Terkini

Wednesday 11 September 2013

Memahami Polisi Takaful

Polisi takaful merupakan kontrak di antara peserta takaful dengan pengendali takaful.  Dalam Syariat Islam orang yang berkontrak atau membuat perjanjian masing-masing diingatkan supaya menyempurnakan kontrak atau perjanjian yang mereka lakukan.  Dalam satu fiman Allah yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian" , (Al-Maidah, ayat 1).

Dalam perundangan sivil di Malaysia, sumber utama undang-undang kontrak adalah Akta Kontrak 1950 danCommon Law iaitu prinsip-prinsip yang diputuskan di dalam kes-kes mahkamah.  Perjanjian adalah kontrak dan boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang. 

Walaupun begitu, dari kaca mata undang-undang sivil bukan semua perjanjian boleh dikuatkuasakan di mahkamah kerana bukan semuanya memenuhi ciri-ciri kontrak. 

Contoh ringkas perjanjian yang tidak bercirikan kontrak mengikut undang-undang sivil ialah seperti Ali berjanji dengan Ahmad untuk berjumpa petang esok di restoran A. Pada keesokannya Ali tidak muncul-muncul di restoran A. Secara umumnya Ahmad tidak boleh menyaman Ali kerana mungkir janji untuk berjumpa di situ.  Walaupun begitu dari aspek Syariah Islam, Ali berdosa kerana mungkir janji.

Di kalangan kita sudah tentu ada yang mengambil pelan takaful, khasnya takaful keluarga.  Bagi yang telah menyertai pelan takaful keluarga, adakah kita benar-benar memahami isi kandungan polisi takaful yang disertai?.  

Untuk memenuhi tuntutan kontrak takaful maka peserta perlu memahami kandungan dan ciri-ciri polisi takaful. Peserta tidak sepatutnya hanya mendengar penjelasan lisan daripada pihak kedua seperti wakil takaful sahaja. 

Kita ada mendengar peserta takaful yang mengeluh kerana tidak dapat membuat tuntutan daripada polisi takaful mereka.  Selalu yang berlaku ialah faktor tidak dapat membuat tuntutan adalah kerana manfaat perlindungan yang dituntut sebenarnya tidak termasuk dalam pelan takaful yang disertai.  Oleh itu, punca utama peserta tidak berpuas hati adalah akibat tidak memahami atau kurang mengambil perhatian kandungan manfaat perlindungan dan syarat dalam polisi takaful.  

Dalam polisi takaful keluarga, terma penting yang perlu kita fahami termasuklah manfaat asas perlindungan takaful (pampasan kematian atau cacat kekal), manfaat tambahan, pengendali takaful, peserta, nyawa yang dilindungi, sumbangan dan juga penama.    

Perlu kita maklumi dalam kontrak ada ijab dan qabul (tawaran dan penerimaan).  Jadi dalam takaful, pengendali takaful akan membuat tawaran kontrak dan syarat kepada bakal peserta seperti terkandung dalam polisi dan dokumen tambahan polisi.  Jika peserta bersetuju, maka ini merupakan penerimaan kepada tawaran tersebut tertakluk kepada syarat penilaian kelayakan oleh pengendali takaful.

Kita perlu tahu bahawa penerangan tentang takaful oleh wakil takaful bukan satu penawaran tetapi ia merupakan promosi, jemputan kepada bakal peserta untuk menerima tawaran yang sebenar daripada pengendali takaful.

Apabila peserta mengisi dan menandatangani borang cadangan takaful, itu merupakan langkah pertama bakal peserta menerima tawaran daripada pengendali takaful.  Pengendali takaful akan melakukan proses penilaian atau pengunderaitan kelayakan sebelum memuktamadkan kesahihan untuk menerima atau tidak bakal peserta menyertai pelan takaful yang  mereka tawarkan.

Penerimaan peserta menyertai takaful menjadi muktamad setelah pengendali takaful melulus dan mengeluarkan polisi takaful kepada peserta.  Tetapi jika polisi yang dikeluarkan kepada peserta disertakan dengan beberapa syarat seperti perlu menyempurnakan soal jawab tertentu terlebih dahulu, maka soal jawab itu perlu disempurnakan untuk layak diterima sebagai peserta takaful.

Perlu dingatkan dari tarikh peserta takaful menerima polisi mereka, satu tempoh bertenang diberi dalam masa 10 hingga 14 hari mengikut pengendali takaful masing-masing agar peserta merujuk, memahami terma-terma manfaat perlindungan asas, tambahan dan pengecualian dalam pelan takaful yang diambil seperti yang termaktub dalam polisi takaful berkenaan.

Dalam tempoh ini jika peserta berpuas hati dengan terma-terma seperti yang dicatat dalam polisi takaful, maka mereka boleh meneruskan plan takaful dengan pengendali takaful berkenaan.  Sebaliknya jika tidak berpuas hati, peserta takaful dalam tempoh bertenang ini boleh membatalkan pelan takaful yang baru diambil dan mereka mempunyai hak untuk menuntut semula wang sumbangan pertama bayaran takaful yang telah dibuat.

Kontrak takaful ini sebenarnya lebih mengikat, meletakkan liabiliti tuntutan kepada pengendali takaful.  Peserta pula bertanggungjawab untuk menyumbang secara berjadual.  Walaupun begitu, jika peserta tidak menyumbang mengikut jadual masa yang ditentukan, pengendali takaful tidak boleh meminta ganti rugi atau memaksa peserta untuk menyumbang.  Apa yang pengendali takaful boleh lakukan ialah membatalkan pelan takaful peserta jika peserta takaful gagal menyumbang.

Secara amnya peserta takaful perlu memahami terma-terma bertulis dalam polisi takaful untuk mengetahui manfaat-manfaat perlindungan dan pengecualian perlindungan dalam pelan takaful yang mereka sertai.  Untuk penjelasan manfaat lebih lanjut dan tepat, mereka boleh merujuk kepada pengendali takaful sendiri. Dengan memahami polisi takaful, peserta takaful bukan sahaja dapat menyempurnakan tuntutan kontrak tetapi juga mengetahui hak-hak mereka untuk membuat tuntutan dan dapat mengelakkan sebarang salah faham terhadap pengendali takaful.

(IKIM/Mohamad A'sim bin Ismail)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment