4 kali ganda.

minat kepada perbankan Islam berkembang

Ini membuktikan bahawa minat pelanggan kepada perbakan Islam berkembang bukan sahaja di kalangan orang Islam yang menjadi pasaran tradional perbankan Islam bahkan juga di kalangan orang bukan Islam apabila fokus urusan perbankan adalah perbankan beretika.

Penganalisi-penganalis dari firma perakaunan EY menyebut bahawa usahawan kecil dan sederhana lebih berminat untuk berurusan dengan bank Islam yang memberi ruang kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka merentasi sempadan negara.

Berikutan dengan peningkatan aliran perdagangan dan modal di antara negara-negara Turki, Timur Tengah dan rantau Asia-Pasifik, muncul keinginan di kalangan ahli perniagaan dan usahawan  untuk belajar mengenai penyelesaian kewangan secara Islam.  

Juga, timbul keinginan untuk membina hubungan dengan negara-negara enjin pertumbuhan ekonomi dunia yang utama seperti China dan India yang juga berpotensi untuk memacu pertumbuhan perbankan Islam di kedua-dua negara. 

(Harakah Daily / 29 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment