Terkini

Sunday 18 May 2008

Public Mutual terima Anugerah Dana Islam dari Failaka

KUALA LUMPUR 15 Mei - Public Mutual Bhd. (Public Mutual), anak syarikat milik penuh Public Bank hari ini menerima Anugerah Dana Islam Failaka kategori Pengurus Dana Terbaik di Asia 2008 daripada penasihat Failaka.
Anugerah Dana Failaka Islam ini diwujudkan oleh penasihat Failaka yang diiktiraf sebagai peneraju dalam penyelidikan dana Islam.
Ia merupakan tanda aras bagi kecemerlangan dalam bidang pengurusan dana Islam dan melambangkan puncak kejayaan untuk pemenang-pemenang anugerahnya.
Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Penasihat Failaka, A. Mark J. Symth kepada beliau pada Majlis Makan Malam Anugerah Tahunan Public Mutual di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Hong Piow berkata, ini merupakan kali kedua Public Mutual menerima anugerah tersebut dan beliau amat bangga dengan pengiktirafan antarabangsa itu.
''Anugerah ini mempamerkan komitmen Public Mutual yang sentiasa berusaha untuk memberikan nilai tambah kepada para pemegang unitnya.
''Anugerah ini adalah hasil kerjasama kesemua ahli lembaga pengarah, badan pengurusan, kakitangan, pasukan agensi dan pemegang-pemegang unit Public Mutual atas semangat mereka yang membantu Public Mutual mencapai kecemerlangan ini," katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Public Mutual merupakan syarikat unit amanah swasta terbesar di Malaysia dan menguruskan sebanyak 62 dana untuk lebih 1,800,000 pemegang akaun.
Sementara itu, Symth berkata, Public Mutual menunjukkan prestasi konsisten dalam menguruskan dana-dana berlandaskan Syariah dan ini terbukti dalam pulangan dana-dananya.
Pada majlis ini, Public Mutual turut memberi penghargaan kepada kakitangan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang 2007.
Antara mereka ialah Steven Lim, Grace Loo, Adi Sasteria Nurputra, Joseph Chan Yew Hong, Hismazaitul Azmy dan S. Ramachandran P. Seevaratnam.

(Utusan Malaysia, 18 Mei 2008)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Khazanah bentuk kumpulan retakaful terbesar dunia

KUALA LUMPUR 7 Mei - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bersama Kumpulan Perbankan Dubai (DBG) dan Asia Capital Reinsurance (ACR) telah memeterai perjanjian bagi membentuk kumpulan retakaful terbesar di dunia yang dikenali sebagai ACR ReTakaful Holdings Ltd. (ACR ReTakaful).
Khazanah dalam satu kenyataan berkata, cabang pelaburan kerajaan itu dan DBG masing-masing memiliki pegangan sebanyak 40 peratus kepentingan dalam ACR Retakaful manakala bakinya dipegang oleh ACR.
Kata kenyataan itu, Khazanah muncul sebagai pemegang saham terbesar berikutan pegangan 32 peratus ke atas ACR.
Jelasnya, ACR ReTakaful akan memiliki modal asas sebanyak AS$300 juta (RM946 juta) dan mempunyai dua syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur dan Asia Barat.
Majlis menandatangani pemeteraian itu berlangsung di Dubai, hari ini. Khazanah diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Azman Mokhtar manakala DBG diwakili Menteri Hal Ehwal Kabinet Emiriah Arab Bersatu merangkap Pengerusi Dubai Holdings, Mohammed Al Gergawi.
Mengulas mengenai perjanjian itu, Azman berkata, penubuhan pengendali retakaful itu merupakan inisiatif berterusan terkini yang diambil Khazanah dalam usaha menyokong pembangunan perkhidmatan kewangan yang menyaksikan Malaysia telah muncul ke hadapan.
"Rasional bagi ACR ReTakaful adalah aspirasi yang sama dengan inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) sebelum ini.
"Perjanjian ini merupakan satu pelaburan menarik buat Khazanah bagi mengukuhkan kedudukan sebagai pemain utama dalam sektor reinsurans dan retakaful di rantau ini," katanya.
Ini adalah langkah awal pelaburan sebanyak AS$200 (RM630 juta) dalam ACR dalam usaha menjadi pelabur terbesar bersama, yang mana RM175 juta dalam ACR Malaysia membolehkan Khazanah muncul pemegang saham terbesar dalam syarikat reinsurans yang berpengkalan di Kuala Lumpur.
"Kami memiliki visi untuk muncul pemain retakaful global sejak pelaburan kami ke atas ACR pada Disember 2006 dan syarikat tersebut memenuhi keperluan syarat transaksi ini.
"Kami percaya ACR ReTakaful bakal muncul pemain utama dalam perniagaan retakful di peringkat global," katanya.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tuesday 6 May 2008

Persidangan Perbankan & Kewangan Islam 2008 di Kuala Lumpur



---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Zakat bukti kekuatan iman, keikhlasan

ALLAH sudah menentukan hak orang miskin dalam harta orang kaya melalui zakat. Ketentuan Allah itu bagi memenuhi hajat dan keperluan orang miskin sebagai asnaf yang berhak menerima harta zakat.


Al-Quran dan Sunnah sentiasa menyebutkan solat dan zakat secara beriringan untuk menggambarkan betapa kuatnya hubungan antara kedua-dua amalan itu. Juga untuk menegaskan tidak akan sempurna Islam seseorang jika mengabaikan kedua-duanya atau salah satu daripadanya.


Al-Quran menyebut, menunaikan zakat adalah sifat orang beriman yang baik, bertakwa dan suka menderma. Zakat salah satu tanda keimanan dan bukti keikhlasan seseorang.


Antara hikmat zakat ialah:

  • Satu saranan yang boleh menolong fakir miskin. Dengan zakat kita boleh menolong orang miskin supaya dapat melaksanakan perintah Allah dan mengerjakan amal ibadat.


  • Allah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada orang kaya dan satu cara untuk mensyukurinya adalah dengan menunaikan zakat.

    Al-Quran menyebut kepentingan zakat bersama solat sebanyak 28 kali. Islam memperkenalkan zakat sebagai sesuatu hak yang mesti ditunaikan. Sejarah membuktikan bahawa Abu Bakar memerangi orang yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Nabi SAW.

    Menurut al-Qaradawi, dalam konsep zakat ini, Islam menetapkan tiga pengawal iaitu iman kerana iman yang dimiliki mendorong seseorang mengeluarkan zakat secara rela. Kedua, jiwa masyarakat yang tidak mempersoalkan tuntutan mengeluarkan zakat dan pengawal ketiga ialah negara yang merangka serta melaksanakan sistem zakat secara berkesan.

    Al-Qaradawi berkata, zakat ialah setiap harta yang berkembang iaitu harta itu sendiri yang berupaya berkembang dan bertambah. Contohnya haiwan seperti unta, lembu, kambing, biri-biri dan sebagainya.
    Pada zaman Umar al-Khatab diwajibkan zakat ke atas kuda kerana ia bertambah dan berupa harta. Selain haiwan, tanaman juga dikenakan zakat. Al-Qaradawi berpegang kepada pandangan mazhab Abu Hanifah yang berpendapat setiap apa saja yang terhasil daripada bumi adalah diwajibkan zakat ke atas perkara itu apabila mencukupi syarat.

    Oleh itu, ia tidak khusus kepada jenis tertentu sebagaimana digariskan oleh mazhab lain. Pendapat ini lebih dekat dengan keadilan Islam dan bersesuaian hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa sesuatu yang mendapat siraman dengan air hujan dikenakan zakat sepersepuluh.

    Perkara itu termasuk semua harta yang berkembang mempunyai tanggungan wajib zakat walaupun tidak ada nas yang tetap daripada Rasulullah SAW tetapi masalah ini dapat diambil daripada kewajipan zakat secara umum dalam al-Quran dan hadis.

    Sebahagian ahli fekah membatasi kewajipan zakat hanya kepada yang dilakukan oleh Rasulullah SAW seperti zakat unta, kambing, gandum, kurma, emas dan perak. Sebahagian ahli fekah meluaskan kewajipan zakat sehingga mencakupi semua harta dianggap berkembang pada zamannya.

    Antara ulama paling menonjol dalam hal ini ialah Imam Abu Hanifah yang mewajibkan semua hasil tumbuhan untuk perniagaan sehingga ia tidak mewajibkan nisab waktu setahun bagi mengeluarkan zakatnya.

    Abu Hanifah juga mewajibkan semua jenis binatang yang dikembangkan untuk tujuan kepentingan perniagaan. Beliau mewajibkan berzakat atas barang perhiasan namun tidak mewajibkan semua kecuali bagi orang yang sudah baligh.

    Dalil keluasan kewajipan berzakat ini ialah:


  • Nas umum mengenai kewajipan berzakat dalam al-Quran dan hadis menetapkan bahawa pada setiap harta terdapat hak orang lain, sedekah dan zakat


  • Setiap orang yang memiliki kelebihan harta memerlukan penyucian atas harta yang mereka miliki. Penyucian itu dilakukan dengan memberi infaq, sedekah dan zakat


  • Harta memerlukan penyucian daripada perkara meragukan ketika mendapatkannya atau ketika mengembangkannya melalui zakat


  • Zakat disyariatkan untuk memenuhi keperluan fakir miskin, orang berhutang, berjuang kepada jalan Allah (Ibn Sabil) demi kepentingan agama dan umat Islam


  • Menkiaskan semua harta yang berkembang dengan harta diwajibkan oleh Rasulullah untuk dikeluarkan zakat.

    Bagi menjayakan tujuan zakat mestilah memperluaskan kewajipan zakat. Ia tidak terhad kepada unta, lembu, kambing, gandum, padi, kurma, emas dan perak. Menurut al-Qaradawi, adalah tidak logik hanya mewajibkan zakat ke atas penanam padi secara kecil-kecilan lebih-lebih lagi ada di antara mereka yang menyewa tanah dan hanya mengambil upah saja. Sedangkan bagi mereka yang mempunyai ladang luas beratus-ratus ekar tidak dikenakan zakat semata-mata kerana tanaman mereka bukan daripada jenis yang sama.

    Justeru, bagi melaksanakan keadilan dalam Islam, maka kita perlu melihat kepada semua mazhab. Contohnya di Mesir, kapas adalah tanaman berharga dan hasil tanamannya menghasilkan pendapatan hingga puluhan ribu.

    Layakkah kita mengatakan ia tidak perlu dikeluarkan zakat sementara petani gandum dan jagung pula diwajibkan zakat apabila cukup nisabnya sedangkan pendapatan mereka tidak semewah petani kapas tadi.

    Dalam hal meluaskan kewajipan berzakat adalah disarankan supaya kita tidak berpegang kepada satu mazhab tetapi mengambil pandangan mazhab dan imam lain kuat dalil dan hujah serta menepati kehendak keadilan Islam.

    Perkara kedua adalah pengagihan zakat. Al-Quran mengambil berat hal ini dengan menentukan orang yang berhak menerima zakat. Matlamat utama zakat ialah untuk mengatasi masalah kefakiran dan kemiskinan.

    Peranan zakat memenuhi keperluan asas orang fakir dan miskin serta asnaf lain seperti orang yang berhutang. Hutang bukan untuk perkara maksiat dan sia-sia. Begitu juga zakat tidak diberikan kepada yang berhutang bukan kerana barang keperluan asasi mereka.

    Golongan lain yang berhak mendapat zakat adalah orang yang berjihad pada jalan Allah dan berdakwah menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Institusi zakat patut membantu organisasi yang menjalankan tugas sedemikian.

    Oleh itu, kita menyeru pelaksanaan zakat secara sistematik dan profesional. Ulama bersepakat perlu ditubuhkan satu badan khas bagi mengelolakan zakat, untuk memungut dan membahagikan kepada orang yang berhak menerimanya.

    (Berita Harian, 6 Mei 08)

  • ---
    Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
    Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
    Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


    Sunday 4 May 2008

    Pena Mufti: Mengapakah dunia dipenuhi yang haram?

    Dr Mohd Asri Zainul Abidin
    Mufti Perlis

    Mereka mungkin tidak akan kenal lagi apa itu keindahan alam; kejernihan air sungai yang sejuk, pohon-pohon yang menghijau indah, laut yang bersih dan udara yang segar lagi nyaman. Bagi mereka dunia ini semuanya pencemaran. Mereka mungkin tidak dapat faham apabila membaca ungkapan puisi-puisi indah tentang keindahan alam yang diwarisi dari generasi lepas. Bahkan mereka mungkin menganggap itu semua hanyalah khayalan penulis, atau sejarah yang tidak dapat berulang.
    Apatah lagi untuk mereka sendiri berkarya tentang keindahan alam semulajadi. Itu hanya mungkin dilakukan jika mereka berkhayal seperti mana pelukis-pelukis hari ini berkhayal tentang alam yang penuh warna-warni seperti di negeri Fairy Topia. Itulah natijahnya apabila pencemaran telah menguasai dunia ini. Mereka kata dunia kotor. Mereka tidak tahu bukan dunia asalnya kotor, tapi manusia yang mencemarinya.
    Begitulah dalam soal halal dan haram. Dunia ini asalnya dipenuhi dengan yang halal, bukan yang haram. Segala yang ada di dunia ini diciptakan untuk manusia, kecuali beberapa perkara sahaja yang dilarang sebagai ujian ketaatan kepada Allah dan untuk kebaikan manusia. Sebab itu, umpamanya jika kita mengambil sekeping kertas dan menyenaraikan makanan dan minuman yang diharamkan Allah, maka ia terlalu sedikit. Barangkali tidak sampai satu muka kertas. Namun jika kita disuruh untuk menyenaraikan perkara-perkara yang dihalalkan, tentu tidak memadai, sekalipun beberapa puluh lembaran kertas. Maka sebab itu menjadi prinsip dalam Islam bahawa “Hukum asal bagi setiap perkara atau benda adalah harus (boleh)". Bukan hukum asalnya haram. Maka berdasarkan prinsip ini, setiap makanan, minuman dan perbuatan boleh dilakukan selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Bukan prinsip Islam, semuanya haram sehingga ada bukti halal. Cuma hanya dalam perkara ibadah, Islam melarang dilakukan apa-apa ucapacara ibadah sehingga adanya dalil bahawa itu diizinkan oleh nas-nas al-Quran dan al- Sunnah. Ini untuk menghalang agama rekaan dan penyalahgunaan nama Allah untuk rekaan sendiri.
    Adapun dalam urusan harian, seseorang boleh makan dan minum atau lakukan apa sahaja selagi tiada bukti itu dilarang dalam Islam. Saya selalu umpamakan jika kita berjumpa dengan seekor binatang yang tidak diketahui jenisnya, tidak pula membahayakan diri jika dimakan, maka – sekalipun namanya tidak diketahui – hukumnya halal dimakan. Inilah agama yang rahmat dan mudah. Firman Allah: (maksudnya) Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? (Surah Luqman: ayat 20). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. (Surah al-Baqarah: ayat 29). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dan Dia memudahkan untuk (kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Jathiah: ayat 13).
    Maka daerah halal dalam Islam teramat-
    amat luas, sementara daerah haram pula terlalu sempit dan sedikit. Jika ada pun yang diharamkan Allah seperti judi, babi dan arak adalah atas hikmah demi kebaikan manusia itu sendiri. Selain ia adalah ujian untuk melambangkan kepatuhan kepada-Nya. Setiap perkara dan perbuatan adalah dibolehkan, kecuali jika ada nas yang mengharamkannya. Sabda Nabi s.a.w.: “Apa yang Allah halalkan dalam kitab-Nya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafan-Nya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).
    Meneliti
    Sesiapa yang meneliti nas-nas al-Quran dan al-Sunnah akan mendapati alangkah sedikitnya perkara yang diharamkan Allah dan alangkah banyaknya perkara-perkara yang Allah diamkan tanpa diberikan hukum. Itu semua termasuk dalam perkara yang dihalalkan sebagai satu kemaafan Allah untuk umat ini. Justeru, saya begitu pelik apabila ada yang menyatakan dalam Islam ini kebanyakan perkara tidak boleh dimakan, diminum dan dibuat. Saya katakan itu dakwaan yang salah. Dalam Islam ini, kebanyakan perkara boleh dibuat, dimakan dan diminum. Yang halal itu banyak, sementara yang haram pula sedikit. Adapun perkara-perkara yang diharamkan itu pula, ada gantinya yang halal yang begitu banyak. Diharamkan arak, dihalalkan begitu banyak minuman lain yang tidak memabukkan. Diharamkan judi, dibenarkan hadiah, upah dan berbagai-bagai lagi. Diharamkan zina, disyariatkan perkahwinan. Diharamkan menilik nasib, diajar kepada umat ini solat istikharah. Haramkan babi dan anjing, dihalalkan berbagai-bagai binatang yang lain yang begitu banyak. Begitulah seterusnya. Mengapakah manusia menganggap Islam ini sempit? Padahal hanya sedikit diharamkan untuk kemaslahatan manusia. Dan itupun bersama gantian. Firman Allah: (maksudnya): “Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi (tidak menulis dan membaca), yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157).
    Jika manusia merasakan Islam terlalu banyak mengharamkan, maka itu mungkin berlaku atas dua sebab. Pertama: manusia sendiri yang mencemari yang halal sehingga ia bertukar haram. Umpamanya, bersuka ria adalah dihalalkan dengan syarat tidak dicampuri perkara-perkara yang dilarang. Namun apabila unsur judi dijadikan saluran bersuka ria umpamanya, maka ia menjadi haram. Pengurusan kewangan kesemuanya halal. Namun hari ini unsur riba dan penindasan telah dimasukkan dalam banyak urusan kewangan, maka bank-bank banyak yang beroperasi secara haram di segi syarak. Nyanyian dan lagu diizinkan oleh baginda Nabi s.a.w., namun apabila diselangi dengan unsur-unsur yang buruk maka ia dilarang. Bukan Islam jumud atau sempit. Apabila kita ingin mendengar nyanyian kita sebenarnya hendak mendengar kata-kata yang indah dan bermakna. Bukan melihat pendedahan badan, atau gelagat liar, atau aksi yang pelik-pelik. Di Barat ada artis seperti Paris Hilton yang tiada apa-apa bakat yang menonjol dalam seni nyanyian atau lakonannya, tetapi menjadi masyhur kerana berjaya mendedahkan tubuhnya atau membuat aksi-aksi liar. Apakah industri hiburan kita ingin jadi seperti Barat?
    Apabila saya tidak dapat menerima kehadiran artis tertentu ke Perlis bukan bererti saya menyatakan Islam mengharamkan hiburan untuk manusia. Tidak! Sama sekali tidak! Cumanya saya larang watak yang cuba dibawa mengiringi hiburan itu. Seseorang yang apabila berada di atas pentas, atau di depan lensa kamera akan terjerit, atau melompat, atau menunjuk aksi-aksi pelik, adalah lambang mempromosi ketidak matangan hidup. Sedangkan Islam menyeru kepada kematangan watak dan kewibawaan dalam hidup. Apakah ibu bapa dapat terima jika anak-anak mereka berpewatakan begitu? Ada wartawan bertanya saya: mengapakah saya yang terkenal dengan pendekatan yang terbuka mengambil tindakan memusuhi artis? Saya kata kepada mereka; saya tidak bercakap soal artis atau selain artis. Saya bercakap soal rakyat perlu dididik dengan unsur-unsur yang mampu menjadikan mereka maju ke hadapan, berwibawa dan mempunyai identiti hidup yang jelas. Bukan juga dengan lawak bodoh – walaupun dinamakan ‘raja lawak’ – yang pada saya sebenarnya melekehkan akal rakyat dan mempersendakan kematangan orang ramai. Menonton watak-watak yang seperti itu tidak membangunkan minda mahupun kehalusan seni. Biarlah lagu kita ada ‘class’, lawak kita ada ‘class’. Di samping mendengar dan berhibur, manusia mempelajari falsafah hidup, kehalusan makna dan keindahan kata-kata. Nabi mendengar nyanyian, dan baginda membuat penapisan. Dalam Sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu‘awwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu”. Baginda melarang lirik tersebut kerana itu tidak benar dan menyeleweng. Sebab, yang mengetahui apa yang bakal berlaku esok, hanyalah Allah s.w.t.
    Berkesedaran
    Maka yang menyebabkan banyak perkara dilarang bukan kerana Islam itu jumud, tetapi manusia yang menggiatkan aktiviti itulah yang mencemarinya. Seperti alam sekitar yang saya sebutkan pada awal tadi. Akhirnya, umat Islam hanya mengetahui itu dan ini haram, bukan kerana kesempitan Islam, tapi dek tangan-tangan manusia sendiri. Ditambah pula dengan mereka yang berkesedaran tidak berusaha mewujudkan alternatif untuk semua yang terlarang itu, sedangkan Islam sentiasa mengadakan gantian bagi setiap yang diharamkannya.
    Kedua: Islam kelihatan sempit dan jumud apabila wujudnya di kalangan umat Islam kelompok yang asyik mengharamkan segala perkara. Seakan prinsipnya segala perkara itu haram, sehingga terbukti halal. Ini menyanggahi nas-nas Islam yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya. Maka apa sahaja yang dia syak terus haram, bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk orang lain juga. Lalu diharamkan nyanyian secara umum, diharamkan memegang anjing, diharamkan bersiar-siar, diharamkan ketawa, diharamkan barangan jenis itu dan ini atas prasangka sempit dan berbagai-bagai lagi. Lalu Islam dituduh oleh orang lain sempit, sedangkan Allah menyebut: (maksudnya) Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda- benda yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang- orang yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya (Surah al-A’raf: ayat 31- 33).
    Sebab itu saya pernah mencadangkan dalam negara Islam seperti Malaysia, kita perlukan logo makanan haram, bukan logo halal. Kita hanya ambil tindakan kepada yang menjual makanan haram tanpa meletakkan logo haram. Sebabnya, sepatutnya dalam negara kita yang halal itulah yang banyak, sementara yang haram itu sedikit. Itu selaras dengan prinsip Islam. Maka, secara praktikalnya yang patut dilogokan adalah yang sedikit, bukan yang banyak. Jika tidak, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengeluar. Maka tidak timbul isu makanan haram, atau cop haram palsu. Mana mungkin ada orang suka diletakkan cop haram secara tipu-tipu. Maka semua pengusaha akan berusaha agar mereka tidak mendapat atau diwajibkan cop haram. Lalu semua perkara akan beransur menjadi halal. Maka tidaklah terasa sempit Islam kerana setiap kali hendak makan dalam negara Islam pun asyik cari cop halal ada atau tidak. Padahal banyak yang halal, cuma belum mendapat cop. Patutnya, makanlah apapun produk selagi tidak diletakkan logo haram, maka silalah. Itulah baru namanya negara umat Islam. Jika kita hendak buat duit dengan logo halal pun, itu untuk luar negara yang bukan Islam.
    Di samping kita perlu tahu, baginda Nabi s.a.w begitu luas dalam soal makanan halal ini. Sebab itu apabila kaum yang baru menganut Islam berkata kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya satu kaum membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak? Adakah kami boleh memakannya atau tidak? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari). Maksudnya, jika kamu tidak pasti tentang hal itu, kamu boleh menyebut nama Allah semasa hendak makan dan makanlah.
    Maka, ruang halal begitu luas. Jika ada yang merungut kerana Islam asyik mengharamkan itu dan ini, maka sama ada dunia telah dicemari, atau kita sengaja menyempitkan diri.
    (Utusan Malaysia)

    ---
    Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
    Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
    Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

    Malaysia: PLUS terbit sukuk RM700j

    KUALA LUMPUR 2 Mei - PLUS Expressways Bhd. (PLUS) merancang untuk menerbitkan sukuk berjumlah RM700 juta, kata seorang yang biasa dengan perkara itu.
    Sukuk tersebut akan diterbitkan dibawah konsep musharakah iaitu perkongsian keuntungan dan kerugian bersama.
    Bon berasaskan Syariah itu telah diberi penarafan oleh Ram Ratings Services Bhd. dan merupakan sebahagian Sukuk Siri 3 menerusi program nota jangka sederhana (MTN) berjumlah RM4.5 bilion yang dilancarkan pada Oktober 2006, katanya.
    Ia akan untuk digunakan untuk keperluan pembiayaan.
    - Dow Jones

    ---
    Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
    Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
    Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com