Terkini

Saturday 22 December 2007

Garis Panduan Penubuhan Entiti Baru dalam Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)

Sekretariat MIFC di Bank Negara Malaysia hari ini (14 Sep 2006) ingin mengumumkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang menggariskan kriteria kelayakan dan skop perniagaan bagi penubuhan entiti baru dalam MIFC untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam dalam mata wang antarabangsa. Butir-butir terperinci adalah seperti yang berikut:
1. Penubuhan Bank Islam Antarabangsa
Permohonan untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam dalam mata wang antarabangsa adalah terbuka kepada mana-mana institusi kewangan asing dan Malaysia yang layak yang mempunyai modal yang mencukupi serta bereputasi dengan rekod kewangan yang mantap, menerima pakai amalan terbaik antarabangsa yang ditetapkan oleh badan penetapan piawaian antarabangsa, dan dikawal selia oleh penguasa pengawalseliaan negara asal yang berwibawa.
Apabila dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983, entiti baru berkenaan akan dikenali sebagai Bank Islam Antarabangsa (BIA) dan dibenarkan menjalankan perniagaan perbankan komersial, perbankan pelaburan dan perbankan Islam yang lain yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia seperti terkandung dalam Garis Panduan Penubuhan Bank Islam Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. BIA ialah pemastautin bagi tujuan dasar pentadbiran pertukaran asing.
Selain itu, BIA boleh ditubuhkan sebagai satu entiti diperbadankan atau cawangan, dan dikehendaki mempunyai modal berbayar atau dana kerja bersih minimum masing-masing sebanyak RM10 juta. Fi lesen tahunan bagi BIA ialah RM50,000. BIA layak untuk mendapat pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selama sepuluh tahun berkuat kuasa dari tahun taksiran 2007 seperti diumumkan dalam Bajet 2007.
2. Penubuhan Pengendali Takaful Antarabangsa
Permohonan untuk menjalankan perniagaan takaful dalam mata wang antarabangsa adalah terbuka kepada mana-mana institusi kewangan asing dan Malaysia yang layak, yang mantap serta bereputasi dengan rekod kewangan yang kukuh, menerima pakai amalan terbaik antarabangsa yang ditetapkan oleh badan penetapan piawaian antarabangsa, dan dikawal selia oleh penguasa pengawalseliaan negara asal yang berwibawa.
Apabila dilesenkan di bawah Akta Takaful 1984, entiti baru berkenaan akan dikenali sebagai Pengendali Takaful Antarabangsa (PTA) dan dibenarkan menjalankan perniagaan takaful dan takaful semula (insurans semula Islam) komposit (am dan keluarga) bukan ringgit seperti terkandung dalam Garis Panduan Penubuhan Pengendali Takaful Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. PTA ialah pemastautin bagi tujuan dasar pentadbiran pertukaran asing.
Selain itu, PTA boleh ditubuhkan sebagai entiti diperbadankan atau cawangan, dan dikehendaki mempunyai modal berbayar atau dana kerja bersih minimum masing-masing sebanyak RM10 juta. Fi lesen tahunan untuk PTA ialah RM5,000. PTA layak untuk mendapat pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selama sepuluh tahun berkuat kuasa dari tahun taksiran 2007 seperti diumumkan dalam Bajet 2007.
3. Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa untuk Bank Islam
Permohonan untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam dalam mata wang antarabangsa melalui penubuhan satu bahagian adalah terbuka kepada bank-bank Islam Malaysia yang dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983.
Apabila diluluskan, bahagian baru berkenaan akan dikenali sebagai Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa (UPMA) dan dibenarkan menjalankan perniagaan perbankan komersial, perbankan pelaburan dan perbankan Islam yang lain yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia seperti terkandung dalam Garis Panduan Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa (Bank Islam) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Selain itu, UPMA hendaklah ditubuhkan sebagai satu bahagian khusus yang mengendalikan akaun secara berasingan daripada urus niaga ringgit entiti bank. Pendapatan daripada urus niaga UPMA layak untuk mendapat pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selama sepuluh tahun berkuat kuasa dari tahun taksiran 2007 seperti diumumkan dalam Bajet 2007.
4. Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa untuk Pengendali Takaful
Permohonan untuk menjalankan perniagaan takaful dalam mata wang antarabangsa melalui penubuhan satu bahagian adalah terbuka kepada pengendali takaful Malaysia yang dilesenkan di bawah Akta Takaful 1984.
Apabila diluluskan, bahagian baru berkenaan akan dikenali sebagai UPMA dan dibenarkan menjalankan perniagaan takaful dan takaful semula (insurans semula Islam) komposit (am dan keluarga) bukan ringgit seperti terkandung dalam Garis Panduan Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa (Pengendali Takaful) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Selain itu, UPMA hendaklah ditubuhkan sebagai satu bahagian khusus yang mengendalikan akaun secara berasingan daripada urus niaga ringgit entiti pengendali. Pendapatan daripada urus niaga UPMA layak untuk mendapat pengecualian cukai sepenuhnya di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 selama sepuluh tahun berkuat kuasa dari tahun taksiran 2007 seperti diumumkan dalam Bajet 2007.
Penubuhan Pengurus Dana
Selain itu, semua pengurus dana sedia ada dan yang baru, yang dilesenkan di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 mengikut garis panduan dan keperluan Suruhanjaya Sekuriti sedia ada, diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya bagi fi pengurusan selama sepuluh tahun bagi pengurusan dana pelabur asing berdasarkan prinsip Syariah seperti yang diumumkan dalam Bajet 2007.
Penubuhan Pejabat Operasi bagi Entiti Labuan di sebarang lokasi di Malaysia
Institusi kewangan luar pesisir sedia ada dan yang baru, termasuk bank Islam luar pesisir, bank pelaburan Islam luar pesisir, pengendali takaful luar pesisir dan bahagian Islam bank luar pesisir dan syarikat insurans luar pesisir, yang diberi lesen untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam dalam mata wang antarabangsa oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA), diberikan lebih fleksibiliti untuk membuka pejabat operasi di sebarang lokasi di Malaysia tanpa perlu mempunyai pejabat fizikal di Labuan. Garis panduan dan keperluan sedia ada yang dikeluarkan oleh LOFSA adalah terpakai. Kesemua entiti berkenaan akan terus menikmati kadar keutamaan cukai sebanyak 3% atau RM20,000 di bawah Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan 1990.
Langkah-langkah dan insentif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk mempromosikan dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat originasi, pengagihan dan jual beli instrumen pasaran modal dan perbendaharaan Islam, pengurusan dana dan kekayaan Islam, perkhidmatan kewangan mata wang antarabangsa, dan perniagaan takaful dan takaful semula. Selain bebas untuk menjalankan urus niaga dengan bukan pemastautin, entiti-entiti ini boleh berurusan dengan pemastautin yang telah diberi kebenaran di bawah dasar pentadbiran pertukaran asing Bank Negara Malaysia.
Institusi kewangan yang berminat untuk memohon lesen dan mendapat kelulusan boleh merujuk kepada garis panduan berkenaan yang masing-masing terdapat di laman-laman web Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my/, Suruhanjaya Sekuriti di http://www.sc.com.my/ dan LOFSA di http://www.lofsa.gov.my/.
Lihat juga:
Garis panduan bagi Penubuhan Bank Islam Antarabangsa [PDF, 40K]
Garis panduan bagi Penubuhan Pengendali Takaful Antarabangsa [PDF, 39.8K]
Garis panduan bagi Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa untuk Bank Islam, Bank Perdagangan dan Bank Pelaburan [PDF, 37.5K]
Garis panduan bagi Penubuhan Unit Perniagaan Mata Wang Antarabangsa untuk Pengendali Takaful[PDF, 37.6K]
Permohonan bagi Lesen Pengendali Takaful Antarabangsa (Borang ITO) [PDF, 1.7MB]
Permohonan bagi Lesen Bank Islam Antarabangsa (Borang IIB) [PDF, 1.6MB]

Sekretariat MIFC
14 September 2006

No comments:

Post a Comment