Terkini

Thursday, 10 January 2008

Muamalat, PKB usahasama pajak gadai Ar-Rahn

KOTA BHARU 28 Dis. – Muamalat Venture Capital Sdn. Bhd. dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) telah menandatangani perjanjian untuk berkerjasama mengikut konsep Syirkah Mutanaqisah bagi menguruskan perniagaan pajak gadai Ar-Rahn.
Perjanjian berkenaan antara anak syarikat milik penuh Bank Muamalat Malaysia Bhd. itu dengan PKB, yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Kelantan dimeterai di sini semalam.
Perjanjian itu bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama menjalankan perniagaan pajak gadai Ar-Rahn di pekan Jelawat, Bachok dalam usaha PKB memperluaskan rangkaian pajak gadai Islam itu di dalam dan di luar Kelantan.
Ia melibatkan dana berjumlah RM5 juta dengan RM4.5 juta disumbangkan oleh Bank Muamalat, manakala baki RM500,000 merupakan sumbangan modal PKB, berdasarkan nisbah 90:10.
Sebuah jawatankuasa bersama pengurusan akan dibentuk bagi menguruskan perniagaan itu yang dijalankan berasaskan perkongsian keuntungan dan kerugian.
Usahasama berkonsepkan Syirkah Mutanaqisah ini bermaksud perkongsian itu akan diakhiri dengan pemilikan penuh oleh salah satu pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut.
Pada perjanjian itu Muamalat Venture Capital diwakili oleh Naib Presiden Kanan Bahagian Perbankan Korporat dan Pelaburan, Syed Abdull Aziz Jailani Syed Kechik, sementara PKB diwakili oleh Pengurus Besarnya, Sabri Abdullah sambil disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Abdul Manaf Abdul Wahab.
Ketika berucap pada majlis tersebut, Abdul Manaf berkata, usahasama pertama yang diperkenalkan oleh institusi perbankan tempatan itu diharap dapat menarik lebih banyak agensi kerajaan, swasta atau syarikat besar untuk turut serta.
Katanya, skim pembiayaan yang diperkenalkan oleh Muamalat Venture di negara ini adalah selari dengan inisiatif kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hab pembiayaan Islam global.
Pelbagai pendekatan perlu dilakukan bagi menghadapi persaingan sengit dalam sektor perbankan Islam di negara ini, katanya.
Pada masa ini, terdapat 11 institusi perbankan Islam di negara ini dengan lapan daripadanya merupakan bank tempatan, manakala tiga lagi adalah bank antarabangsa.
Abdul Manaf berkata, penerimaan masyarakat di negara ini terhadap produk- produk yang diperkenalkan oleh Bank Muamalat amat menggalakkan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment