Terkini

Friday, 7 December 2007

Kuala Lumpur Manfaatkan Kelebihan Terajui Perbankan Islam

MALAYSIA akan memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju dalam perbankan Islam ekoran minat semakin meningkat di kalangan banyak negara untuk meneroka pasaran modal Islam yang lumayan, kata Menteri Kewangan Kedua Malaysia, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, semalam.
Semakin banyak pusat kewangan antarabangsa mengintai industri kewangan Islam global, dengan anggaran nilai AS$700 bilion ($1.008 trilion) hingga AS$1 trilion, dengan penuh minat.
Hongkong antara yang terbaru menyertai pusat kewangan itu, termasuk Singapura dan Bahrain, bagi meneroka pasaran Islam.
'Malaysia memulakan sistem perbankan Islamnya kira-kira 25 tahun lalu, dan kita sekarang mempunyai model yang lengkap dan canggih dan tidak dapat ditandingi negara lain,' kata Tan Sri Nor Mohamed yang mengiringi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam misi pelaburan selama tiga hari ke Hongkong bermula semalam.
'Perbankan Islam sememangnya merupakan bidang kepakaran dan pertumbuhan baru kita. Kita mempunyai kelebihan daya saingan dan kita perlu menggunakannya sepenuhnya,' katanya kepada pemberita Malaysia dalam satu laporan Bernama.
'Kita ada pasaran bon Islam yang baik di Malaysia, mereka boleh datang dan menerbitkan bon Islam di Malaysia dan kita boleh selaraskan untuk membantu mereka memandangkan pengalaman yang kita ada,' tambah beliau.
Pihak penyelia sekuriti Hong Kong di hab kewangan antarabangsa meluluskan dana runcit berlandaskan syariah pertamanya oleh Hang Seng Bank, satu unit kumpulan perbankan global HSBC.
Ketua Eksekutif, Encik Donald Tsang, berkata awal bulan ini bahawa Hongkong sedang mengkaji untuk memajukan pasaran bon Islam dan akan menghantar misi ke Timur Tengah tahun depan.

No comments:

Post a Comment