Terkini

Saturday 22 December 2007

Takaful Ikhlas ingin menjadi pengendali takaful terbaik 2010

PETALING JAYA 16 Dis. – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful IKHLAS) yakin muncul antara syarikat pengendali takaful terbaik dalam industri takaful di negara ini menjelang tahun 2010.
Presidennya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pertumbuhan syarikat yang di luar jangkaan, walaupun baru lima tahun beroperasi.
Malah, bagi tahun kewangan syarikat yang berakhir 31 Mac 2008, beliau optimis, kutipan premium kasar akan terus melonjak melebihi RM75 juta berbanding tahun lalu.
“Kami jangka dapat melepasi sasaran kutipan sebanyak RM320 juta pada bulan kesepuluh beroperasi iaitu pada Januari 2008,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.
Apabila ditanya sama ada pertumbuhan itu terlalu pantas, beliau berkata, Takaful IKHLAS telah ditubuhkan pada 2003 dengan persediaan perancangan untuk tempoh lima tahun akan datang pada ketika itu.
“Kami akan memperkukuhkan lagi infrastruktur yang sedia ada untuk menghadapi cabaran daripada tujuh syarikat pengendali takaful di negara ini,” tambahnya.
Pada tahun lalu, Takaful IKHLAS yang merupakan anak syarikat MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengutip premium berjumlah RM224 juta.
Namun, kutipan premium bagi tempoh tujuh bulan tahun ini meningkatt keoada RM225 juta, manakala pada bulan seterusnya, syarikat itu telah mencatat kutipan sebanyak RM265 juta.
“Jumlah premium tahun ini mengatasi kutipan premium pada tahun lalu sebanyak RM41 juta, hanya selepas lapan bulan beroperasi pada tahun kewangan ini,” katanya.
Syed Moheeb berkata, pertumbuhan ketara itu disumbangkan oleh sokongan padu pihak bank, kematangan agensi dan skim kumpulan secara langsung menerusi broker dan ejen korporat untuk menggambarkan kredibiliti syarikat sebagai pengantara yang cekap.
“Kami akan meneruskan misi syarikat dengan berazam untuk menjadi penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan pilihan berasaskan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam,” jelasnya.
Beliau berkata, tiga cawangan baru pejabat Takaful IKHLAS akan dibuka dalam waktu terdekat ini.
Katanya, cawangan di Putrajaya akan memulakan operasi Januari ini, manakala cawangan di Kuantan dan Melaka akan dibuka selepas Tahun Baru Cina tahun depan.
Pada masa ini Takaful IKHLAS beroperasi di enam cawangan iaitu Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu dan Sungai Petani.
“Mungkin tidak seperti pengendali takaful yang lain, kami tidak memerlukan pejabat cawangan yang terlalu banyak.
“Namun yang penting ialah membuka memilih lokasi yang strategik di negeri terbabit sebagai pejabat wilayah,” katanya.
Menurutnya, Takaful IKHLAS juga merasakan keperluan untuk memberi perkhidmatan sokongan di bandar-bandar kecil dapat disempurnakan melalui kecekapan perkhidmatan agensi dan penggunaan teknologi dalam operasi terutamanya sistem teknologi maklumat (IT).
Ketika mengulas mengenai perancangan 2008, Syed Moheeb berkata, syarikat akan menumpukan usaha untuk mengadakan pakatan strategik dengan lebih banyak institusi kewangan. -- (Utusan Malaysia, 16 Dis 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment