Terkini

Friday 7 December 2007

Kewangan Islam Kian Bercambah Di Dunia

DENGAN Hongkong turut melancarkan dana Islamnya yang pertama Khamis lalu, jelaslah kewangan Islam kian bercambah di seluruh dunia.
Bahkan, kajian menunjukkan bukan Muslim merupakan pengguna terbesar sistem kewangan ditadbir menurut syariah kerana didapati lebih adil daripada perbangkan tradisional.
'Syarat-syaratnya lebih baik daripada pinjaman biasa,' kata David Ong-Yeoh, eksekutif hubungan awam Malaysia, kepada harian The New York Times, Khamis lalu.
Islam menegah umatnya menerima dan membayar kadar bunga atau riba bagi pinjaman.
Perbankan Islam yang berlandaskan syariah beroperasi dengan berkongsi untung dan rugi antara bank dengan pelanggan.
Urusan biaya merupai urusan sewa dan beli, rancangan penetapan, pembelian bersama dan perjanjian jual beli atau perkongsian.
Encik Ong-Yeoh, 41 tahun, adalah antara bukan Islam yang memanfaatkan produk kewangan Islam yang menawarkan pulangan bersaing.
Beliau mendapatkan pinjaman kadar tetap selama 30 tahun daripada sebuah institusi kewangan Islam di negaranya. Kemudian beliau mengambil pinjaman untuk keretanya.
'Saya sekadar memanfaatkan sistem ini,' kata Encik Ong-Yeoh, yang bukan bersendirian.
Cik Kee E-lene, beragama Buddha dan peguam syarikat, menasihati para pelanggannya supaya menggunakan pinjaman Islam untuk membiayai projek binaan.
'Kami menilai semua ini macam syarikat Apple atau Berkshire Hathaway,' katanya.
Di cawangan Kuwait Finance House, di Malaysia, 40 peratus penyimpan dan 60 peratus peminjamnya adalah bukan Islam.
'Sistem kewangan Islam menghormati kepentingan pelbagai pihak, menghindari menangguk di air keruh dan memberikan layanan saksama,' jelas Rasheed Mohammed al-Maraj, Gabenor Bank Pusat Bahrain.
Selain pinjaman Islam, terdapat bon, kad kredit dan derivatif yang diurus menurut Syariah.
Banker Islam tidak diizin menerima dan menyediakan apa juga dana yang melibatkan benda memabukkan, perjudian, lucah, tembakau, senjata dan babi.
Kewangan Islam kini sudah merupakan sektor paling pesat pertumbuhannya dalam industri kewangan jagat.
Hang Seng Bank, bank kedua terbesar di Hongkong dan anak syarikat bank antarabangsa, HSBC, melancarkan Hang Seng Islamic China Index Fund, dana Islam pertama di Hongkong pada Khamis lalu.
'Dana ini akan membantu para pelabur menawan pulangan pelaburan yang dijana oleh minat antarabangsa yang meluas dalam pelbagai pasaran,' kata Encik William Leung, pengurus besar bahagian khidmat kewangan peribadi dan pengurusan kekayaan Hang Seng.
Hang Seng merupakan yang terbaik dalam senarai panjang institusi antarabangsa, termasuk Citigroup, HSBC dan Deutsche Bank, yang menyertai niaga perbankan Islam.
Kini, terdapat sekitar 300 bank dan institusi kewangan Islam di serata dunia dengan aset ditaksir tumbuh ke paras AS$1 trilion ($1.4 trilion) pada 2013.
Di Asia, kewangan Islam tumbuh dua angka, terutama di Malaysia, yang bermajoriti Muslim. Bahkan, Malaysia dianggap hab kewangan Islam serantau, jika bukan sedunia.
Indonesia, Thailand dan Singapura juga antara negara yang mempromosi kewangan Islam.
Di Timur Tengah, peminjam Arab Saudi yang terbesar, National Commercial Bank, merombak seluruh niaga runcitnya agar menurut syariah.
Tunisia dan Maghribi mengesahkan bank-bank Islam pertama mereka tahun ini. Malah, pinjaman dan bon berlandaskan syariah sudah terdapat di Amerika Syarikat dan Britain.
'Daripada sekadar industri tukikan saja, ia kini menjadi industri sejagat,' kata Encik Khawaja Mohammad Salman Younis, pengarah urusan operasi di Malaysia bagi Kuwait Finance House.
'Dalam tempoh tiga hingga lima tahun, anda akan melihat bank Islam muncul di Australia, China, Jepun dan bahagian dunia yang lain.'- NYT.

1 comment:

  1. Alhamdulillah, berkembang mekar Kewangan Islam di seluruh dunia tetapi realitinya memang sedih apabila orang Melayu Islam sendiri tidak menyokong dan mengambil peluang produk2 Perbankan Islam ini.

    ReplyDelete