Terkini

Showing posts with label Jepun. Show all posts
Showing posts with label Jepun. Show all posts

Tuesday, 5 August 2008

Jepun Akan Menggunakan Sistem Kewangan Islam


Paksi.net, 17/06/08

Kerajaan Jepun sedang mengusahakan undang-undang perbankan dan pasaran untuk disesuaikan dengan aturan-aturan yang bersesuaian dengan Shari'ah
daripada sistem kewangan Islam yang merupakan industri yang menguntungkan.

"Saat sekarang sistem kewangan menjadi subjek yang menarik, ia merupakan bidang yang akan mereka galakkan,"Stuart Portet, rakan niaga di PwC Tokyo,yang merupakan salah satu daripada firma perkhidmatan professional dunia yang terbesar, menurut sumber Financial Times pada Isnin lepas, 16 Jun.

Dalam keadaan sistem kewangan Islam sekarang yang sedang meningkat begitu pesat, Tokyo berharap dapat menyertai dengan modal yang besar bersaing untuk menjadi hub industri tersebut.



Untuk merealisasikannya,kerajaan Jepun sedang berusaha untuk mengadaptasi aturan-aturan sistem kewangan Islam.

Agensi Perkhidmatan Kewangan(FSA), badan kerajaan yang bertanggung jawab ke atas perbankan, keselamatan dan pertukaran kewangan, telah mengemukakan perubahan-perubahan terhadap undang-undang perbankan yang dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh enam bulan. Perubahan-perubahan tersebut akan memudahkan institusi-institusi kewangan Islam untuk beroperasi.

Pada September lepas, pusat bank Jepun telahpun menyertai Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam yang merupakan badan penetapan piawaian antarabangsa dalam rangka untuk mendalami pengetahuan mereka mengenai sistem kewangan Islam.

Islam melarang umatnya daripada riba' dalam menerima atau membayar pinjaman. Perbankan dan Institusi kewangan Islam juga tidak boleh menerima atau menaja apa jua perniagaan yang bersumberkan arak, judi, pornografi, rokok, senjata dam babi.

Berminat

Sektor swasta Jepun juga semakin menunjukkan minat dalam kewangan Islam.

Kumpulan kewangan Mitsubishi UFJ juga memberitahu bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menyesuaikan dengan perubahan-perubahan undang-undang perbankan rasmi Jepun yang bakal dilaksanakan nanti dan mereka juga sedang membangunkan satu pasukan penganalisis yang akan menyesuaikan UFJ dengan perubahan-perubahan tersebut.

Syarikat pelaburan Jepun yang terkemuka, Pengurusan Aset Nomura, juga sedang merancang untuk menawarkan produk-produk dalam bidang tersebut apabila perubahan undang-undang perbankan dan kewangan tersebut dilaksanakan.

Syarikat-syarikat lain juga sedang mengambil langkah ke arah menyertai sistem kewangan Islam.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 26 February 2008

Kewangan Islam tingkatkan penyertaan sektor ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Malaysia telah membuktikan kewangan Islam bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan kewangan tetapi turut membolehkan lebih banyak sektor ekonomi menyertai sistem kewangan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.


Pembabitan secara meluas kewangan pembiayaan Islam telah memberi manfaat khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembiayaan mikro, kata Dr Zeti pada Simposium Kewangan Islam Nikkei 2008 yang berlangsung di Tokyo pada hujung minggu lepas.
"Ini telah menyaksikan sistem kewangan yang lebih pelbagai yang telah meningkatkan daya ketahanannya secara keseluruhan. Keduanya, ia turut meningkatkan hubungan antarabangsa," kata beliau.


Beliau berkata, kewangan Islam telah menjadi bidang pertumbuhan baru yang begitu rancak menjana pendapatan, kekayaan dan pekerjaan.


Selain itu, ia juga mempunyai peranan dari segi mengeratkan lagi hubungan kewangan dan proses integrasi kewangan serantau, tegas beliau.


Mengenai potensi penyertaan Jepun dalam kewangan Islam, Dr Zeti turut bercakap bagaimana institusi kewangan, pihak berkuasa dan perbadanan Jepun boleh mendapat faedah dan manfaat daripada kewangan Islam, terutamanya dalam pasaran-pasaran modal Islam.


Menyedari akan hubungan dagangan dan pelaburan kukuh Jepun di rantau Asia dan Malaysia khususnya, beliau berkata kewangan Islam boleh mengukuhkan lagi hubungan kewangan yang berkaitan.


Infrastruktur untuk hubungan telah pun tersedia ada seperti memorandum persefahaman BNM dengan Japan Bank for International Cooperation dan pakatan strategik antara salah sebuah kumpulan insurans terbesar Jepun dengan syarikat insurans di Malaysia yang menyaksikan penubuhan sebuah syarikat takaful.


"Mengukuhkan lagi rantaian baru dalam hubungan ini dan prospek bagi integrasi yang lebih hebat akan menyumbang ke arah merungkai peluang-peluang berpotensi bagi kemakmuran bersama rantau ini.


"Usaha-usaha juga boleh ditumpukan kepada mempermudahkan penyenaraian bersilang sukuk (bon-bon Islam) dalam pelbagai bidang kuasa. Jepun juga boleh menggunakan Malaysia sebagai wadah untuk inovasi dan penyelidikan dalam kewangan Islam.


"Oleh itu, adalah diharapkan yang penyertaan Jepun dalam pasaran-pasaran kewangan Islam boleh menyumbang ke arah integrasi kewangan antarabangsa seterusnya dan sekaligus mencapai peruntukan sumber sempadan bersilang yang lebih cekap dan berkesan," katanya.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com