KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kegemilangan masyarakat Islam tujuh abad lepas, kini tinggal sebagai catatan sejarah. Legasi ilmu yang adapun turut diwarisi bangsa lain.
Orang Islam hari ini tidak lagi dilihat sebagai ejen penyebaran ilmu mahupun kekayaan, apatah lagi sebagai simbol kuasa politik.
Jika adapun orang Islam yang dikaitkan dengan kuasa politik, itupun tidak dalam konteks yang positif.
Sehingga kini belum ada satu formula mujarab untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam.
Apatah lagi dengan isu perpecahan, sikap berpuak-puak dan perbezaan fahaman dalam masyarakat orang Islam itu sendiri, matlamat tersebut seperti mustahil untuk dicapai.
Bagaimanapun, Pengarah Pusat Pengajian Islam Oxford, Dr Farhan Ahmad Nizami berkata, sebagai orang Islam, seseorang itu mestilah sentiasa optimis dalam apa jua keadaan dan usaha ke arah itu pula mesti dilakukan meskipun perjalanannya sukar.
KURANG KEYAKINAN DIRI
Dr Farhan percaya kemunduran masyarakat Islam sekarang berpunca daripada harga diri yang rendah.
Keyakinan orang Islam pada zaman kegemilangan dahulu terhadap kesempurnaan Islam membuatkan mereka amat terbuka dan tidak gentar dengan idea-idea daripada tamadun seperti Greek, Parsi dan India.
Malah mereka mengasimilasikan ilmu dan falsafah daripada semua tamadun untuk disesuaikan dengan Islam yang diyakini sebagai satu agama yang holistik dan mampu menyerap semua nilai positif.
"Apabila kita mengenang kembali legasi zaman kegemilangan Islam, apabila kita menamakan institusi awam atau mencatat kecemerlangan itu dalam buku dan muzium, kita perlu ingat legasi ini dibina atas keyakinan orang Islam.
"Keyakinan ini dapat dikekalkan dengan adanya kemewahan harta benda ditambah dengan kestabilan politik dan perundangan yang mencukupi", katanya pada Syarahan Perdana Putrajaya II baru-baru ini.
Bagaimanapun, ketidakstabilan politik kerajaan Islam pada ketika itu akhirnya membuatkan mereka terjerumus ke dalam kancah kemiskinan dan penjajahan.
Senario itu juga secara tidak langsung melemahkan keyakinan diri mereka.
Bidang pendidikan turut mengalami kekurangan dana yang akhirnya menyebabkan perpecahan antara pendidikan sains sekular dengan sains Islam.
Sains Islam, seperti fikah dan syariah, diberi lebih keutamaan menerusi pembinaan madrasah manakala golongan yang ingin mendalami ilmu sekular terpaksa ke luar negara.
Akibatnya, bidang sains dan kejuruteraan yang dahulunya dipelopori sarjana Muslim seperti Al-Khwarizmi, Al-Kindi dan Ibnu Sina tidak lagi berkembang bersama tamadun Islam.
"Terdapat perpecahan antara mereka yang berpendidikan agama dan sekular, antara lama dan moden, dengan Islam di pihak lama.
"Perpecahan itulah menjadi paksi kepada cabaran yang dihadapi orang Islam di setiap bahagian dunia", katanya.
HUBUNGAN DUA HALA DAN MEMPERKASA EKONOMI
Dalam usaha mengembalikan kegemilangan orang Islam, Dr Farhan mencadangkan supaya lebih banyak institusi dan forum diwujudkan bagi mengenalpasti cabaran yang mereka hadapi pada masa kini.
Menerusi saluran itu, langkah penyelesaian perlu diusahakan bersama ke arah matlamat yang realistik atau boleh dicapai.
"Antara matlamat umum, yang paling menyeluruh ialah menjalin hubungan komersial, kewangan dan kebudayaan antara masyarakat Islam", katanya yang turut menekankan kepentingan toleransi dan ketulusan sesama kerajaan Islam.
Beliau berkata, negara Islam harus membina lebih banyak hubungan dua hala sesama sendiri khususnya dalam bidang perdagangan dan ekonomi, pendidikan serta budaya.
Seperti dalam aspek ekonomi, sebagai orang Islam usaha membina kekuatan ekonomi menjadi tanggungjawab bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.
Malah, menurut Dr Farhan, orang Islam sepatutnya berusaha menggalak dan memperluas nilai Islam dalam kegiatan ekonomi global iaitu bebas riba, adil, berkebajikan dan tidak bergantung kepada hutang.
"Lebih ramai orang Islam perlu berganding bahu bukan sahaja sesama sendiri tetapi juga dengan orang bukan Islam dalam usaha untuk mengimbangkan penghasilan dan pembahagian kekayaan. Ini supaya semua orang boleh menikmati hidup yang baik termasuk generasi akan datang.
"Usaha orang Islam membangunkan teknik pembiayaan serta pelaburan yang bebas daripada spekulasi dan ketidaktentuan perlu diteruskan.
"Usaha ini dapat mengatasi kebimbangan pihak yang mementingkan pelaburan yang beretika, adil, perdagangan bebas yang tulen di samping menghapuskan aktiviti eksport yang berteraskan penghambaan-hutang," katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui bahawa satu daripada sebab kurangnya pelaburan syarikat Islam di negara Islam kerana konflik di dalam negara itu sendiri.
"Satu sebab mengapa orang Islam tidak melabur kekayaan mereka di negara Islam kerana negara itu tidak stabil, tidak selamat dan tidak produktif.
"Lingkaran ganas ini tidak membantu negara Islam itu sendiri. Keadaan sosio-ekonomi yang sama di tempat lain juga mempunyai kesan yang sama, menyebabkan aliran keluar tenaga, bakat dan wang," katanya.
MEMARTABAT IDENTITI ORANG ISLAM
Dalam usaha mengangkat identiti orang Islam ke arah yang lebih positif, Dr Farhan berkata nilai keadilan dan kesamarataan mestilah dijadikan dasar utama dalam semua jenis urusan dan dalam setiap peringkat pentadbiran kerajaan Islam.
"Ini bermakna membenarkan pusat berkuasa bebas ditubuhkan bagi mengiktiraf kebimbangan dan aspirasi pihak berkenaan.
"Ini juga bermakna pengagihan semula peluang untuk menguasai kekayaan serta pengaruh supaya proses membuat keputusan tidak bertumpu kepada orang yang sama", katanya.
Tambah beliau, identiti orang Islam juga seharusnya dipisahkan daripada sebarang bentuk politik atau fahaman kesukuan.
"Quran mencela sikap kalangan Yahudi yang mendakwa keselamatan daripada kebinasaan bergantung kepada asal usul suku kaum itu. Perkara pokok dalam peradaban Islam adalah kefahamannya bahawa nilai seperti ilmu pengetahuan dan kemahiran serta kebaikan bukan hak mutlak orang Islam", jelasnya.
Menurut Dr Farhan, Quran turut menggelar masyarakat orang Islam sebagai 'ummatan wasatan' yang boleh ditafsirkan sebagai 'masyarakat pertengahan atau sederhana' atau 'antimelampau'.
"Pergilah ke Timur, pergilah ke Barat, belajar dan mengajarlah. Itu cara terbaik untuk memaparkan nilai sejati orang Islam. Itulah juga yang menjadi idaman orang Islam pada masa lampau.
"Tujuannya supaya orang tidak hanya mengaitkan seseorang itu sebagai orang Islam, yang kebanyakannya memang berbuat demikian.
"Biarlah orang itu boleh maju dan makmur serta memperbaiki kehidupannya dan identitinya sebagai orang Islam", katanya.
Di samping itu, beliau menyaran agar negara Islam memelihara hak-hak wanita khususnya dalam peluang mendapatkan pendidikan.
MALAYSIA SEBAGAI TELADAN
Dr Farhan menyentuh mengenai masyarakat orang Islam di Malaysia yang membuktikan bahawa mereka mampu membangunkan kehidupan bersama bangsa lain tanpa mengorbankan pegangan agama dan budaya.
Kestabilan politik serta pembangunan ekonomi yang dikecapi negara ini juga menjadi teladan kepada negara Islam lain.
Menurut Dr Farhan antara sebab utama mengapa ini berjaya melakukannya ialah kerana masyarakat orang Islam di Malaysia, yang majoritinya Melayu, percaya dan mengamalkan tradisi Islam sebenar iaitu toleransi dan semangat kejiranan yang tinggi.
"Malaysia adalah sebuah negara yang makmur di mana rakyatnya yang beragama Islam masih dapat mengekalkan nilai kebudayaan dan agamanya meskipun mendokong kemodenan. Ada ketegangan tetapi ada juga keamanan. Perbezaan antara kaum dapat ditangani untuk menghasilkan kepelbagaian dan kesederhanaan.
"Malaysialah yang mengambil inisiatif untuk menubuhkan Forum Ekonomi Islam Dunia. Inisiatif ini memudahkan usaha untuk memperbaiki kerjasama ekonomi antara negara-negara Islam," katanya.
Malaysia juga, katanya, menerusi program pengajian tinggi menggalakkan penyebaran ilmu dalam kalangan mahasiswa dan ahli akademik dari negara Islam.
Maka tidak hairanlah pada sidang media bersama beliau, Dr Farhan membayangkan bagaimana Malaysia boleh menjadi perintis kepada kesatuan umat Islam sedunia bagi membawa orang Islam keluar daripada pemikiran kesukuan yang dipengaruhi adat dan kepercayaan tempatan.
"Malaysia boleh bertindak sebagai pemangkin di rantau ini dan bahagian lain dunia dalam usaha untuk mengatasi sektarianisme dengan mewujudkan persekitaran untuk hubungan ekonomi dan pendidikan," katanya lagi.
(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 18 June 2014)
---

Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:
Post a Comment