Terkini

Friday, 23 May 2014

SIDC Latih 400 Graduan Bagi Pasaran Modal Islam

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) telah melatih 400 profesional permulaan bagi sektor pertumbuhan tinggi, pasaran modal Islam (ICM) dengan tamatnya latihan 38 peserta Skim Latihan Graduan Pasaran Modal Islam (ICMGTS) dari pengambilan kesepuluh program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Azman Hisham Che Doi, berkata ICMGTS ialah satu daripada begitu banyak program pembangunan bakat SIDC yang berjaya, untuk menyokong pertumbuhan industri pasaran modal Malaysia.

Kira-kira 85 peratus alumni ICMGTS telah diterima ke dalam tenaga kerja industri, dan ini menunjukkan peri relevan dan pentingnya program ini, katanya pada upacara tamat latihan ICMGTS di sini baru-baru ini.

ICMGTS ialah satu program latihan dwitahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang dikendalikan oleh SIDC untuk membangunkan bakat muda bagi kerjaya dalam ICM. Kursus selama lapan minggu itu memberikan kefahaman teknikal tentang ICM dan kemahiran insaniah yang berkaitan kerja kepada peserta.

Azman berkata program itu diperakui oleh sebuah pasukan petugas industri yang terdiri daripada SC, Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Persatuan Syarikat Pembrokeran saham Malaysia (ASCM), Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) dan Persatuan Pengurus Aset Malaysia (MAAM).

"Program-program SIDC bertujuan meningkatkan kecekapan golongan profesional pasaran yang memainkan peranan penting dalam menggalakkan keberdayasaingan dalam pasaran modal Malaysia serta mewujudkan keyakinan pelabur," tegas Azman.

SIDC bekerjasama rapat dengan semua pemilik kepentingan termasuk pengawal selia, bursa, pengantara, peserta industri dan pelabur untuk memberikan cadangan nilai dalam program-programnya, katanya.

Warga Malaysia berusia 30 tahun ke bawah dengan ijazah kelas kedua atas atau setara dengannya dalam disiplin berkaitan boleh memohon bagi pengambilan kesebelas ICMGTS bermula Ogos 2014.

Calon-salon yang berjaya akan mendapat elaun bulanan sebanyak RM2,000 dalam tempoh latihan itu.

Azman berkata program itu juga menawarkan peluang kepada peserta untuk ditemu duga oleh bakal-bakal majikan serta menduduki peperiksaan pelesenan SC untuk melayakkan diri sebagai pengantara berlesen.


(Utusan Malaysia / 20 mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment