Terkini

Saturday, 14 September 2013

Perdagangan zaman Nabi

BAGINDA s.a.w bukan sekadar peniaga kecil-kecilan.  Baginda adalah pengusaha syarikat multi-nasional (antarabangsa) bersama isterinya. Malah jauh sebelum itu Baginda telah menceburkan diri dalam bidang import eksport sejak dini.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Abu Musa’ Al Asya’ari yang kenyataan ini direkodkan oleh At Tirmidzi dalam Jami’-nya, Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyqi dan beberapa lagi para ahli hadis yang lain, bahawa dianggarkan pertama kali Nabi Muhammad saw mengikuti rombongan dagang dari kota Makkah menuju ke Syam yang jaraknya sekitar 900 KM ketika umurnya sekitar 12 tahun.

Menjadi CEO syarikat multi-nasional (antarabangsa)

Baginda terlibat dengan urusan import-eksport sehingga berumur 25 tahun; maknanya Baginda mempunyai pengalaman terjun secara langsung dalam bidang perniagaan hampir 13 tahun. Kemudian peranan Baginda menjadi lebih besar – dari CEO syarikat import eksport milik Khadijah Binti Khuwailid berubah menjadi pemilik kepada seluruh syarikat milik jutawan tersebut apabila Baginda berkahwin dengan Khadijah.

Peranan Nabi mengemudi syarikat terbesar di Makkah dan urusan dagang antara negara berjalan lancar selama 15 tahun sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul pada usia 40 tahun. Kemudian pada usia sekitar 53 tahun, peranan Nabi bertambah besar tatkala diangkat Rabb Azzawajallah untuk memerintah sebuah negara yang bernama Madinah. Waktu ini Nabi bertindak untuk mengawal serta memacu perkembangan ekonomi bagi negara yang baharu muncul.

Umum tidak mengetahui semasa Rasulullah SAW menjadi pemerintah Madinah, Baginda tidak mencipta mata wang sendiri tetapi menggunakan dua mata wang yang telah wujud di pasaran; Dinar kerajaan Bayzantin dan Dirham kerajaan Sasanid Parsi. Mata wang Negara Islam hanya dicipta pada zaman pemerintahan Abdul Malik Bin Marwan yang mula memerintah pada 65H.

Semasa awal pembentukan Kerajaan Madinah, ekonomi negara dikawal oleh bangsa Yahudi terutama dari Bani Qainuqa’. Mereka memiliki Pusat Perdagangan Bani Qainuqa’ yang cukup terkenal. Di pusat perdagangan inilah para usahawan Muslim (sahabat) turut terlibat. Antara para sahabat yang terlibat adalah Abdur Rahman Bin Auf yang berkata “Tunjukkan aku di mana pasar”, dan juga Umar Al Khattab yang berkata: “Transaksi di pasar-pasar telah menyibukkan diriku” (rujuk Shahih Al Bukhari)

Pusat perdagangan kaum Muslimin

Untuk memecahkan monopoli bangsa Yahudi dan Pusat Perdagangan Bani Qainuqa’ tidak lama kemudian Nabi mendirikan pusat perdagangan baru yang khusus untuk ‘platform’ para usahawan Muslim berdagang.

Nabi juga bertindak menentukan pasar sedia ada yang perlu dimasuki oleh kaum Muslimin dan perlu ditinggalkan, seperti Pusat Perdagangan An-Nabak yang mana baginda berkata: “Ini adalah pasar untuk kalian” (rujuk Sunan Ibnu Majah)

Hasilnya, Kaab bin Asyraf, tokoh usahawan Yahudi mensabotaj Pusat Perdagangan Kaum Muslimin kerana kawalan ekonomi bangsa Yahudi semakin melemah dan penguasaan kaum Muslimin semakin meningkat. Setelah peristiwa itu, Nabi membina pusat perdagangan baru di perkampungan Zubair. (As Samhudi dalam Wafa’ Al-Wafa)

Bagi melicinkan urusan pentadbiran maka Nabi melantik Umar Al Khattab sebagai pengurus pusat-pusat perdagangan Madinah dan Said Bin Al-Ash di Makkah. Beberapa perkara ditetapkan bagi para usahawan yang terlibat dalam perniagaan seperti larangan jual-beli secara Tasriyah, larangan penimbunan barang, melarang penjualan dengan sistem
Najasy, pembelian secara Mulamasah, Munabazah, Muzabanah, sistem broker dan beberapa peraturan lain. Bagi sesiapa yang melakukan transaksi secara hutang maka kerajaan memerintahkan untuk dikeluarkan resit hutang.

Nabi juga mempiawaikan sistem timbangan berat mengikut sistem Makkah seperti Thiqal, Qirat, Auqiyah, Ritl dan Qintar sementara sistem takaran pertanian mengikut Sistem Madinah seperti Mudd, Sa’, dan Wasaq.

Isu kenaikan harga barang

Seterusnya Nabi bangunkan beberapa industri baru seperti pembinaan gerabak perang, di mana perpindahan teknologi itu diperoleh setelah Nabi mengutus Urwah Bin Mas’ud dan Ghailan Bin Salamah ke Jirsy. Tentang industri pertanian yang memang telah ada di Madinah dikembangkan dalam skala yang lebih besar, sementara industri logam di teruskan oleh kaum Muslimin setelah Bani Qainuqa’ diusir akibat mengkhianati perjanjian.

Demikianlah Nabi telah melaksanakan pelbagai langkah kawalan yang berada dalam kendalian Baginda, namun manusia ternyata tidak mampu mengawal seluruh sisi kehidupan. Takdirnya berlaku isu kenaikan harga barang di negara Madinah; sehingga orang miskin mengalami kesannya. Para sahabat datang melaporkan keadaan ini dan mengusulkan kepada Nabi untuk mewujudkan Sistem Penetapan Harga Barang Dagangan.

Nabi menolak usul ini lalu mengingatkan bahawa “Sesungguhnya ALLAH, Dialah yang menetapkan harga itu. Dialah ALLAH yang melapangkan, Dialah ALLAH yang menyempitkan, Dialah ALLAH yang memberi rezeki. Sungguh aku berharap aku bertemu ALLAH SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Abu Daud)

Penolakan Nabi terhadap cadangan para sahabat ini beri gambaran bahawa Negara Islam Madinah mengamalkan pasaran bebas, dan keterbukaan yang luar biasa. Nabi tidak mahu berlaku zalim kepada para pedagang atas semata-mata untuk membela pembeli dan rakyat miskin. Dalam masa yang sama Nabi tidak suruh kaum Muslimin ‘duduk dan tunggu’ apalagi tidak menyeru masyarakat marhaen untuk ‘duduk dan bantah’.

Minyak subsidi dan anjuran berusaha

Kerana itu Nabi bersabda: “Sesungguhnya ALLAH TAALA suka melihat hambaNya berusaha berpenat lelah mencari rezeki yang halal” (Ad-Dailami). Malah Nabi memberi khabar gembira kepada orang yang bekerja tentang keampunan Tuhan: “Barang siapa merasa letih di malam hari kerana bekerja, maka di malam itu dia diampuni.” (HR Ahmad)

Di sini juga ada riwayat bagaimana ada para sahabat yang berusaha menjalankan perniagaan dengan konsep “perang harga” dengan menawarkan harga yang lebih murah. As Samhudi dalam Wafa’ Al-Wafa menyebutkan bahawa Nabi pernah memuji seorang sahabat yang menjual barang dengan harga yang lebih rendah: “Berbahagialah! Sesungguhnya orang yang menarik rezekinya (dengan menjual pada harga yang lebih rendah) di pasar kami seperti seseorang yang sedang berperang di jalan ALLAH”.

Kisah di atas menunjukkan zaman Nabi telah berlaku isu kenaikan harga barang, di mana harga barangan tersebut di luar jangkauan Nabi dan jika ditetapkan harga barangan tersebut, akan berlaku kezaliman kepada para pemborong, peruncit dan penjual. Ini lantaran rantaian ekonomi terlalu kompleks sehingga sesuatu harga barang memiliki banyak faktor. Begitulah juga dengan harga minyak dunia di mana pasaran harga minyak ditentukan oleh kuasa asing kafir.

Atas ihsan kerajaan Malaysia, maka kerajaan cuba menstabilkan harga mintak dengan memberi subsidi sebagai bentuk kawalan terancang. Jika mengikut harga pasaran, sudah pasti harga minyak akan lebih mahal seperti berlaku pada Indonesia dan Thailand. Maknanya kerajaan telah beri setiap rakyat bantuan kewangan. Tetapi apabila bantuan tersebut dikurangkan, apakah wajar kita sebagai rakyat beriman, berteriak dan memaki hamun kerajaan yang sebenarnya telah berbuat baik dan tidak letak harga minyak pada harga pasaran seperti ditetapkan oleh hukum. Marilah sama-sama bermuhasabah memikirkannya.

(Sinar Harian/14 September 2013) o
leh Mohd Radzi Othman 
Penulis ialah pengkaji Perbandingan Agama, Mazhab, Falsafah dan Tamadun

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment