Terkini

Tuesday 24 September 2013

Tiga fokus tingkat nilai saranan kewangan Islam

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tiga fokus utama yang menentukan keupayaan sektor kewangan Islam untuk mempertingkatkan nilai saranannya dalam ekonomi global yang dinamik.
Timbalan Perdana Menteri berkata, fokus yang paling penting adalah menyuntik lebih banyak pelaburan dalam kegiatan pembangunan sumber-sumber utama khususnya modal insan.
Menurut beliau, langkah itu perlu memandangkan kekurangan tenaga pakar kewangan Islam merupakan faktor yang mengekang inovasi produk dan perkhidmatan baharu di banyak negara.
"Di Malaysia, institusi-institusi di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Pusat Antarabangsa Bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) serta institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain hendaklah diperkasakan dan dibantu.
"Usaha itu untuk memastikan lebih banyak graduan serta penyelidikan bertaraf dunia dalam bidang kewangan Islam dapat dihasilkan," katanya ketika berucap merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2013 di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberi jaminan kementeriannya akan sentiasa menyokong sebarang inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan kualiti graduan dan penyelidikan berkaitan kewangan Islam.
Tambah beliau, menerusi langkah tersebut, Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai hab transaksi kewangan Islam malah juga sebagai hab kecemerlangan dalam kewangan Islam.
"Saya amat berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai INCEIF dalam menghasilkan pengamal dan profesional kewangan Islam berkaliber tinggi selain pakar serta penyelidik dalam pelbagai disiplin kewangan Islam.
"Setakat Julai 2013, INCEIF telah menerima kemasukan sebanyak 2,224 pelajar dari 83 negara," ujarnya.
Muhyiddin memberitahu, fokus kedua pula membabitkan kajian semula terhadap perbezaan dalam pandangan syariah bagi merumus penyelesaian yang lebih baik dan diterima semua pihak.
"Saya berharap ISRA yang ditubuhkan kerajaan pada 2008 dengan dana permulaan RM200 juta akan terus memainkan peranan dalam mempromosi amalan syariah terbaik," jelasnya.
Menurut beliau, fokus ketiga memberi penekanan kepada usaha memastikan rangka kerja perundangan dan kawal selia sektor kewangan Islam mampu bertahan dan mesra pengguna.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan bank-bank Islam agar tidak leka malah sebaliknya, perlu berusaha menjadi sistem perbankan terbaik untuk menarik kepercayaan orang Islam dan bukan Islam.
"Untuk kekal relevan, perbankan Islam mesti agresif dan berdaya tahan serta perlu sentiasa melakukan penambahbaikan sekiranya mahu menerima penghormatan dan pengiktirafan dunia," katanya. (Utusan Malaysia/24 Sep 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment