Terkini

Thursday 24 November 2011

Memacu kewangan Islam

MANAMA (Bahrain), 23 Nov. - Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IDB) akan terus membantu membangunkan sistem kewangan Islam lestari dan rangka kerja kawal atur yang mantap di Bahrain dan juga Malaysia.
"Satu sistem proses tadbir urus korporat yang wajar sejajar dengan prinsip Islam perlu diwujudkan dalam institusi kewangan kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), IDB, Khalid Mohammad.
Bercakap pada Persidangan Perbankan Islam Dunia Ke-18, beliau berkata, terdapat kekurangan rangka kerja kawal atur dalam beberapa aspek operasi, sambil menambah pengawasan bank yang berhemat dan efektif juga penting.
Pengenalan rangka kerja kecukupan modal dan perkongsian risiko berasaskan ekuiti akan melindungi institusi Islam daripada kesan masalah ekonomi di masa depan dan akan membantu membangunkan sistem kewangan lebih lestari, katanya.
IDB giat terlibat dalam penubuhan Majlis Am Bank-Bank Islam dan Institusi Kewangan di Bahrain, Agensi Penarafan Islam Antarabangsa, pembangunan standard kawal atur berhemat dan kaedah selaras dengan syariah untuk melabur dalam pasaran antara bank jangka pendek dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam.
Mohammad berkata, ICD, cabang sektor swasta IDB, juga memainkan peranan dalam Perbadanan Pengurusan Mudah Tunai Islam Antarabangsa di Malaysia yang ditubuhkan baru-baru ini.
"Kami juga menyumbang kepada industri perbankan Islam di seluruh dunia, sebagai reaksi kepada krisis kewangan global yang memberikan kesan negatif ke atas kebanyakan negara anggota," katanya.
Prospek pertumbuhan ekonomi global terus merosot di kebanyakan ekonomi maju, manakala petunjuk terkini menunjukkan kecenderungan ke arah pertumbuhan rendah dalam semua ekonomi di seluruh dunia, katanya.
Mohammad berkata, pihak berkuasa zon euro bergelut untuk memulihkan kemampanan hutang, memodalkan semula bank-bank mereka, mengukuhkan langkah-langkah bagi mengelak penularan krisis kewangan dan menyediakan asas bagi tadbir urus ekonomi yang mantap di rantau ini.
Bagaimanapun, dalam krisis kewangan sekarang, industri perbankan Islam tidak tergugat oleh kesan negatif daripada fenomena ini dan telah menunjukkan satu kerangka alternatif yang boleh membantu meminimumkan kesan negatif krisis itu, katanya.
Aset berlandaskan syariah global meningkat sebanyak 30 peratus sejak 2008, manakala pertumbuhan aset di 1,000 bank konvensional utama dunia menjunam 6.8 peratus.
Bank-bank Islam meraih keuntungan bersih sebanyak AS$4.8 bilion, manakala industri kewangan Islam mencatatkan pertumbuhan lebih 20 peratus sejak 2000 dan mencapai AS$1 trilion dalam jumlah aset Islam tahun lepas.
"Perbankan Islam berfungsi sebagai kerangka baharu untuk mereka bentuk semula pasaran kewangan konvensional dengan menghapuskan kelemahan utama dalam sistem konvensional," kata Mohammad. — Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com