Terkini

Thursday 24 January 2008

STC terima pembiayaan Al-Rajhi Bank RM1.48 bilion

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Al-Rajhi Banking and Investment Corporation (Al-Rajhi Bank) hari ini memeterai perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta (RM1.48 bilion) kepada Saudi Telecom Company (STC) menerusi kemudahan pembiayaan komoditi berstruktur.
Kemudahan bertempoh selama 10 tahun itu diberikan kepada STC bagi membiayai pelaburannya dalam Junior Sukuk bernilai AS$900 juta (RM2.92 bilion), yang diterbitkan oleh Binariang GSM Sdn. Bhd. (Binariang), syarikat pegangan Maxis Communications Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Bank, Ahmed Rehman berkata, transaksi yang dimeterai hari ini merupakan perjanjian korporat terbesar yang disempurnakan oleh bank itu di rantau Asia Tenggara setakat ini.
‘‘Dengan termeterainya urus niaga ini, Al-Rajhi Bank yakin ia telah dapat memenuhi keperluan pasaran bukan sahaja dalam bidang perbankan pengguna tetapi juga dalam segmen korporat, berasaskan kesediaan untuk menjadi sebuah bank Islam sejagat,’’ katanya pada majlis menandatangani perjanjian untuk menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai AS$450 juta kepada STC, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ahmed mewakili Al-Rajhi Bank, manakala STC diwakili oleh Pengarah STC Malaysia Holding Ltd., Ameen Fahad Al Shidi.
Turut hadir ialah Pengarah STC Malaysia, Khalid Salah Al-Ghurair dan Pengarah Al-Rajhi Bank, Datuk Dr. Nik Norzul Thani.
Semalam, Binariang mengumumkan bahawa syarikat itu berjaya membiayai semula pinjaman jangka pendek bernilai RM20 bilion yang dilakukannya bagi membiayai pembelian, Maxis Communications.
Sementara itu, Ketua Perbankan Korporat dan Pelaburan Al-Rajhi Bank, Asim Basharullah berkata, bank itu akan menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mengembangkan perniagaannya di Asia.
‘‘Kami sedang melihat kepada pasaran negara ASEAN seperti Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong dan China,’’ katanya.
Tambah beliau, perhatian diberikan di Asia kerana Al-Rajhi Bank menjangkakan pelaburan antara GCC dan rantau ini akan meningkat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment