Terkini

Thursday 19 September 2013

Maybank Islamic tawar pembiayaan patuh Syariah di London

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) telah memperkenalkan pembiayaan hartanah patuh syariah dalam mata wang Pound Sterling pertama di Malaysia dalam usaha mengukuhkan kedudukannya di pasaran hartanah Eropah.
Produk terbaharu berkenaan dijangka dilancarkan pada Forum Ekonomi Islam Dunia 2013 (WIEF 13) di London pada 29 hingga 31 Oktober ini.
Ketika ini, produk berkenaan telah dilancarkan secara tidak rasmi di pasaran tempatan dan akan dikembangkan ke Singapura dan Indonesia tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muzaffar Hisyam, berkata, pelancaran pembiayaan hartanah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan perniagaan mata wang asing pada masa depan.
"Maybank merupakan rakan strategik WIEF 13 dan pelancaran produk berkenaan semasa forum berkenaan dilihat sangat sesuai kerana turut melibatkan kehadiran pemimpin negara dan syarikat utama dunia.
"Maybank Islamic merupakan peneraju perbankan Islam di ASEAN dan kemunculan di pasaran London bakal membantu usaha menerokai pasaran Eropah dan seterusnya Asia Barat.
"Kami menetapkan tiga benua tersebut iaitu, Eropah, ASEAN dan Asia Barat sebagai pasaran antarabangsa utama untuk diterokai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman WIEF 13 di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Datuk Bandar London, Sir Edward Lister dan Pengarah Urusan WIEF, Datuk Syed Abu Bakar Almohdzar.
Produk baharu ini berperanan menyediakan peluang kepada orang ramai untuk melabur dalam sektor hartanah di London menggunakan sistem patuh syariah dalam mata wang Pound Sterling dan ketika ini Maybank Islamic merupakan satu-satunya bank tempatan yang menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Tambah beliau, pengenalan produk baharu itu merupakan antara langkah-langkah awal dalam mempromosikan pasaran kewangan Islam di peringkat antarabangsa dan Maybank Islamic gembira kerana menjadi perintis kepada pembangunan berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai WIEF 13 di London, Lister berkata, ini merupakan pertama kali forum berkenaan dianjurkan di luar daripada negara-negara Islam sejak lapan kali penganjurannnya.
"London merupakan hab pasaran kewangan Islam terbesar di kalangan bukan negara Islam dan kehadiran WIEF dilihat sangat bersesuaian.
"Di London ketika ini terdapat lebih 30 firma kewangan menawarkan perkhidmatan kewangan Islam dan merekodkan penerbitan sukuk sebanyak AS$24 bilion di London Stock Exchange," jelasnya. (Utusan Malaysia/19 September 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment