Terkini

Monday 23 September 2013

Pantau pematuhan syariah

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Perbankan Islam yang matang dan lebih 30 tahun di negara ini memerlukan badan pengawal selia bagi mengaudit dan memastikan pematuhan syariah telah dijalankan dengan berkesan dan betul.
Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, setakat ini, perbankan Islam di negara ini masih bebas dan mempunyai pilihan tersendiri dalam menentukan audit pematuhan syariah.
Jelasnya, selama ini, tidak ada undang-undang khas yang mewajibkan bank-bank Islam membuat satu pendedahan maklumat atau laporan kewangan tahunan kepada pihak ketiga untuk dijalankan penilaian bebas.
Beliau memberitahu, negara Islam, Oman melalui bank pusatnya telah mengeluarkan undang-undang yang mewajibkan bank-bank Islamnya diaudit dan dinilai oleh pihak ketiga.
"Hal ini merupakan satu usaha yang baik dan perlu difikirkan bagaimana untuk menjadikan satu amalan yang dikuatkuasakan undang-undang di mana pihak perbankan Islam perlu melalui dua peringkat penilaian iaitu peringkat syariah dan peringkat penilaian pihak ketiga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pembukaan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam kali kelapan di sini hari ini.
Majlis itu telah dianjurkan oleh Pusat bagi Penyelidikan dan Latihan (CERT) bersempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur kali ke-10 yang berlangsung selama tiga hari di sini bermula hari ini.
Yang turut hadir pada majlis muzakarah itu ialah Ketua Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi dan Kewangan Maghribi dan juga Ahli Parlimen Maghribi, Dr. Said Khairoun.
Tambah Mohd. Daud, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang menggantikan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA) mempunyai peruntukan dalam pengawasan kepatuhan syariah.
Namun, katanya, peraturan pengawasan di dalam akta itu tidak jelas bagi memastikan mana satu pihak yang perlu memastikan kepatuhan syariah tersebut.
"IFSA tidak menggariskan sama ada pihak pengawasan itu terdiri daripada di peringkat dalaman bank itu sendiri, jawatan kuasa syariah atau di luar institusi berkenaan,'' ujarnya.
Jelas Mohd. Daud, Malaysia sebenarnya mempunyai badan pengawal selia atau pihak ketiga yang lebih baik dari negara-negara Islam yang lain.
Setakat ini, katanya, Malaysia sudah mempunyai badan audit syariah bagi produk-produk.
"Kita boleh memberi latihan kepada pegawai-pegawai, peguam-peguam dan akauntan-akauntan untuk menjalankan penilaian audit sektor perbankan tersebut,'' tegasnya. (Utusan Malaysia/23 Sep 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment