Oleh: Azrul Azlan Iskandar Mirza
ISLAM tidak pernah menghalang umatnya memiliki kekayaan. Bahkan kekayaan itu amatlah digalakkan agar umat Islam tidak menjadikan alasan kekangan kewangan sebagai alasan untuk mundur.
Perolehan kekayaan juga adalah digalakkan melalui jalan perniagaan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Bazaar dan al-Hakim yang bermaksud:
“Rasulullah bertanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal’’.
Realitinya, kekayaan yang diperoleh oleh kita adalah merupakan amanah daripada Allah. Allah telah mengurniakan kekayaan untuk disyukuri oleh umat. Proses kesyukuran ini bertumpu kepada beberapa aspek iaitu.
Pertama, hendaklah beriman kepada Allah yang telah memberikan rezeki. Allah dengan kuasa-Nya telah mengurniakan kita ruang untuk menjadi seorang yang berharta. Harus diingat bahawa semuanya datang daripada Allah, dalam sekelip mata Allah boleh menarik balik harta tersebut. Justeru, sewajarnya kekayaan ini meningkatkan iman dan takwa kepada Allah, bukan menghilangkan sifat-sifat iman tersebut.
Kedua, hendaklah menggunakan harta tersebut bagi tujuan kebajikan. Perkara penting bagi menghayati kesyukuran ialah membelanjakan kekayaan yang dimiliki kepada jalan kebajikan. Manusia lazimnya mudah lupa kepada diri sendiri dan asal-usul. Kekayaan menyebabkan mereka terus membazir dan tidak menggunakan harta tersebut ke jalan yang sepatutnya. Sedangkan membazir itu adalah amalan syaitan. Firman Allah ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Israa: 27)
Justeru, fokus utama perbelanjaan adalah ke arah tanggungjawab dan kebajikan. Tanggungjawab kepada ahli keluarga dan tanggungan serta kebajikan kepada individu atau kumpulan yang memerlukan. Ini adalah bentuk penghayatan ke arah mensyukuri nikmat Allah.
Ketiga, perbelanjaan harta tersebut hendaklah bersifat jangka pendek dan panjang. Perancangan kewangan perlu dilakukan agar menjadikan kita terus mensyukuri nikmat Allah. Ada yang sering lupa diri apabila dikurniakan harta yang banyak sehingga akhirnya papa hasil daripada kelalaian sendiri. Perancangan ini hendaklah ditimbang mengikut konsep darurat (keperluan asasi), seperti kediaman dan makanan, dan juga keperluan hajiyat (diperlukan) dan tahsiniyat (kemewahan) seperti perhiasan rumah.
Proses menimbang tara keperluan-
keperluan ini hendaklah mengikut kemampuan individu. Tanpa perancangan kewangan yang baik, kita tidak boleh dan berupaya menghayati konsep kesyukuran atas kurniaan harta.
Selain itu, keperluan-keperluan wajib juga hendaklah diutamakan di dalam perancangan kewangan. Bagi umat Islam, kita perlu memikirkan tanggungjawab agama seperti peruntukan atau simpanan khas bagi menunaikan fardu haji berbanding pelancongan mewah di Eropah. Ia juga satu tanggungan yang tidak boleh diabaikan sebagai bukti kesyukuran terhadap harta yang diperoleh.
Keempat, bersyukur dengan menunaikan zakat. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah, malah di Malaysia, setiap janaan pendapatan hendaklah dibayar zakat apabila cukup syaratnya. Biarlah kesyukuran itu dizahirkan dengan pembayaran zakat, bukan sekadar melepas batuk di tangga akibat undang-undang, tetapi melalui penghayatan terhadap penyucian harta.
Ada di kalangan kita yang berniaga, mungkin melalui beberapa kesilapan yang bukan melibatkan harta kita. Mungkin usaha kita tidak setimpal dengan upah yang kita peroleh, atau berlaku sedikit penindasan walaupun kecil. Ada juga di kalangan kita yang makan gaji, tetapi ada culasan-culasan yang kita pernah lakukan. Biarlah pembayaran zakat ini menyucikan kesilapan-kesilapan kecil yang pernah kita lakukan. Ia juga melibatkan pembersihan harta agar setiap sen yang kita peroleh itu benar-benar diterima oleh Allah.
Kita sering melenting apabila barang berharga yang kita miliki hilang. Namun, kita tidak pernah melenting apabila tidak membayar zakat. Ia adalah satu unsur yang melibatkan materialisme, yang perlu untuk dijauhkan di dalam membina tamadun yang gemilang.
Kelima, hendaklah mensyukuri harta dengan memberikan sumbangan kepada alam. Pernahkah kita terfikir bahawa setiap perbelanjaan harta kita boleh membawa kepada pencemaran atau kekurangan sumber alam. Sebagai contoh, pembinaan kediaman yang mewah di pinggir bukit memang melambangkan kemewahan, namun ia juga boleh merosakkan sistem alam.
Hakikatnya, kesyukuran itu sangat besar untuk dihayati, namun kehadiran tahun baru mampu memberikan kita sejenak ruang bagi memikirkan sejauh mana kesyukuran kita terhadap harta.
- PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment