Terkini

Tuesday 8 January 2008

Banyak produk kewangan Islam perlu diperkenal

Oleh Arif Nizam Abdullah

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendahului negara-negara Teluk dalam kewangan Islam kerana kestabilan politik serta kepelbagaian ekonominya, kata seorang pakar mengenai sejarah ekonomi perbandingan.

Pengarah bersama penyelidikan di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Dalam Kewangan Islam, Profesor Dr. Murat Cizakca, berkata, Malaysia boleh bergantung kepada sektor-sektor seperti industri dan pertanian, manakala negara-negara Teluk sebahagian besarnya dalam sektor minyak yang pada satu peringkat mungkin habis atau perlu digantikan.
“Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan lebih sihat dalam jangka masa panjang. Itu sebab Dubai kini cuba memasuki sektor pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas memberi ucapan mengenai “The Maqasid al-Shariat, Rule of Law, Democracy and Capitalism” (Maqasid al-Shariat, Peraturan Undang-undang, Demokrasi dan Kapaitalisme), di sini hari ini.
Murat juga menggesa institusi kewangan dan perbankan Islam tempatan supaya menyuntik idea segar bagi memperkenalkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan baru yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.
Menurutnya, perkembangan pesat yang dialami oleh sektor itu memerlukan satu lonjakan bagi mengemas kini dan meningkatkan rangkaian produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang sedia ada di pasaran.
“Kejayaan Malaysia dalam bidang perbankan Islam adalah bukti keyakinan tinggi negara-negara luar terhadap kemampuan negara ini sebagai peneraju global perbankan Islam.
“Bagi memastikan momentum perkembangan dalam bidang ini berterusan, perancangan rapi wajar dilaksanakan bagi memperbanyakkan instrumen, produk dan perkhidmatan perbankan Islam baru di pasaran,” katanya.
Murat berkata, beliau sedang dalam perancangan untuk memperkenalkan empat instrumen baru perbankan Islam dan salah satunya melibatkan waqaf.
Katanya, waqaf merupakan satu instrumen yang akan digabungkan dengan satu lagi instrumen Islam iaitu sukuk.
“Saya telah menghantar cadangan ini kepada Bank Negara Malaysia dan yakin ia mampu diterjemahkan dalam realiti pasaran pada hari ini,” ujarnya.
Katanya, pelbagai cabaran perlu dihadapi bagi memastikan instrumen baru perbankan Islam mampu bersaing dengan instrumen konvensional dan lebih baik daripada instrumen Islam yang sedia ada di pasaran.
“Namun cabaran paling hebat adalah bagaimana untuk memperkenalkan satu instrumen Islam baru yang berlandaskan Syariah sepenuhnya dan bukannya sekadar dinamakan instrumen Islam,” tegasnya.
Tambah beliau, kini terdapat kecenderungan dari negara Barat yang bercadang menampilkan instrumen baru mereka mengikut konsep instrumen Islam.
Katanya, negara-negara Barat sedang membuat kajian secara menyeluruh untuk mengetahui bagaimana mengoptimumkan keuntungan menerusi instrumen Islam.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment