Terkini

Showing posts with label Bank Islam Malaysia (BIMB). Show all posts
Showing posts with label Bank Islam Malaysia (BIMB). Show all posts

Sunday, 8 September 2013

Bank Islam Malaysia Berhad perkenal akaun simpanan tunai haji

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), memperkenalkan Akaun-i Labbaik bercirikan Perlindungan Takaful yang membolehkan pelanggan menyimpan wang simpanan untuk menunaikan ibadat haji.
Bank Islam menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini memberitahu, Akaun-i Labbaik berkonsepkan pelan 2 dalam 1 yang turut memberi perlindungan Takaful sekiranya berlaku kematian atau Keilatan Menyeluruh Kekal (KMK).
Pengarah Pembangunan Perniagaan Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, akaun ini akan memberi pelanggan lebih fleksibiliti dalam merancang keperluan kewangan mereka.
"Pelanggan boleh memilih pakej simpanan bulanan yang bersesuaian dengan keperluan mereka untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun atau sehingga maksimum 15 tahun dengan jumlah perlindungan Takaful daripada RM30,000 sehingga RM50,000.
"Akaun-i Labbaik bukan satu alternatif bagi menggantikan simpanan tabung haji tetapi berfungsi sebagai penambahbaikan untuk pelanggan menambah simpanan dan sekali gus mendapat perlindungan Takaful," katanya.
Jelasnya, Akaun baharu itu menawarkan pelbagai ciri unik untuk manfaat pelanggan seperti pelanggan dapat berkongsi keuntungan daripada pelaburan Mudharabah.
Selain itu, badal (ganti) haji juga akan diatur bagi pihak pelanggan sekiranya berlaku kematian atau KMK di samping pelanggan berpeluang memenangi pakej umrah dengan hanya membuat simpanan bulanan secara konsisten.
"Pakej umrah dan badal haji ini disediakan khas oleh pihak Tabung Haji Travel Services (THTS) untuk pendeposit Akaun-i Labbaik.
"Pelanggan hanya perlu mendepositkan simpanan bulanan minimum ke dalam Akaun-i Labbaik dan membayar caruman tunggal untuk pelindungan Takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/8 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 17 August 2012

BIMB Holdings untung RM340.6 juta


KUALA LUMPUR 16 Ogos 2012 - BIMB Holdings Bhd. (BIMB Holdings) mencatatkan keuntungan sebelum Zakat dan cukai (PBZT) bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2012 sebanyak RM340.6 juta atau RM40 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
BIMB Holdings dalam satu kenyataannya berkata, pencapaian itu membolehkan syarikat itu merekodkan pulangan atas aset (ROA) pada 1.74 peratus dan pulangan atas ekuitinya (ROE) pada kadar 18.36 peratus.
Dalam tempoh tersebut, keuntungan bersih syarikat berjumlah RM238.6 juta iaitu meningkat 6.7 peratus.
Operasi perbankannya menerusi Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) pula mencatatkan PBZT sebanyak RM278.4 juta atau RM26.2 juta lebih tinggi berbanding separuh pertama tahun lalu.
Dalam tempoh enam bulan tersebut, pembiayaan bersihnya meningkat RM2.2 bilion mencecah kepada RM16.4 bilion sehingga hujung Jun 2012. Deposit pelanggannya tumbuh 19.4 peratus atau RM4.6 bilion dengan nilai terkumpul berjumlah RM28.7 bilion sehingga Jun lalu.
Dalam kenyataan itu, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, beliau yakin Bank Islam mampu mencapai sasaran PBZT setengah juta ringgit untuk tahun kewangan penuh walaupun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka perlahan.
Bank itu juga akan meneruskan usaha meluaskan operasinya kepada pelanggan dengan menambah lapan lagi cawangan baru tahun ini, menjadikannya jumlah keseluruhannya 133 cawangan.
Operasi Takafulnya menerusi Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) pula mencatatkan pendapatan operasinya meningkat 37.6 peratus kepada RM875.2 juta, berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM636.2 juta. Peningkatan itu disumbangkan oleh jualan menerusi produk Takaful Keluarga dan pendapatan pelaburan yang tinggi.
Dalam tempoh enam bulan itu, Takaful Keluarga mencatatkan sumbangan perolehan kasar sebanyak RM529.3 juta, manakala Takaful Am mencatatkan sumbangan perolehan kasar RM215.1 juta.
Takaful Malaysia mencatatkan PBTZ sebanyak RM63.9 juta iaitu peningkatan 28.1 peratus berbanding RM49.9 yang dicatatkan pada tahun lalu.
Dalam kenyataan itu juga, prospek perniagaan Bank Islam bagi baki tahun ini dijangka kekal positif ekoran aktiviti pembiayaan kepada pelbagai projek di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan pengenalan beberapa produk baru.
Hal yang sama juga dijangka berlaku ke atas Takaful Malaysia melalui pengenalan produk baru, penambahbaikan perniagaan menerusi Internet dan pengambilan ejen baru serta ikatan perniagaan dengan bank islam tempatan. (Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 13 August 2008

Bank Islam Malaysia: An-Najah NID-i sasar RM300j

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), pengasas institusi kewangan berlandaskan syariah di Malaysia mensasarkan saiz dana permulaan RM300 juta bagi produk pelaburan berstruktur pertamanya, An-Najah NID-i yang dilancarkan semalam.


Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat, berkata produk terkini itu dijangka dilanggan sepenuhnya dalam tempoh 30 hari memandangkan ia pelaburan berstruktur Islam pertama ditawarkan di Malaysia yang menumpukan kepada penjagaan kesihatan.


“Ia menawarkan 100 peratus perlindungan pelaburan pokok jika dipegang sehingga tempoh matang, tetapi berpotensi memberikan pulangan perolehan yang tinggi apabila matang,” katanya ketika taklimat media pelancaran An-Najah NID-i, di Kuala Lumpur, semalam.


Zukri berkata produk itu juga berpotensi memberikan pulangan tahunan antara lima dan 16.4 peratus atau purata 9.3 peratus, iaitu lebih tinggi berbanding kadar deposit tetap.

Menurutnya, Bank Islam bercadang memberi fokus kepada penjagaan kesihatan global kerana faktor gabungan seperti jangka hayat yang panjang, kekayaan yang meningkat dan kemajuan dalam rawatan umur dan penyakit yang berkait dengan gaya hidup serta perkhidmatan dalam setiap negara. (Harian Metro)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Sunday, 23 March 2008

Bank Islam Malaysia Akan Lebih Agresif Kembangkan Pasaran

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd bercadang untuk lebih agresif dalam mengembangkan penguasaan pasarannya selepas berjaya mencatatkan satu lagi pendapatan yang lebih kukuh untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Dis, 2007.Untung sebelum zakat dan cukai (PBZT) meningkat 10 peratus kepada RM182.3 juta daripada RM165.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas dan pendapatan mengukuh 32.5 peratus kepada RM579.5 juta daripada RM437.2 juta sebelumnya.
Pengarah urusan, Datuk Zukri Samat berkata pendapatan yang kukuh dipacu oleh prestasi kendalian yang lebih baik dan sumbangan menggalakkan daripada pendapatan berasaskan bukan dana."Ia mencatatkan peningkatan yang besar dengan menyumbangkan 12.3 peratus daripada jumlah pendapatan untuk tempoh enam bulan pertama berbanding 9.2 peratus dalam tempoh yang sama sebelumnya," kata beliau kepada taklimat media mengenai prestasi kewangan bank di sini hari ini.Zukri berkata pada peringkat kumpulan, PBZT naik 17.4 peratus kepada RM194.3 juta berikutan keuntungan semula yang diraih oleh anak syarikat 100 peratusnya, BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn Bhd, yang merekodkan PBZT sebanyak RM12.6 jta.
Beliau berkata bank itu telah, sebelum Disember, begitu fokus untuk melaksanakan rancangan pemulihan bagi kembali kepada keuntungan."Dengan tempoh enam suku pertumbuhan pendapatan yang kukuh di belakang kami, kami telah membina satu asas yang mantap bagi program yang lebih agresif untuk bersaing bagi mendapat penguasaan pasaran yang lebih besar untuk memacu pertumbuhan kami di fasa akan datang," kata beliau.
Mengenai rancangan pemulihan yang disasarkan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2010, Zukri berkata pelaksanaan kelima-lima komponen itu berjalan lancar dan telah berhasil seperti yang dibayangkan.Kelima-lima komponen rancangan pemulihan itu ialah penyusunan semula modal, pembaharuan infrastruktur teknologi maklumat, program transformasi (menggabungkan penjenamaan semula), eksesais merasionalisasikan kos dan program pembangunan modal insan.Zukri berkata bank telah bercadang untuk tidak meneruskan dengan rancangan "mengurangkan" NPF berikutan eksesais ketekunan wajar yang diambil pada bulan Disember."Tujuan untuk mengurangkan NPF ialah untuk mengukuhkan imbangan kira-kira bagi membolehkan bank itu mengembangkan perniagaannya."
Bagaimanapun, dengan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan mampan dalam tempoh enam suku yang lepas dan pengurangan ketara dalam NPF kepada paras yang boleh diuruskan, eksesais itu tidak diperlukan lagi, kata beliau.NPF bersih bank sehingga Disember 2007 telah dikurangkan kepada RM785 juta daripada RM1.05 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2006.Zukri berkata bank itu meninjau untuk menembusi China, Thailand dan Indonesia.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday, 6 February 2008

Bank Islam pacu khidmat

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan melabur RM54 juta untuk menaik taraf dan menambah mesin juruwang automatik (ATM) di 90 cawangannya di seluruh negara secara berperingkat.Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat, berkata Bank Islam memperuntukkan RM600,000 untuk menaik taraf serta membesarkan ruang dan menambah sekurang-kurangnya lapan mesin ATM di setiap cawangan.Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu bergantung kepada kesesuaian dan saiz bank serta mengambil kira keselesaan dan kemudahan lebih sejuta pelanggan Bank Islam di seluruh negara.“Mungkin ada antara cawangan yang saiznya kecil hanya memerlukan perbelanjaan RM100,000 untuk pengubahsuaian,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Program Menggalakkan Kepintaran, Mengasah Bakat dan Memupuk Kebertanggungjawaban (Pintar) di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam, Kuala Terengganu semalam.
Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh. Hadir sama Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Ariffin Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan negeri, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang.
Sehingga kini, Bank Islam mempunyai 90 cawangan dan 285 mesin ATM di seluruh negara serta menawarkan lebih 50 produk dan perkhidmatan perbankan berlandaskan syariah bagi memenuhi keperluan umat Islam dan bukan Islam.Dalam perkembangan lain, Zukri berkata, Bank Islam akan beroperasi pada hujung minggu pertama dan ketiga iaitu hari Ahad bagi negeri yang hujung minggunya jatuh pada Ahad dan Jumaat negeri yang hujung minggunya jatuh pada hari berkenaan.“Ia bertujuan memudahkan urusan kepada pelanggan dan menambah baik perkhidmatan sedia ada. Sebagai permulaan, Terengganu akan menjadi perintis melaksanakan percubaan itu,” katanya. --(HarianMetro)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Friday, 7 September 2007

Bank Islam Malaysia jual RM2b pembiayaan tak berbayar

BANK Islam Malaysia Bhd yang mencatatkan rekod keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi berjumlah RM255.49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, kini dalam proses menjual pembiayaan tidak berbayar (NPF) berjumlah kira-kira RM2 bilion.Penjualan NPF itu adalah sebahagian langkah memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan bank itu yang sedang dalam proses pemulihan semula selepas mencatatkan kerugian kira-kira RM1.3 bilion pada tahun kewangan lalu. Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Zukri Samat, berkata jumlah NPF yang tinggi kurang baik bagi operasi bank kerana ia tidak memberi sebarang sumbangan kepada pendapatan bank.“Sehubungan itu, proses penjualan NPF penting bagi memperkemaskan lagi imbangan pembayaran bank ini,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan Bank Islam bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007 di Kuala Lumpur, semalam.Zukri berkata, Bank Islam sudah menemui pembeli NPF berkenaan sedang menjalankan kajian kemungkinan bagi pembelian berkenaan.“Kami memilih satu pihak yang berminat membeli NPF berkenaan dan mereka sedang membuat kajian pembelian,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, Bank Islam juga sedang dalam proses menjual aset bukan teras miliknya bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan bank itu.Antaranya, ia telah menjual anak syarikat yang terbabit dalam perniagaan perisian dan kini sedang meninjau kemungkinan menjual pegangannya dalam sebuah bank pelaburan di Sri Lanka.“Kami mempunyai 10 peratus saham dalam syarikat berkenaan dan penjualan itu adalah wajar kerana Bank Islam tidak mempunyai kawalan dalam perniagaannya.“Penjualan itu juga sejajar matlamat bank untuk hanya memberi tumpuan dalam perniagaan terasnya iaitu perbankan Islam,” katanya.Mengulas mengenai prestasi kewangan Bank Islam bagi tahun kewangan dikaji, Zukri berkata, keuntungan itu hasil daripada pelaksanaan program pemulihan semula yang dibuat secara agresif sejak September tahun lalu.Pelan pemulihan itu termasuk pelaksanaan strategi perubahan bagi meningkatkan perniagaan baru dan program pemulihan semula pinjaman tertunggak.Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2007, Bank Islam mencatatkan pendapatan RM1.03 bilion, yang menandakan pemulihan sepenuhnya bank itu daripada kerugian sejak dua tahun lalu.Dalam tahun kewangan lalu, ia mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai RM1.28 bilion bersandarkan pendapatan RM948.87 juta. - (BH, 6 Sep 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kewangan Islam Malaysia terus kukuh

MALAYSIA adalah salah sebuah negara Islam yang sentiasa komited bukan saja membangunkan sistem perbankan Islam, malah dalam melaksanakan sistem kewangan Islam secara menyeluruh di dalam struktur kewangan negara. Oleh itu, negara kita, pelaksanaan sistem kewangan Islam dibuat secara selari dengan sistem kewangan konvensional sedia ada. Pembangunan sistem kewangan Islam di Malaysia secara rasmi bermula dengan penubuhan bank Islam yang pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), pada tahun 1983. Walaupun Lembaga Tabung Haji yang termasuk di dalam kategori institusi kewangan Islam diwujudkan pada 1963, peranannya berbeza kerana ia bukan bank. Ia ditubuhkan untuk memenuhi objektif masyarakat Islam di negara ini untuk menyimpan dan melabur bagi tujuan mengerjakan haji di Makkah. Namun, secara tidak langsung, kewujudan institusi Lembaga Tabung Haji ini menunjukkan perkembangan negara ke arah kewangan Islam tanpa riba yang bermula seawal 1963. Seterusnya, kewujudan BIMB sebagai bank Islam yang pertama itu diikuti dengan penubuhan syarikat insurans Islam pertama iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad pada 1984. Kerajaan menerusi Bank Negara juga memperkenalkan konsep Islamic Window iaitu skim perbankan tanpa faedah di bank konvensional sedia ada di Malaysia, bertujuan memperkenalkan produk perbankan Islam kepada pelanggan bank berkenaan. Konsep Islamic Window yang diperkenalkan pada Mac 1993 ini, pada awalnya menawarkan 21 produk kewangan Islam membabitkan tiga bank utama, sudah berkembang dan membabitkan semua institusi kewangan pada Julai, tahun sama. Sehingga akhir tahun 2000, sistem perbankan Islam semakin berkembang dan diwakili dua bank Islam sepenuhnya, 17 bank perdagangan tempatan, lima bank saudagar dan tujuh rumah diskaun serta empat bank cawangan asing yang menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan Islam.Seterusnya pada Jun 2001, jumlah institusi perbankan dan kewangan yang terbabit dengan perbankan Islam bertambah kepada 33 dengan 2,200 cawangan di seluruh negara. Sehingga kini, perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam semakin pesat dengan hampir semua bank dan institusi kewangan yang ada di Malaysia menawarkan produk kewangan dan perbankan Islam. Langkah pembangunan kewangan Islam ini juga turut disusuli dengan perkembangan di dalam pasaran kewangan Islam membabitkan pasaran wang dan pasaran modal. Pasaran wang secara Islam bermula pada Januari 1994 dan satu pasaran wang Islam pertama di dunia pada ketika itu.Pada 2000, nilai dana yang didagangkan di dalam pasaran ini berjumlah RM302. bilion, manakala pasaran modal Islam pula sebenarnya bermula lebih awal daripada pasaran wang Islam apabila kerajaan memperkenal dan mengeluarkan bon Islam yang pertama pada 1983. Seterusnya selepas itu, sekuriti hutang swasta Islam (IPDS) diperkenalkan. Sehingga akhir 2000, daripada RM22,935 billion sekuriti yang dikeluarkan, RM6,278 billion adalah sekuriti hutang swasta Islam dan bon Islam. Dengan penubuhan BIMB Securities pada 1994, iaitu syarikat pembrokeran Islam pertama di Malaysia, maka bermulalah era baru ke arah pembangunan pasaran modal Islam khususnya dalam pasaran ekuiti dengan pengenalan kepada kaunter dan saham patut syariah. Sehingga Julai 1996, didapati 364 saham daripada jumlah 633 saham yang diniagakan di Bursa Malaysia (dulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur) dikategorikan sebagai pematuhan Syariah. Pada 17 April 1999 pula, Bursa Malaysia merasmikan Indeks syariah Bursa Malaysia bagi tujuan memenuhi hasrat pelabur yang ingin melabur dalam instrumen pematuhan syariah. Pasaran IPDS ini turut dikenali dengan nama ‘sukuk’ terus berkembang dan membangunkan dengan pesatnya di Malaysia daripada RM3.1 bilion (9.7 peratus daripada jumlah terbitan bon) pada 1998 kepada RM31 bilion (40.1 peratus) pada 2006. Pertumbuhan yang mantap ini meningkatkan lagi permintaan terhadap sukuk di negara kita dan di pasaran global. Sekitar 2000-an pasaran sukuk yang diterbitkan memberi peluang kepada pelabur seperti penanggung takaful, kumpulan wang pencen, syarikat pengurusan aset dan pelabur institusi lain mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka yang sepadan dengan profil liabiliti dan pulangan atas risiko. Malah, Malaysia adalah negara pertama menerbitkan sukuk global berdaulat dengan nilai nominal AS$600 juta pada 2002. Daripada jumlah itu, 15 peratus dilanggani pelabur Eropah dan Amerika.Landskap operasi yang menggalakkan juga menarik organisasi pelbagai hala yang disegani seperti International Financial Corporation dan International Bank For Reconstruction and Development untuk menerbitkan sukuk dalam Ringgit Malaysia. Pada peringkat domestik pula, sektor swasta memainkan peranan penting dalam menerbitkan sukuk yang menyaksikan peningkatan dalam terbitan sukuk swasta terkumpul, meningkat lebih sekali ganda dari segi peratusan berbanding jumlah bon swasta terkumpul iaitu daripada 22.5 peratus pada akhir 2001 kepada 47.1 peratus pada akhir 2006. Melihat kepada sejarah dari 1945 hingga 1995, Asia sebenarnya sudah beralih daripada kemiskinan kepada kemewahan dan kekayaan. Pada 1990-an, misalnya Asia Timur dilihat sebagai model ekonomi The East Asian Miracle yang sering disebut sebagai contoh kejayaan sistem ekonomi berasaskan kepada campur tangan kerajaan yang tersusun dan dasar ekonomi makro kukuh meningkat taraf hidup rakyat. Malaysia juga tidak terkecuali kerana ketika itu negara ini turut mewakili kelompok negara `harimau Asia' yang dilambangkan sebagai sebuah negara yang begitu kukuh dan terserlah kepada dunia sama ada dari segi kemajuan ekonomi, politik dan budaya sehingga digambarkan seolah-olah berada pada zaman Asia Baru ‘Renaissance Asia’. Namun kegemilangan dan kemegahan itu tidak bertahan lama. Ia lenyap begitu cepat sekali tanpa sebarang petunjuk dan amaran jelas. Tahun 1997 menyaksikan satu peristiwa baru dalam krisis kewangan iaitu krisis kewangan Asia Timur. Serangan spekulasi ke atas Thailand yang bermula pada pertengahan 1997, merebak ke seluruh rantau menyebabkan penyusutan nilai baht, nilai peso dan rupiah berikutan pengapungan tanpa kawalan. Kedudukan nilai ringgit dan dolar Singapura pula menghadapi tekanan jualan mata wang. Tekanan itu terus merebak dan mengancam nilai won Korea, dolar Hong Kong dan dolar Taiwan. Pada ketika itu, mengikut anggaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nilai bersih pengaliran modal ke rantau Asia pada 1997 jatuh kepada AS$34.2 bilion daripada nilai AS$101.2 bilion pada 1996. Malaysia menerima kesan krisis itu, ekoran penurunan nilai baht pada 2 Julai 1997. Ringgit mula diserang tekanan spekulasi menyebabkan pada akhir Ogos 1998, nilai ringgit susut sebanyak 40 peratus berbanding dolar AS secara relatif berasaskan nilai ringgit pada akhir Jun 1997. Berasaskan kepada sumber Bank Negara, indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur pada ketika itu turut jatuh dari nilai tertinggi 1,271.57 mata pada Februari 1997 kepada nilai serendah 262.70 mata pada 1 September 1998, iaitu kejatuhan sebanyak 79.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi buat pertama kalinya sejak 13 tahun sebelum itu. Keadaan menjadi semakin gawat kerana petunjuk ekonomi sedia ada seperti kekukuhan struktur ekonomi domestik tidak mendatangkan sebarang kesan. Malah keadaan juga semakin buruk apabila sistem pemantauan ekonomi yang tidak sistematik dan kegagalan pakar ekonomi menyarankan tindakan segera membawa mudarat begitu besar. Keadaan turun naik ini akhirnya memaksa negara di Asia termasuk Malaysia menjalankan dasar jimat cermat, malah sampai ke satu tahap, rakyat disaran untuk menyumbang sesuatu dalam bentuk emas kepada negara. Selepas sepuluh tahun berlalu sejak krisis 1997-1998, kini ekonomi Malaysia, khususnya peringkat domestik mengalami perkembangan yang begitu rancak dan berkembang maju selaras dengan peningkatan ekonomi di peringkat global. - (BH, 6 Sep 07)
Penulis: Fadillah Mansor (tenaga akademik Universiti Malaya)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com