Terkini

Showing posts with label Al-Rajhi Bank Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Al-Rajhi Bank Malaysia. Show all posts

Tuesday, 24 July 2012

Sukuk akan diterbitkan dalam Renminbi (China)


KUALA LUMPUR 20 Julai - Kerajaan merancang membenarkan penerbitan sukuk dalam mata wang Renminbi berikutan prestasi yang kukuh mata wang negara China berkenaan berbanding Dolar Amerika.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, ketika ini, Bank Negara hanya membenarkan penerbitan sukuk dalam mata wang Ringgit dan Dolar Amerika tetapi keadaan semasa semakin berubah.
Katanya, perdagangan Malaysia ke China dan dunia ke negara itu telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan seterusnya mengukuhkan mata wang berkenaan.
"Semakin tinggi perdagangan dengan China, semakin banyak nilai Renminbi dalam tangan pedagang tersebut.
"Perdagangan akaun dalam Renminbi telah dilaksanakan di Hong Kong dan baru-baru ini di Singapura. Ramai yang mahu memegang Renminbi, berbanding Dolar Amerika dan Euro kerana kekuatannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Bank Muamalat dengan Bank of Shi Zui Shan, di sini hari ini.
Sementara itu mengulas mengenai prestasi penerbitan sukuk, beliau berkata, penerbitan sukuk dunia setakat April lalu adalah AS$34 bilion (RM105.4 bilion).
"Sebanyak 60 peratusnya daripadanya diterbitkan di Malaysia dan 25 peratus dari negara Asia Barat," jelasnya. (Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 3 August 2008

Al-Rajhi beli 36 buah pejabat RM95j di i-City

KUALA LUMPUR 28 Julai - I-Berhad dan Al Rajhi Bank (Malaysia) (Al Rajhi) telah menandatangani perjanjian jual beli untuk membeli 36 buah pejabat di i-City Cybercenter 1 Office Suites yang bernilai RM95 juta.
Baki unit pejabat itu akan dijual kepada syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan selaras dengan kehendak Multimedia Super Corridor (MSC).
Pengarah I-Berhad, Eu Hong Chew berkata, perjanjian ini hasil daripada beberapa perbincangan yang telah membuahkan hasil yang diharapkan.
''Dengan harga jualan i-City yang menarik ia telah menjadi penanda aras kepada kawasan Shah Alam, dan masih mempunyai ruang untuk pembangunan dan perniagaan di kawasan tersebut.
''Kami masih mempunyai komponen-komponen utama lain yang boleh ditawarkan seperti pusat membeli belah moden dan canggih dan blok menara pejabat korporat, dan kami yakin dengan teknologi dan status MSC Malaysia para pelabur akan berminat untuk melabur dalam sektor hartanah,'' katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi, Ahmed Rehman berkata, i-City merupakan pelaburan mereka yang pertama dalam sektor hartanah.
''Pelaburan ini merupakan pelaburan strategik sejajar dengan kehendak kerajaan untuk mempromosi pembangunan berstatus MSC dengan Al Rajhi sedang mengalami transformasi sebagai perbankan berteknologi," katanya.
i-City merupakan projek pembangunan oleh I-Berhad yang berintegrasi komersial bernilai RM2 bilion yang dibangunkan di atas tanah seluas 28.8 hektar berdekatan dengan Lebuh raya Persekutuan yang terletak di kawasan Seksyen 8, Shah Alam Selangor.
Fasa pertama projek ini, merangkumi enam blok berkembar tiga dan lima Office Suites berkeluasan 260,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan kabel optik fiber berkuasa tinggi dan sistem jaringan Cisco yang terkini, kemudahan CCTV, sumber bekalan tenaga utama dan tambahan sehingga 100 peratus serta kawalan keselamatan yang rapi.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 4 July 2008

Al-Rajhi lancar khidmat terus ke rumah


AL-RAJHI Bank Malaysia meluaskan lagi capaian produk perbankannya dengan melancarkan promosi 'perkhidmatan peribadi' yang menyediakan keselesaan kepada pelanggan membuat permohonan pinjaman peribadi secara terus ke rumah atau pejabat.

Ketua Perbankan Runcitnya, Sabry Ghouse, berkata pelanggan hanya perlu melaksanakan tiga langkah mudah untuk membuat permohonan itu tanpa perlu meninggalkan rumah atau pejabat mereka.

Katanya, pelanggan hanya perlu memuat turun borang permohonan daripada laman web bank, mengisi dan menghantarnya menerusi e-mel atau faks bersama salinan kad pengenalan.

Selepas diluluskan, beliau berkata, kakitangan jualan bank akan melawat pemohon sama ada di rumah atau pejabat untuk melengkapkan prosedur akhir, yang mana jumlah pinjaman akan diberikan keesokannya.

“Ini bermakna, pelanggan tidak perlu membuang masa melawat cawangan Al-Rajhi Bank untuk menghantar borang permohonan, malah kami menawarkan perkhidmatan persendirian yang pantas dan mudah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sabry berkata, prosedur yang mudah itu membolehkan pelanggan mengurangkan perjalanan, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan bakar.
Katanya, promosi itu didatangkan bersama kadar keuntungan istimewa sebanyak 7.99 peratus, iaitu antara yang paling menarik dalam industri.

“Tawaran ini diperluaskan ke seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Al-Rajhi Bank komited dalam menawarkan inovasi produk yang memberi keselesaan dan mampu memenuhi keperluan pelanggannya.

“Ini adalah cara bank menukar nilai, iaitu kebenaran, penghargaan dan penghormatan kepada produk kami. Justeru, menetapkan produk terpuji yang inovatif adalah tanda aras kami dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Sabry berkata, bank melaksanakan promosi perbankan hujung minggu yang kreatif dan pantas dan dengan adanya promosi terbaru itu, ia menetapkan satu lagi tanda aras baru.

“Pelanggan pasti menantikan perkhidmatan inovasi seterusnya dari kami. Ia akan memberikan kami kelebihan dalam pasaran untuk membentuk ruang baru dan menjadi model contoh perbankan Islam di negara ini,” katanya.

Beliau menambah, Al-Rajhi yakin tawaran terbaru itu akan menerima maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan, sama seperti maklum balas diterimanya daripada promosi perbankan hujung minggu.

Promosi ‘perkhidmatan peribadi’ Al-Rajhi Bank bermula 30 Jun lalu dan akan berakhir 11 Julai ini.
(Berita Harian)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday, 24 January 2008

STC terima pembiayaan Al-Rajhi Bank RM1.48 bilion

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Al-Rajhi Banking and Investment Corporation (Al-Rajhi Bank) hari ini memeterai perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta (RM1.48 bilion) kepada Saudi Telecom Company (STC) menerusi kemudahan pembiayaan komoditi berstruktur.
Kemudahan bertempoh selama 10 tahun itu diberikan kepada STC bagi membiayai pelaburannya dalam Junior Sukuk bernilai AS$900 juta (RM2.92 bilion), yang diterbitkan oleh Binariang GSM Sdn. Bhd. (Binariang), syarikat pegangan Maxis Communications Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Bank, Ahmed Rehman berkata, transaksi yang dimeterai hari ini merupakan perjanjian korporat terbesar yang disempurnakan oleh bank itu di rantau Asia Tenggara setakat ini.
‘‘Dengan termeterainya urus niaga ini, Al-Rajhi Bank yakin ia telah dapat memenuhi keperluan pasaran bukan sahaja dalam bidang perbankan pengguna tetapi juga dalam segmen korporat, berasaskan kesediaan untuk menjadi sebuah bank Islam sejagat,’’ katanya pada majlis menandatangani perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta kepada STC, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ahmed mewakili Al-Rajhi Bank, manakala STC diwakili oleh Pengarah STC Malaysia Holding Ltd., Ameen Fahad Al Shidi.
Turut hadir ialah Pengarah STC Malaysia, Khalid Salah Al-Ghurair dan Pengarah Al-Rajhi Bank, Datuk Dr. Nik Norzul Thani.
Semalam, Binariang mengumumkan bahawa syarikat itu berjaya membiayai semula pinjaman jangka pendek bernilai RM20 bilion yang dilakukannya bagi membiayai pembelian, Maxis Communications.
Sementara itu, Ketua Perbankan Korporat dan Pelaburan Al-Rajhi Bank, Asim Basharullah berkata, bank itu akan menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mengembangkan perniagaannya di Asia.
‘‘Kami sedang melihat kepada pasaran negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong dan China,’’ katanya.
Tambah beliau, perhatian diberikan di Asia kerana Al-Rajhi Bank menjangkakan pelaburan antara GCC dan rantau ini akan meningkat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 8 July 2007

52% pelanggan Al Rajhi bukan Islam

KUALA LUMPUR 8 Julai – Hanya baru beroperasi bulan Oktober lalu, Bank Al Rajhi kini sudahpun memiliki kira-kira 30,000 pelanggan yang mana 52 peratus bukan Islam. Perkembangan ini sememangnya agak ‘mengejutkan’ dalam negara yang majoritinya rakyat Islam meskipun umum mengetahui bahawa sebelum ini bukan Islam telahpun menjadi pelanggan entiti perbankan Islam. Tetapi, apa yang menarik tentang Bank Al Rajhi adalah keupayaan menarik lebih ramai bukan Islam dalam jangka masa agak singkat. Kejayaan ini dilihat ‘sebagai’ kemampuan kuasa jenama memikat pelanggan dalam dunia pemasaran yang semakin kompleks. Menurut Ketua Pemasaran dan Kad Bank Al Rajhi di Malaysia, Johan Aris, pembinaan jenama bukanlah tugas yang mudah kerana ia adalah aset, identiti dan strategi jangka panjang dalam membina masa depan Bank Al Rajhi di Malaysia. Katanya, Al Rajhi, bank terbesar di Arab Saudi dan bank Islam terbesar di dunia, begitu berhati-hati dalam membina kuasa jenamanya. Katanya, kuasa jenama yang terhasil daripada pengiklanan bukan semata-mata berkaitan revolusi dan daya kreatif bagi menjual produk dan perkhidmatan tetapi lebih utama ia perlu bersifat ‘kempen’. ‘‘Sebab itu, dalam menghasilkan iklan ini kami mahu ‘arkitek’ terbabit membina jenama itu dengan penuh emosi sehingga ia boleh meninggalkan kesan mendalam kepada orang ramai. ‘‘Hasilnya kami menggunakan tema Telus, Jujur dan Ikhlas: Nilai-nilai yang dicari, sinonim dengan peranan Al Rajhi sebagai sebuah perbankan Islam yang mematuhi prinsip-prinsip Islam untuk kesejahteraan hidup,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif McCann Worldgroup, Tony Savarimuthu, tema yang dipilih itu mempunyai mesej tersendiri yang menggambarkan evolusi Bank Al Rajhi dalam perbankan Islam. Katanya, pada kebiasaannya industri perbankan sering dikaitkan dengan produk, sikap ‘diktator’, rangkaian cawangan, produk yang seragam dan peranannya sekadar pemberi perkhidmatan kewangan. Bagaimanapun, Bank Al Rajhi perlukan sesuatu jenama yang jelas kerana ia adalah sebuah bank yang mendukung dan mematuhi prinsip Syariah sejak 50 tahun lalu, menurut beliau. Sebab itu, tambahnya, McCann menampilkan konsep baru mengenai perbankan Islam terbesar di dunia ini menerusi tawaran perkhidmatan yang telus, jujur dan ikhlas. Savarimuthu berkata, pihaknya menggunakan tiga medium dalam pengiklanan Bank Al Rajhi iaitu papan iklan besar (billboard), radio dan media cetak. Mengulas mengenai tema itu, Pengurus Perhubungan Korporat, Anneliza Zainal berkata, nilai-nilai yang diterjemahkan itu meliputi segenap urusan perbankan. Anneliza berkata, setakat ini bank itu berpuas hati kerana ia telah berjaya meletakkan nama Bank Al Rajhi di pasaran tempatan. ‘‘Dengan perbelanjaan yang ‘efektif’ Bank Al Rajhi berjaya bertapak di sini dan setakat ini nama bank ini telah dikenali,’’ katanya. - (Utusan Malaysia, 8 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com