Terkini

Showing posts with label Takaful Ikhlas. Show all posts
Showing posts with label Takaful Ikhlas. Show all posts

Saturday, 28 November 2009

MNBR bincang jual kepentingan Takaful Ikhlas

KUALA LUMPUR 26 Nov. - MNRB Holdings Bhd. (MNRB) telah berbincang dengan beberapa pihak yang berminat untuk membeli pegangan dalam anak syarikatnya Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) dalam usaha pengembangan perniagaan di luar negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Anuar Mohd. Hasan berkata, perbincangan telah berlaku tetapi tiada sebarang keputusan kukuh yang telah dicapai.

''Setakat ini beberapa pihak telah bertanya kepada kami tetapi tiada sebarang keputusan muktamad telah dibuat. Sebarang keputusan yang akan dibuat perlu mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) terlebih dahulu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai laporan berita berkaitan cadangan tersebut pada taklimat keputusan kewangan separuh pertama MNRB yang berakhir 30 September 2009 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelupusan 70 peratus kepentingan Takaful Ikhlas, Anuar berkata, ia tidak akan berlaku memandangkan pemegang saham utama mereka adalah Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

''Sekiranya MNRB berhasrat menjual kepentingan ekuiti, kami masih mahu menjadi pemegang saham utama,'' jelasnya.

Sementara itu, MNRB telah merekodkan kerugian bersih sebanyak RM25.7 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2009 berbanding RM7.5 juta pada tahun lalu.

''Peningkatan kerugian tersebut adalah disebabkan oleh peruntukkan bersih sebanyak RM41.8 juta terhadap tuntutan rizab oleh subsidiari insurans semula.

''Sejajar dengan keperluan Modal Berasaskan Risiko yang diperkenalkan BNM dan telah dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari lalu,'' katanya.

Namun, MNRB telah merekodkan peningkatan perolehan sebanyak 18.7 peratus kepada RM681.6 juta berbanding RM574.4 juta sebelumnya.

Ia adalah ekoran pertambahan premium kasar yang dicatatkan oleh subsidiari insurans semula dan peningkatan dalam yuran wakalah yang diperoleh daripada operator takaful.

MNRB merupakan syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuh MNRB adalah Malaysian Reinsurance Bhd. (Malaysia Re), Takaful Ikhlas, MNRB Retakaful Bhd. (MRT).

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday, 18 March 2008

Takaful IKHLAS yakin kutip premium RM480 juta

KUALA LUMPUR 17 Mac – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS) yakin mengutip premium sebanyak RM480 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008.

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, keyakinan itu berteraskan kejayaan mengutip premium sebanyak RM385 juta sebelum tahun kewangan berakhir 31 Mac 2008, melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak RM320 juta.
‘‘Kejayaan tersebut adalah di atas daya usaha warga Takaful IKHLAS dan agennya di seluruh negara dan peningkatan agen-agen di seluruh negara. ‘‘Sumbangan terbesar kepada jumlah tersebut adalah kutipan Takaful Keluarga sebanyak RM288 juta dan Takaful Am sebanyak RM97 juta,’’ katanya pada majlis pelancaran program perlindungan kenderaan IKHLAS di Lumut, baru-baru ini.

Tambah Moheeb, untuk tahun kewangan akan datang Takaful IKHLAS bercadang mempakejkan semula polisi sedia ada bagi memberikan nilai terbaik kepada pemegang polisi mereka.

‘‘Bagi tahun kewangan 31 Mac 2009 kami mensasarkan sumbangan sebanyak RM520 juta yang lebih bersifat sederhana tetapi kami yakin ia akan melebihi sasaran yang ditetapkan. ‘‘Selain mempakej semula produk, kami turut memberi tumpuan kepada perubahan struktur dalaman kami dan mengukuhkan kedudukan kami dalam industri kerana kami berazam untuk menjadi syarikat yang mencecah bilion ringgit,’’ jelasnya.

Takaful IKHLAS juga dalam usaha menambah bilangan pejabatnya di beberapa buah negeri dalam masa terdekat ini, dengan pembukaan pejabat di Melaka, Kuantan dan Ipoh. ‘‘Pembukaan pejabat baru itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan promosi tentang polisi yang ditawarkan, menambah agen dan memberikan perkhidmatan perundingan kepada pemegang polisi,’’ jelasnya.

Di samping itu, Takaful IKHLAS juga yakin dapat meningkatkan kesedaran kepada umat Islam di negara ini supaya mendapatkan perkhidmatan takaful kerana ia berteraskan syariah dan menganggarkan perkongsian pasaran mereka akan terus meningkat, tambahnya.--(UtusanMalaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Saturday, 22 December 2007

Takaful Ikhlas ingin menjadi pengendali takaful terbaik 2010

PETALING JAYA 16 Dis. – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS) yakin muncul antara syarikat pengendali takaful terbaik dalam industri takaful di negara ini menjelang tahun 2010.
Presidennya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pertumbuhan syarikat yang di luar jangkaan, walaupun baru lima tahun beroperasi.
Malah, bagi tahun kewangan syarikat yang berakhir 31 Mac 2008, beliau optimis, kutipan premium kasar akan terus melonjak melebihi RM75 juta berbanding tahun lalu.
“Kami jangka dapat melepasi sasaran kutipan sebanyak RM320 juta pada bulan kesepuluh beroperasi iaitu pada Januari 2008,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Apabila ditanya sama ada pertumbuhan itu terlalu pantas, beliau berkata, Takaful IKHLAS telah ditubuhkan pada 2003 dengan persediaan perancangan untuk tempoh lima tahun akan datang pada ketika itu.
“Kami akan memperkukuhkan lagi infrastruktur yang sedia ada untuk menghadapi cabaran daripada tujuh syarikat pengendali takaful di negara ini,” tambahnya.
Pada tahun lalu, Takaful IKHLAS yang merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengutip premium berjumlah RM224 juta.
Namun, kutipan premium bagi tempoh tujuh bulan tahun ini meningkatt keoada RM225 juta, manakala pada bulan seterusnya, syarikat itu telah mencatat kutipan sebanyak RM265 juta.
“Jumlah premium tahun ini mengatasi kutipan premium pada tahun lalu sebanyak RM41 juta, hanya selepas lapan bulan beroperasi pada tahun kewangan ini,” katanya.
Syed Moheeb berkata, pertumbuhan ketara itu disumbangkan oleh sokongan padu pihak bank, kematangan agensi dan skim kumpulan secara langsung menerusi broker dan ejen korporat untuk menggambarkan kredibiliti syarikat sebagai pengantara yang cekap.
“Kami akan meneruskan misi syarikat dengan berazam untuk menjadi penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan pilihan berasaskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam,” jelasnya.
Beliau berkata, tiga cawangan baru pejabat Takaful IKHLAS akan dibuka dalam waktu terdekat ini.
Katanya, cawangan di Putrajaya akan memulakan operasi Januari ini, manakala cawangan di Kuantan dan Melaka akan dibuka selepas Tahun Baru Cina tahun depan.
Pada masa ini Takaful IKHLAS beroperasi di enam cawangan iaitu Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Sungai Petani.
“Mungkin tidak seperti pengendali takaful yang lain, kami tidak memerlukan pejabat cawangan yang terlalu banyak.
“Namun yang penting ialah membuka memilih lokasi yang strategik di negeri terbabit sebagai pejabat wilayah,” katanya.
Menurutnya, Takaful IKHLAS juga merasakan keperluan untuk memberi perkhidmatan sokongan di bandar-bandar kecil dapat disempurnakan melalui kecekapan perkhidmatan agensi dan penggunaan teknologi dalam operasi terutamanya sistem teknologi maklumat (IT).
Ketika mengulas mengenai perancangan 2008, Syed Moheeb berkata, syarikat akan menumpukan usaha untuk mengadakan pakatan strategik dengan lebih banyak institusi kewangan. -- (Utusan Malaysia, 16 Dis 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com