BRUSSELS: Cabaran utama yang dihadapi oleh 'ekonomi Islam' adalah pengetahuan dan pemahaman tentang amalan dan sikap kepenggunan orang Islam (Muslims) dan keperluan mereka masih lagi dangkal, demikian menurut seorang pakar ekonomi dan kewangan Islam dari Belgium, Laurent Marliere.
Dalam temubual dengan Kuwait News Agency (KUNA) beliau berkata walaupun kewangan Islam merupakan salah satu sektor yang paling kehadapan dan matang di dalam ekonomi Islam, ia masih belum mampu membuat tembusan yang meluas kerana perkembangannya masih dipacu industri (industry-driven) bukannya dipacu pasaran (market-driven).
Istilah 'ekonomi Islam' boleh dilihat dari pelbagi sudut. Sesetengah pihak melihatnya sebagai sebuah ekonomi yang merangkumi 57 buah negara yang menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC).
Ada pula pihak yang melihat istilah 'ekonomi Islam' itu bermakna produk-produk yang ditawarkan yang mematuhi Syariah (perundangan Islam) seperti produk kewangan dan makanan, misalnya. Satu pihak lagi melihat 'ekonomi Islam' bererti sebuah segmen dalam ekonomi global yang memfokuskan perhatian kepada pengguna-pengguna orang Islam tanpa mengira lokasi geografi.
Islam dan penganutnya adalah sebuah paradigma global yang mempunyai keperluan dan kehendak yang khusus yang perlu dipenuhi sewajarnya.
Fakta bahawa forum-forum berkaitan ekonomi Islam yang utama seperti Forum Ekonomi Dunia Islam (WIRF) mengadakan perjumpaan tahunannya di negara-negara bukan Islam adalah bukti ekonomi Islam adalah satu fenomena global, demikian menurut Marliere yang juga merupakan rakan kongsi utama firma ISFIN, sebuah firma guaman Syariah yang mempunyai cawangan di 60 buah negara.
Dari sudut angka, kita boleh menyatakan bahawa 1.65 bilion orang Islam adalah satu ummah (negara) yang merupakan sebuah pasaran ekonomi Islam. Namun, beliau memerhatikan bahawa orang-orang Islam di seluruh dunia tidaklah serupa dari segi amalan dan sikap kepenggunaan mereka. Pasaran ekonomi Islam malah berpotensi lebih besar kerana produk Islam juga berpotensi diminati dan dikehendaki oleh orang-orang bukan Islam (non-Muslims).
Beliau merujuk kepada penemuan kajiselidik yang dibuat oleh Thomson Reuters yang menunjukkan bahawa perbelanjaan global oleh pengguna-pengguna Muslim dalam sektor makanan dan gaya hidup mencecah USD1.62 trilion dalam tahun 2012 dan diunjurkan meningkat kepada USD2.47 trilion dalam tahun 2018.
Dalam tahun 2012, aset kewangan Islam dianggarkan berjumlah USD1.35 trilion (yang diketahui) dan ianya berkembangan pada kadar 15 hingga 20 peratus setahun di kebanyakan zon pasaran. Laporan berkenaan menganggarkan nilai potensi aset perbankan Islam di dalam pasaran-pasaran utama mencecah USD4.1 trilion.
“Ekonomi Islam merentasi ke luar negara-negara Islam. Adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan bahawa pemain-pemain utama (misalnya, pembekal produk yang digunakan oleh orang Islam) di dalam pasaran Islam berpangkalan di negara-negara Barat,” menurut Marleire.
Marleire berpendapat, dengan semata-mata meniru apa yang telah dibuat oleh Malaysia di dalam kewangan Islam adalah tidak realistik kerana model Malaysia, walaupun merupakan satu contoh untuk dunia, tidak benar-benar berjaya kerana jangkauan pencapaiannya tidak lebih dari dalam ruang serantau. Ia gagal menjadi model global.
Beliau menyatakan bahawa peta dunia tidak lagi tertumpu di rantau Atlantik atau hubungan di antara Eropah dan Amerika, tetapi sekarang ianya sedang beralih ke rantau Asia-Pasifik dan berpendapat bahawa rantau Teluk khususnya Dubai, bakal menjadi sebuah pusat utama (hab) bagi kewangan Islam.
"(Ini kerana) Dubai telah berjaya mengkombinasikan budaya kosmopolitan Timur dan Barat yang memudahkan urusan pernigaan dan perdagangan,” kata Marliere (KUNA).
(NVO News / 27 April 2014)
---
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment