Terkini

Sunday, 4 May 2008

Pena Mufti: Mengapakah dunia dipenuhi yang haram?

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mufti Perlis

Mereka mungkin tidak akan kenal lagi apa itu keindahan alam; kejernihan air sungai yang sejuk, pohon-pohon yang menghijau indah, laut yang bersih dan udara yang segar lagi nyaman. Bagi mereka dunia ini semuanya pencemaran. Mereka mungkin tidak dapat faham apabila membaca ungkapan puisi-puisi indah tentang keindahan alam yang diwarisi dari generasi lepas. Bahkan mereka mungkin menganggap itu semua hanyalah khayalan penulis, atau sejarah yang tidak dapat berulang.
Apatah lagi untuk mereka sendiri berkarya tentang keindahan alam semulajadi. Itu hanya mungkin dilakukan jika mereka berkhayal seperti mana pelukis-pelukis hari ini berkhayal tentang alam yang penuh warna-warni seperti di negeri Fairy Topia. Itulah natijahnya apabila pencemaran telah menguasai dunia ini. Mereka kata dunia kotor. Mereka tidak tahu bukan dunia asalnya kotor, tapi manusia yang mencemarinya.
Begitulah dalam soal halal dan haram. Dunia ini asalnya dipenuhi dengan yang halal, bukan yang haram. Segala yang ada di dunia ini diciptakan untuk manusia, kecuali beberapa perkara sahaja yang dilarang sebagai ujian ketaatan kepada Allah dan untuk kebaikan manusia. Sebab itu, umpamanya jika kita mengambil sekeping kertas dan menyenaraikan makanan dan minuman yang diharamkan Allah, maka ia terlalu sedikit. Barangkali tidak sampai satu muka kertas. Namun jika kita disuruh untuk menyenaraikan perkara-perkara yang dihalalkan, tentu tidak memadai, sekalipun beberapa puluh lembaran kertas. Maka sebab itu menjadi prinsip dalam Islam bahawa “Hukum asal bagi setiap perkara atau benda adalah harus (boleh)". Bukan hukum asalnya haram. Maka berdasarkan prinsip ini, setiap makanan, minuman dan perbuatan boleh dilakukan selagi tidak ada dalil yang mengharamkannya. Bukan prinsip Islam, semuanya haram sehingga ada bukti halal. Cuma hanya dalam perkara ibadah, Islam melarang dilakukan apa-apa ucapacara ibadah sehingga adanya dalil bahawa itu diizinkan oleh nas-nas al-Quran dan al- Sunnah. Ini untuk menghalang agama rekaan dan penyalahgunaan nama Allah untuk rekaan sendiri.
Adapun dalam urusan harian, seseorang boleh makan dan minum atau lakukan apa sahaja selagi tiada bukti itu dilarang dalam Islam. Saya selalu umpamakan jika kita berjumpa dengan seekor binatang yang tidak diketahui jenisnya, tidak pula membahayakan diri jika dimakan, maka – sekalipun namanya tidak diketahui – hukumnya halal dimakan. Inilah agama yang rahmat dan mudah. Firman Allah: (maksudnya) Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? (Surah Luqman: ayat 20). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi”. (Surah al-Baqarah: ayat 29). Juga firman-Nya: (maksudnya) Dan Dia memudahkan untuk (kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Jathiah: ayat 13).
Maka daerah halal dalam Islam teramat-
amat luas, sementara daerah haram pula terlalu sempit dan sedikit. Jika ada pun yang diharamkan Allah seperti judi, babi dan arak adalah atas hikmah demi kebaikan manusia itu sendiri. Selain ia adalah ujian untuk melambangkan kepatuhan kepada-Nya. Setiap perkara dan perbuatan adalah dibolehkan, kecuali jika ada nas yang mengharamkannya. Sabda Nabi s.a.w.: “Apa yang Allah halalkan dalam kitab-Nya maka halal. Apa yang Allah haramkan, maka haram. Apa yang Dia diamkan maka itu dimaafkan. Terimalah kemaafan-Nya. Kerana sesungguhnya Allah tidak pernah lupa sesuatu pun”. Lalu baginda membaca firman Allah (maksudnya): “Maka tidaklah tuhanmu itu lupa” (hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Darqutni, dinilai sahih oleh al-Albani).
Meneliti
Sesiapa yang meneliti nas-nas al-Quran dan al-Sunnah akan mendapati alangkah sedikitnya perkara yang diharamkan Allah dan alangkah banyaknya perkara-perkara yang Allah diamkan tanpa diberikan hukum. Itu semua termasuk dalam perkara yang dihalalkan sebagai satu kemaafan Allah untuk umat ini. Justeru, saya begitu pelik apabila ada yang menyatakan dalam Islam ini kebanyakan perkara tidak boleh dimakan, diminum dan dibuat. Saya katakan itu dakwaan yang salah. Dalam Islam ini, kebanyakan perkara boleh dibuat, dimakan dan diminum. Yang halal itu banyak, sementara yang haram pula sedikit. Adapun perkara-perkara yang diharamkan itu pula, ada gantinya yang halal yang begitu banyak. Diharamkan arak, dihalalkan begitu banyak minuman lain yang tidak memabukkan. Diharamkan judi, dibenarkan hadiah, upah dan berbagai-bagai lagi. Diharamkan zina, disyariatkan perkahwinan. Diharamkan menilik nasib, diajar kepada umat ini solat istikharah. Haramkan babi dan anjing, dihalalkan berbagai-bagai binatang yang lain yang begitu banyak. Begitulah seterusnya. Mengapakah manusia menganggap Islam ini sempit? Padahal hanya sedikit diharamkan untuk kemaslahatan manusia. Dan itupun bersama gantian. Firman Allah: (maksudnya): “Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi (tidak menulis dan membaca), yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157).
Jika manusia merasakan Islam terlalu banyak mengharamkan, maka itu mungkin berlaku atas dua sebab. Pertama: manusia sendiri yang mencemari yang halal sehingga ia bertukar haram. Umpamanya, bersuka ria adalah dihalalkan dengan syarat tidak dicampuri perkara-perkara yang dilarang. Namun apabila unsur judi dijadikan saluran bersuka ria umpamanya, maka ia menjadi haram. Pengurusan kewangan kesemuanya halal. Namun hari ini unsur riba dan penindasan telah dimasukkan dalam banyak urusan kewangan, maka bank-bank banyak yang beroperasi secara haram di segi syarak. Nyanyian dan lagu diizinkan oleh baginda Nabi s.a.w., namun apabila diselangi dengan unsur-unsur yang buruk maka ia dilarang. Bukan Islam jumud atau sempit. Apabila kita ingin mendengar nyanyian kita sebenarnya hendak mendengar kata-kata yang indah dan bermakna. Bukan melihat pendedahan badan, atau gelagat liar, atau aksi yang pelik-pelik. Di Barat ada artis seperti Paris Hilton yang tiada apa-apa bakat yang menonjol dalam seni nyanyian atau lakonannya, tetapi menjadi masyhur kerana berjaya mendedahkan tubuhnya atau membuat aksi-aksi liar. Apakah industri hiburan kita ingin jadi seperti Barat?
Apabila saya tidak dapat menerima kehadiran artis tertentu ke Perlis bukan bererti saya menyatakan Islam mengharamkan hiburan untuk manusia. Tidak! Sama sekali tidak! Cumanya saya larang watak yang cuba dibawa mengiringi hiburan itu. Seseorang yang apabila berada di atas pentas, atau di depan lensa kamera akan terjerit, atau melompat, atau menunjuk aksi-aksi pelik, adalah lambang mempromosi ketidak matangan hidup. Sedangkan Islam menyeru kepada kematangan watak dan kewibawaan dalam hidup. Apakah ibu bapa dapat terima jika anak-anak mereka berpewatakan begitu? Ada wartawan bertanya saya: mengapakah saya yang terkenal dengan pendekatan yang terbuka mengambil tindakan memusuhi artis? Saya kata kepada mereka; saya tidak bercakap soal artis atau selain artis. Saya bercakap soal rakyat perlu dididik dengan unsur-unsur yang mampu menjadikan mereka maju ke hadapan, berwibawa dan mempunyai identiti hidup yang jelas. Bukan juga dengan lawak bodoh – walaupun dinamakan ‘raja lawak’ – yang pada saya sebenarnya melekehkan akal rakyat dan mempersendakan kematangan orang ramai. Menonton watak-watak yang seperti itu tidak membangunkan minda mahupun kehalusan seni. Biarlah lagu kita ada ‘class’, lawak kita ada ‘class’. Di samping mendengar dan berhibur, manusia mempelajari falsafah hidup, kehalusan makna dan keindahan kata-kata. Nabi mendengar nyanyian, dan baginda membuat penapisan. Dalam Sahih al-Bukhari, al-Rubaiyi’ binti Mu‘awwiz menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w datang ke majlis perkahwinannya dan mendengar beberapa orang gadis memukul kompang dan menyanyikan lagu kesedihan mengenang bapa mereka yang terbunuh semasa peperangan Badar sehingga salah seorang mereka berkata: “Di sisi kami ada nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok”. Baginda bersabda: “Jangan engkau kata begitu, katalah apa yang engkau katakan sebelum itu”. Baginda melarang lirik tersebut kerana itu tidak benar dan menyeleweng. Sebab, yang mengetahui apa yang bakal berlaku esok, hanyalah Allah s.w.t.
Berkesedaran
Maka yang menyebabkan banyak perkara dilarang bukan kerana Islam itu jumud, tetapi manusia yang menggiatkan aktiviti itulah yang mencemarinya. Seperti alam sekitar yang saya sebutkan pada awal tadi. Akhirnya, umat Islam hanya mengetahui itu dan ini haram, bukan kerana kesempitan Islam, tapi dek tangan-tangan manusia sendiri. Ditambah pula dengan mereka yang berkesedaran tidak berusaha mewujudkan alternatif untuk semua yang terlarang itu, sedangkan Islam sentiasa mengadakan gantian bagi setiap yang diharamkannya.
Kedua: Islam kelihatan sempit dan jumud apabila wujudnya di kalangan umat Islam kelompok yang asyik mengharamkan segala perkara. Seakan prinsipnya segala perkara itu haram, sehingga terbukti halal. Ini menyanggahi nas-nas Islam yang dinyatakan oleh Allah dan rasul-Nya. Maka apa sahaja yang dia syak terus haram, bukan sahaja untuk dirinya, tapi untuk orang lain juga. Lalu diharamkan nyanyian secara umum, diharamkan memegang anjing, diharamkan bersiar-siar, diharamkan ketawa, diharamkan barangan jenis itu dan ini atas prasangka sempit dan berbagai-bagai lagi. Lalu Islam dituduh oleh orang lain sempit, sedangkan Allah menyebut: (maksudnya) Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda- benda yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang- orang yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya (Surah al-A’raf: ayat 31- 33).
Sebab itu saya pernah mencadangkan dalam negara Islam seperti Malaysia, kita perlukan logo makanan haram, bukan logo halal. Kita hanya ambil tindakan kepada yang menjual makanan haram tanpa meletakkan logo haram. Sebabnya, sepatutnya dalam negara kita yang halal itulah yang banyak, sementara yang haram itu sedikit. Itu selaras dengan prinsip Islam. Maka, secara praktikalnya yang patut dilogokan adalah yang sedikit, bukan yang banyak. Jika tidak, tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengeluar. Maka tidak timbul isu makanan haram, atau cop haram palsu. Mana mungkin ada orang suka diletakkan cop haram secara tipu-tipu. Maka semua pengusaha akan berusaha agar mereka tidak mendapat atau diwajibkan cop haram. Lalu semua perkara akan beransur menjadi halal. Maka tidaklah terasa sempit Islam kerana setiap kali hendak makan dalam negara Islam pun asyik cari cop halal ada atau tidak. Padahal banyak yang halal, cuma belum mendapat cop. Patutnya, makanlah apapun produk selagi tidak diletakkan logo haram, maka silalah. Itulah baru namanya negara umat Islam. Jika kita hendak buat duit dengan logo halal pun, itu untuk luar negara yang bukan Islam.
Di samping kita perlu tahu, baginda Nabi s.a.w begitu luas dalam soal makanan halal ini. Sebab itu apabila kaum yang baru menganut Islam berkata kepada Nabi s.a.w: “Sesungguhnya satu kaum membawa kepada kami daging yang kami tidak tahu mereka menyebut nama Allah atau tidak? Adakah kami boleh memakannya atau tidak? Sabda Nabi s.a.w.: “Kamu sebutlah nama Allah dan makanlah” (Riwayat al-Bukhari). Maksudnya, jika kamu tidak pasti tentang hal itu, kamu boleh menyebut nama Allah semasa hendak makan dan makanlah.
Maka, ruang halal begitu luas. Jika ada yang merungut kerana Islam asyik mengharamkan itu dan ini, maka sama ada dunia telah dicemari, atau kita sengaja menyempitkan diri.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment