Terkini

Wednesday 11 September 2013

Operasi Takaful di Malaysia

Baru-baru ini saya didatangi oleh seorang hamba Allah. Beliau ingin tahu di antara syarikat takaful yang beroperasi di Malaysia yang manakah lebih Islami? Adakah pengendali Takaful yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara syarikat tempatan dengan syarikat dari luar negara atau syarikat takaful yang dimiliki oleh orang Islam sepenuhnya?.

Untuk pencerahan kepada persoalan ini, kita perlu imbau operasi Takaful di negara kita. Di Malaysia operasi Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984. Definisi "Perniagaan takaful" ertinya perniagaan takaful yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah. Ini bererti semua pengendali takaful perlu memastikan urusan pengendalian takaful mereka berlandaskan tuntutan Syariah. 

Pihak berkuasa boleh melalui perintah membatalkan pendaftaran pengendali takaful sama ada keseluruhannya atau berkenaan dengan suatu kelas perniagaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, jika mereka berpuas hati bahawa pengendali mengejar matlamat atau menjalankan pengendalian yang melibatkan apa-apa unsur yang tidak diluluskan oleh Syariah.

Di Malaysia, kini terdapat sembilan pengendali takaful beroperasi secara aktif samada melibatkan entiti tempatan dan juga asing. 

Di antara faktor asas untuk memastikan amalan takaful di Malaysia mematuhi Syariah maka Majlis Pengawasan Syariah diwujudkan di setiap entiti pengendali takaful. Secara asasnya, dalam pembangunan produk takaful, Majlis Pengawasan Syariah memainkan peranan penting. Produk baru yang dibangunkan oleh entiti pengendali takaful perlu melalui beberapa langkah daripada perbincangan di peringkat bahagian pembangunan produk, bahagian pengurusan risiko, termasuk membentangkan kepada Majlis Pengawasan Syariah dan Lembaga Pengarah entiti pengendali takaful berkenaan untuk penilaian dan kelulusan.

Setelah melalui proses di peringkat dalaman dan diluluskan, sebarang pengenalan produk baru ini akan dikemukakan pula kepada penilaian Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) berdasarkan bidang pengawasan masing-masing. Bank Negara Malaysia sendiri telah menetapkan bahawa setiap produk baru yang diperkenalkan perlu mendapat kelulusan Majlis Pengawasan Syariah institusi masing-masing.

Majlis Pengawasan Syariah adalah satu entiti bebas yang mempunyai peranan asas dalam sesuatu entiti kewangan Islam. Entiti ini berperanan sebagai tempat rujukan dalam soal-soal operasi syarikat agar tidak tergelincir daripada landasan Syariah. Ahli-ahlinya mesti memahami perkembangan muamalat terkini dan dari masa ke semasa membuat kajian agar sebarang keputusan yang diputuskan bertepatan dengan Syariah.

Di antara ciri-ciri ahli Majlis Pengawasan Syariah ialah mereka arif dalam ilmu al-Quran, Sunnah, ijma', Bahasa Arab, fiqh perbandingan, ilmu usul fiqh dan menguasai ilmu maqasid Syariah. Mereka tidak boleh hanya menguasai ilmu fiqh klasik semata-mata tanpa mempunyai kemampuan dalam amalan kewangan semasa. Dengan itu penguasaan dalam ilmu fiqh muamalat semasa, memaklumi kekangan dan cabaran dalam amalan kewangan Islam, berkemahiran melihat arus kewangan semasa merupakan antara faktor penguasaan yang perlu ada di kalangan ahli Majlis Pengawas Syariah.

Keahlian dan kepakaran ini diperlukan di kalangan ahli Majlis Pengawas Syariah kerana mereka berperanan menilai sejauh mana sesuatu produk yang ditawarkan oleh pengendali takaful memenuhi piawaian maqasid syariah dan membawa kebaikan serta menolak kemudaratan.

Untuk itu, kepakaran antara ilmuan syariah dengan kewangan semasa begitu diperlukan demi menjamin kesinambungan dan kejayaan amalan sistem kewangan Islam.

Di bawah Akta Bank Islam 1983, Akta Takaful 1984 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983, ia memperuntukkan rangka kerja perundangan pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Di peringkat pusat, Majlis Penasihat Syariah BNM yang diwujudkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958 terus dikekalkan, dengan ahlinya yang sedia ada dilantik oleh Menteri Kewangan. Dengan pindaan kepada Akta 1958 ini, ahli Majlis Penasihat Syariah sebaliknya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan peranan Majlis Penasihat Syariah yang dibuat penambahbaikan.

Jika timbul sebarang persoalan mengenai perkara Syariah dalam mana-mana prosiding mahkamah atau penimbangtaraan berhubung dengan urusan perniagaan kewangan Islam, pihak mahkamah atau penimbang tara perlu mengemukakan persoalan tersebut kepada Majlis Penasihat Syariah untuk mendapatkan keputusan. Keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Syariah wajib dipatuhi.

Jadi jika dilihat Akta yang mengawal selia operasi Takaful di Malaysia, dengan kewujudan Majlis Pengawasan Syariah di peringkat institusi pengendali takaful, dan dipantau dengan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia maka boleh disimpulkan bahawa operasi pengendali Takaful di Malaysia adalah mematuhi Syariah. 

Syarikat asing yang melabur dan menjalankan perniagaan takaful tidak terlepas dari regim kawal selia yang menuntut mereka mematuhi operasi perniagaan takaful dengan mematuhi garis panduan Syariah seperti yang diperuntukkan undang-undang. 


(IKIM/Mohamad A'sim bin Ismail)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment