Terkini

Showing posts with label Industri kewangan Islam. Show all posts
Showing posts with label Industri kewangan Islam. Show all posts

Thursday, 1 August 2013

Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran Kewangan Islam Malaysia memperkenalkan identiti jenama ikonik baharunya iaitu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' yang diyakini mampu meletakkan negara ini sebagai satu daripada peneraju dalam komuniti kewangan global.
Selaras dengan pelancaran ikonik baharu itu, kerajaan berharap lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di negara ini memandangkan Malaysia memiliki pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan menunjukkan peningkatan sejak 30 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pelancaran tersebut berkata, tahap kecanggihan yang terdapat dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia hasil pencapaian dan usaha gigih semua komuniti industri kewangan Islam kini tersedia untuk seluruh dunia.
"Saya ingin mengambil peluang untuk mempelawa komuniti kewangan global datang ke Malaysia untuk memanfaatkan pasaran kewangan Islam kami. Hasrat kami adalah agar lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di sini.
"Kini terpulang kepada peserta dan peneraju pasaran untuk membangun dan memacu industri ini selain meningkatkan saling hubungan demi kemajuan pasaran kewangan Islam global," katanya semasa merasmikan pelancaran tersebut di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan diberi taklimat hampir dua jam oleh Lembaga Pengarah Bank Negara diketuai Zeti Akhtar mengenai perkembangan terkini ekonomi, kewangan serta prospek masa hadapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, bakal pengguna kewangan Islam global yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia akan menikmati persekitaran yang cukup kondusif hasil rangka kerja pengawal seliaan, syariah serta undang-undang mantap di negara ini.
"Pasaran Kewangan Islam di Malaysia menyediakan kepakaran, produk inovatif dan aktiviti pelaburan yang aktif. Platform kewangan Islam juga amat luas untuk dimanfaatkan oleh para peserta sejagat meliputi antaranya bidang perbankan, sukuk, ekuiti dan takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 21 November 2008

Peluang sistem kewangan Islam berkembang

Oleh Mohamad Sofee Razak
(HarianMetro)
KRISIS kewangan kapitalis global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa negara dalam sekelip mata, sedang usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda ekonomi beransur pulih.

Dalam masa sama episod hitam itu secara relatifnya membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar, survival serta kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam di seluruh dunia dalam menangani krisis ekonomi.

Inilah masa dan medan terbaik bagi negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka serta mengenengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global.

Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan cirinya tersendiri melawan arus deras institusi riba kapitalis. Sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti sekarang.
Hakikatnya institusi kapitalis riba global sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya.
Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan memerangi segala bentuk sistem atau struktur berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya,” (Al-Baqarah: 278- 279).

Oleh itu, krisis dihadapi AS dan Eropah kini membuktikan sistem konvensional semasa berteras riba mempunyai banyak kelemahan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang bebas riba. Ia dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan ketika dunia bergelut zaman meleset dan pergerakan ekonomi perlahan serta tidak berdaya saing, dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia, termasuk negara maju.

Ramai sarjana mengakui kesan positif krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitul mal, sedekah, hibah dan sebagainya di samping inovasi dalam produk ekonomi Islam.

Malah, ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan konvensional supaya mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya.

Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam.

Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan, termasuk beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong.

Antara produk utama dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion.

Ini kejayaan yang sangat baik dan perlu dipertahankan pada masa hadapan serta berusaha menambahkan lagi nilainya.

Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia mula membuka mata kepada kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam.

Diharapkan dengan perkembangan memberangsangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di Barat.

Dalam menangani krisis kewangan pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepemimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah drastik, termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita.

Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang 2010 nanti.

Menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam, jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.

Iklim ekonomi dan penyertaan yang semakin bertambah dalam industri itu membuka peluang kepada Malaysia dan negara Islam lain menjadi peneraju utamanya.

Industri global pula kini bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam.

Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global.

Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang berkembang pesat.

Kerajaan konsisten mempelbagaikan konsep terbitan nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan bai inah dan ijarah kepada murabahah yang mendapat sambutan. Dengan menerbitkan nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah terutamanya, ia boleh menyediakan platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam global, instrumen itu akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa dari semasa ke semasa.

Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan bank pusat dan dipacu industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Monday, 29 September 2008

Nilai industri kewangan Islam dijangka cecah RM9.6 trilion 2010

KUALA LUMPUR 28 Sept. (Utusan Malaysia) - Industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang tahun 2010.
Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Prof. Bala Shanmugam berkata, jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi.
''Ramalan itu dibuat bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.
''Industri global telah berkembang dan kini ia bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam,'' katanya pada sidang akhbar Persidangan Islam Antarabangsa Keenam 2008 di sini baru-baru ini.
Tambah Shanmugam, peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global.
''Beberapa syarikat individu tempatan telah pergi ke Asia Barat dan diterima di sana, selain itu mereka turut menyokong peserta lain yang berminat terhadap industri kewangan Islam seperti di Indonesia dan Thailand.
''Dengan jumlah penduduk negara yang hanya 25 juta pada waktu ini, ia merupakan langkah yang bijak untuk terus berfikir bagaimana memasuki pasaran global,'' katanya.
Katanya, langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk dengan mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful.
''Bagi pasaran tempatan, kerajaan telah memainkan peranan yang penting, terutama Bank Negara Malaysia (BNM), dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana kewangan Islam,'' jelasnya.
BNM turut meletakkan sasaran bagi peserta industri itu untuk menguasai pasaran sebanyak 20 peratus menjelang 2010.
Sementara itu, Shanmugam memberitahu, bagi memastikan industri tersebut tidak mengalami sebarang kesan terhadap faktor luaran, kerajaan perlu memainkan peranan untuk memastikan penyelarasan bagi sektor konvensional dan Islam, terutama dalam pembayaran cukai.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 18 March 2008

HSBC Amanah mahu perkenal produk baru perbankan Islam

KUALA LUMPUR 17 Mac - HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) menetapkan sasaran untuk mencapai pertumbuhan dua digit bagi keuntungan pracukai dan pendapatan operasi pengurusan kewangan Islamnya pada tahun ini.
Pengarah Urusan HSBC Amanah, Yakub Bobat berkata, sasaran itu berdasarkan peningkatan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak 50 peratus kepada RM97 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007.
''HSBC juga menyaksikan pendapatan operasi meningkat sebanyak 29 peratus kepada RM23 juta berbanding tahun 2006.
''Sebanyak 17 peratus daripada perkhidmatan penyumberan luar cek Islam adalah kiriman tunai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Panduan Pengurusan Perbendaharaan dan Tunai di Asia Pasifik 2008 HSBC di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Perbankan Komersial HSBC, Eddie Norton dan Naib Presiden Kanan, Pembangunan Pasaran Asia Pasifik, Iain Taylor.
Menurut Yakub, HSBC Amanah, anak syarikat perbankan Islamnya yang telah diwujudkan sebagai satu unit perniagaan sejak 26 Februari lalu akan mula beroperasi pada separuh kedua tahun ini.
Beliau bagaimanapun enggan memberitahu berapa banyak cawangan yang akan dilancarkan tahun ini.
''Selain itu, kami akan memperkenalkan produk-produk perbankan Islam yang baru supaya bank itu boleh mengembangkan aksesnya ke industri kewangan Islam Malaysia," katanya.
Sementara itu, Norton memberitahu, HSBC juga yakin dapat mencapai pertumbuhan dua digit untuk perniagaan pengurusan tunai dan bayaran global di Malaysia dan serantau.
''Ini berikutan, jumlah keuntungan bersih sebelum cukai dan pendapatan operasinya meningkat sebanyak 30 peratus di Malaysia dan 35 peratus (serantau) dengan jumlah transaksi meningkat sehingga 11 peratus pada tahun lalu," ujarnya.--(UtusanMalaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com