Terkini

Showing posts with label Produk kewangan Islam. Show all posts
Showing posts with label Produk kewangan Islam. Show all posts

Thursday, 15 January 2009

Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Singapura bukan pusat kewangan Islam dunia kerana negara itu hanya baru hendak memasarkan produk-produk kewangan Islam.
Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim menjelaskan, Singapura mempunyai perancangan giat untuk menjadikan negara tersebut sebagai pusat kewangan Islam dunia.
''Singapura bukan kuasa dunia yang sedang memonopoli sektor perbankan Islam, sebaliknya menggunakan kaedah pemasaran yang lebih menyeluruh berbanding negara-negara lain termasuk Malaysia sehingga dianggap sebagai pusat kewangan Islam.
''Di Singapura, sistem perbankan mereka menggunakan pengurusan kekayaan yang yang tidak diamalkan di tempat lain menyebabkan sistem pengurusannya lebih baik daripada negara-negara lain," katanya.
Beliau berkata demikian semasa pembentangan kertas kerja yang bertajuk 'Kedudukan Semasa Kewangan Umat Islam di Malaysia' pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu menyebabkan dunia luar melihat Singapura sebagai pusat kewangan Islam walaupun negara tersebut hanya menggunakan kaedah tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia, sistem perbankan seharusnya memperkenalkan konsep yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak.
''Dengan adanya kaedah tersebut, ia mampu memantau keadaan perbankan Islam di seluruh dunia serta memberi peluang pekerjaan dalam bidang perbankan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perancang Dasar Kementerian Luar Negeri, Nazirah Hussin memberitahu, ASEAN akan menjadi pemangkin untuk menjaga kebajikan umat Islam.
Katanya, di ASEAN terdapat seramai lebih 250 juta orang Islam yang perlu diberi perhatian dan kebajikan dari pelbagai aspek.
''Bagi menjaga kebajikan umat Islam di rantau ini, ASEAN mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat umat Islam sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi masyarakat tersebut," katanya.
Nazirah memberitahu, umat Islam di ASEAN mampu menjana pelbagai industri seperti penubuhan pusat kajian industri halal dunia di Indonesia.

(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 5 April 2008

Wakaf tunai produk pilihan pelabur

BANGI 30 Mac – Kini muncul produk baru kewangan Islam, dikenali sebagai wakaf tunai, yang berpotensi tinggi menjadi produk kewangan Islam pilihan bagi pelabur pada masa akan datang.
Profesor Perbankan dan Kewangan Islam, Kumpulan Kajian Ekonomi Islam dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Abdul Ghafar Ismail berkata, kelebihan wakaf tunai ialah manfaat besarnya kepada semua pihak termasuk institusi kewangan dan perbankan, pelabur dan masyarakat.
Menurut beliau, kebiasaannya wakaf tertumpu kepada tanah atau bangunan tetapi tidak ramai pelabur memiliki aset-aset itu untuk diwakafkan dan sebagai gantinya diperkenalkan wakaf tunai.
“Wakaf tunai merupakan produk pelaburan Islam yang mementingkan tanggungjawab sosial dan bukannya bersandarkan keuntungan semata-mata.
“Ini kerana produk itu memiliki ciri-ciri kekekalan iaitu wang yang dilaburkan sentiasa ada dan ia dipegang oleh pihak pemegang amanah.
“Pelabur masih mendapat keuntungan menerusi pulangan daripada pelaburan mereka dan wang yang dilaburkan itu pula dapat digunakan oleh masyarakat selepas pelabur berkenaan meninggal dunia.
“Justeru, pihak bank secara tidak langsung telah melaksanakan tanggungjawab sosial apabila menggalakkan pelaburan wakaf tunai, di samping amal jariah di kalangan pelabur ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini.
Abdul Ghafar berkata, beliau yakin wakaf tunai mampu menonjol di sebalik penguasaan produk-produk pelaburan Islam yang lain terutamanya sukuk pada hari ini.
Jelasnya, perkembangan pesat yang dialami oleh industri kewangan Islam memerlukan satu lonjakan bagi meningkatkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang sedia ada di pasaran.
Katanya, idea-idea segar perlu disuntik bagi memperkenalkan lebih banyak produk dan perkhidmatan kewangan Islam baru yang berlandaskan Syariah sepenuhnya.
Menyentuh tentang prestasi produk berstruktur, beliau melihat produk pelaburan itu sedang rancak berkembang di pasaran selepas diperkenalkan pada tahun lalu.
Jelasnya, pelabur pada masa ini lebih cenderung bergerak kepada pengurusan kekayaan apabila membuat keputusan untuk melabur.
“Produk ini memiliki potensi cerah pada masa depan apabila pelaburannya menjanjikan pulangan tinggi sebagai persediaan pendapatan selepas bersara.
“Keistimewaan produk berstruktur ini ialah kerana simpanan pelabur mempunyai hubung kait dengan pelaburan lain.
“Pihak pemegang amanah akan melakukan pelaburan seperti dalam saham-saham mewah di negara ini atau dalam saham-saham di negara lain.
“Selain itu, ia juga boleh dilaburkan dalam 10 kaunter paling aktif di dunia atau pun dalam sektor komoditi,” katanya.
Abdul Ghafar berkata, penerimaan positif terhadap produk berstruktur merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi pasaran kewangan di negara ini.
Tambah beliau, prospek produk pelaburan itu dijangka mengalami momentum baik walaupun terhad kepada pelabur yang berkemampuan dan pelaburannya pula untuk satu tempoh tertentu.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com