Terkini

Tuesday 31 July 2012

8 asnaf yang berhak untuk menerima wang zakat



Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.  (Al-Quran, surah At-Taubah, 9: ayat 60)

Zakat mesti dibayar kerana ia akan digunakan untuk kerja kebajikan seperti memberi bantuan kepada 8 asnaf yang berhak untuk menerima wang zakat. Lapan golongan ini adalah:



1) Fakir - Orang yang tidak berharta serta tidak mempunyai pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi tidak dapat menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluannya sehari ialah RM 10.00 tetapi dia hanya ada RM 2.00 sahaja.



2) Miskin - Orang yang mempunyai harta tetapi tidak mencukupi keperluan hariannya. Contoh, keperluan hariannya RM 10.00, tetapi dia hanya ada RM 7.00 sahaja.



3) Amil - Orang/Pekerja yang ditugaskan oleh pemerintah mengutip/mengagih zakat.



4) Muallaf - Saudara baru memeluk Islam



5) Riqab - Hamba yang menebus dirinya secara ansuran.



6) Al-Gharimin - Orang yang menanggung hutang dan tidak mampu untuk menyelesaikanya



7) Fisabilillah - Orang yang berjuang di jalan Allah.



8) Ibnus sabil - Musafir yang terputus bekalannya semasa di perantauan


Selain dari golongan 8 asnaf ini, mereka TIDAK LAYAK untuk menerima wang zakat.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 

Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Thursday 26 July 2012

Tabung Haji beli hartanah RM775 juta di London sebagai pelaburan



Kuala Lumpur: Sebuah bangunan pejabat premium di 10 Queen Street Place, London dikenal pasti sebagai antara hartanah pertama yang akan dibeli Lembaga Tabung Haji di pusat bandar raya berkenaan. 



Difahamkan bangunan itu akan dibeli daripada pemiliknya Jaguar Capital pada harga 155 juta (RM775 juta). 

Sumber berkata, untuk tujuan itu, Tabung Haji akan bekerjasama dengan bank berlandaskan syariah, Gatehouse Bank dan penyedia perkhidmatan hartanah global, Savills plc untuk memuktamadkan pembelian bangunan pejabat yang mempunyai keluasan keseluruhan 221,198 kaki persegi itu. 


Bangunan berkenaan kini menjadi ibu pejabat firma guaman terkemuka, SJ Berwin. 



Menurut laporan firma kaji selidik hartanah, CoStar Group, bangunan itu dipajak kepada SJ Berwin untuk jangka masa panjang iaitu ia akan tamat pada Disember 2025. 

CoStar berkata Jaguar Capital, pengurus dana dari Ireland membeli bangunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Thames Exchange, daripada Norwich Property Trust Ltd pada harga 146.25 juta pada 2008. 

Rundingan dimuktamad September ini 
Baru-baru ini, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata, pihaknya dijangka memuktamadkan rundingan bagi pembelian hartanah pertamanya di London itu menjelang September ini. 

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan hartanah yang akan dibeli itu. 

Ismee berkata pihaknya bercadang membeli bangunan komersial tetapi bukan hotel atau perumahan yang menawarkan pulangan sewaan munasabah dalam jangka panjang. 

Hartanah di UK sememangnya sudah lama berada dalam perhatian kami, katanya. 


(Berita Harian, 26 Julai 2012)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 25 July 2012

Larangan Bermuamalat dengan Riba (bahagian 2 dari 2)



Larangan Bermuamalat dengan Riba (bahagian 2 dari 2)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Larangan Bermuamalat dengan Riba (bahagian 1 dari 2)



Larangan Bermuamalat dengan Riba (bahagian 1 dari 2)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Tokoh Islam - Ibn Khaldun: Bapa Ekonomi dan Sosiologi - pembangunan dan tamadun


Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Itali, dan Sepanyol. Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibn Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, al'Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.Ibn Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya. Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa.
Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.Berhubung dengan keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain. Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.
Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil. Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul. Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.
Manusia dan Ekonomi
Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori ekonomi dan idea Ibn Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibn Khaldun tidak melihat fungsi utama manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.Dalam hal ini, Ibn Khaldun menekankan perlunya manusia menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat.
Teori Pengeluaran
Ibn Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.
Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang juga mengemukakan teori yang sama.
Teori Nilai, Wang dan Harga
Ibn Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori nilai diguna (use value) dengan nilai pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran."Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh, kata Ibn Khaldun.
Teori Pengagihan
Menurut Ibn Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan perkhidmatan awam. Menurut Ibn Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan. Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran.Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh peniaga antara harga jualan dengan harga belian. Namun begitu perbezaan antara kedua-dua harga itu.


---
Unit amanah Islam/dana patuh Syariah: www.unit-amanah-islam.blogspot.com

Tuesday 24 July 2012

Fatwa - Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Al-Rahn) Di Malaysia (Cadangan Kadar Upah Simpan Barang Gadaian)


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Penentuan Hukum Syarak Di Dalam Pelaksanaan Skim Pajak Gadai Islam (Al-Rahn) Di Malaysia (Cadangan Kadar Upah Simpan Barang Gadaian). Muzakarah telah memutuskan bahawa bersetuju menerima cadangan kadar upah simpan barang gadaian untuk skim al-Rahn seperti berikut :-
NILAI BARANG TEMPOH (BULAN) KADAR UPAH YANG DITETAPKAN GADAIAN ( % SEBULAN )
RM100.00 - RM1,000.00:3 bulan pertama 0.60% sebulan3 bulan berikutnya 0.70% sebulan
RM 1,001.00 - RM5,000.00:3 bulan pertama 0.65% sebulan3 bulan berikutnya 0.80% sebulan
RM 5,001.00 -RM10,000.00: 3 bulan pertama 0.80% sebulan 3 bulan berikutnya 0.95% sebulan
i) Sekiranya setelah tamat tempoh yang dinyatakan, barang gadaian tersebut masih gagal ditebus, persetujuan kedua-dua belah pihak perlu diperolehi bagi menentukan tempoh lanjutan dan kadar yang dikenakan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Kajian Hukum Insurans Am

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Kajian Hukum Insurans Am. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum ke atas Insurans Am adalah tidak diharuskan oleh Islam.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Fatwa - Hukum Membangunkan Tanah Wakaf Khas Dengan Pembangunan Selain Daripada Niat Asal Pewakaf

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Membangunkan Tanah Wakaf Khas Dengan Pembangunan Selain Daripada Niat Asal Pewakaf. Muzakarah telah memutuskan bahawa membangunkan tanah wakaf khas khususnya wakaf masjid dengan tambahan projek pembangunan atau beberapa penambahbaikan bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang boleh ditentukan oleh pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Fatwa - Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dankepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
     
  2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
     
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Keterangan/Hujah: 
  1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.
     
  2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:
a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.
b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.
c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Fatwa - Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah. Muzakarah menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Muzakarah berpandangan bahawa dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.
Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.
Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
  1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.
     
  2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
     
  3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.
     
  4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.
     
  5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
     
  6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.
     
  7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
     
  8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.
Keterangan/Hujah: 
  1. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa hokum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli-ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi 1/3.
     
  2. Ibn Hazm al-Zahiri berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan penurunan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu. Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.
     
  3. Wasiat Wajibah perlu dilihat dari segi maksud dan hikmah serta bagaimana pelaksanaannya kerana wasiat wajibah dilihat dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadap datuk atau nenek bersama anak yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup.
     
  4. Dalam sistem pembahagian pusaka Islam, cucu tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara dan ibu saudara. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini terutama sekali sekiranya mereka masih kecil. Lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan kehidupan.
     
  5. Dalam melaksanakan Wasiat Wajibah, harus mengambil pandangan Ibn Hazm az-Zahiri demi kepentingan keluarga terutamanya anak-anak yang menjadi yatim piatu.
     
  6. Sebahagian negeri tidak mengkanunkan pelaksanaan Wasiat Wajibah kerana ia tidak mengikut pandangan Mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya negeri-negeri memfatwakan kerana asas pelaksanaannya adalah maslahah dan kebajikan insan. Dalam situasi hidup pada hari ini, maslahah ahli-ahli waris yang dalam keadaan memerlukan tetapi terhalang daripada mendapat bahagian pusaka, perlu ditentukan mengikut Maqasid Syariyyah.
     
  7. Wasiat Wajibah boleh dianggap sebagai badal atau ganti kepada faraid. Oleh itu, pelaksanaannya juga perlu didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
Sumber: JAKIM


Fatwa - Kajian Semula Hukum Agihan Semula Zakat Secara Persendirian


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 teah membincangkan Kajian Semula Hukum Agihan Semual Zakat Secara Persendirian. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Dari aspek hukum syarak, keputusan yang telah dipersetujui pada Muzakarah kali ke -76 bertarikh 21-23 Nov 2006 adalah selaras dengan pandangan syarak dan tidak perlu dibuat sebarang pindaan.
     
  2. Sudah sampai masanya pihak berkuasa agama negeri memberi keutamaan kepada soal agihan kepada golongan asnaf yang layak. Isu pengagihan zakat secara persendirian yang berlaku lebih bersifat pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang terletak di bawah bidangkuasa negeri-negeri dan ia perlu dibincang dan diselaraskan dengan semua Majlis Agama Islam Negeri.
     
  3. Supaya pihak JAWHAR menjalankan kajian impak positif dan negatif terhadap agihan zakat yang dilakukan secara persendirian dan hasil kutipan yang diterima dan dibentangkan kepada semua Majlis Agama Islam Negeri.
Keterangan/Hujah: 
 
 
  1. Peraturan pelaksanaan zakat ini adalah di dalam bidang kuasa negeri dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hanya mengeluarkan keputusan dan pandangan dari segi hukum syarak sahaja.
     
  2. Isu mengenai hukum agihan zakat secara persendirian ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-76 pada 21-23 November 2006 dan Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
    a. “Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.
    b. Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”.
     
  3. Fatwa yang telah dikeluarkan dalam isu pengagihan zakat secara persendirian ini adalah jelas dari aspek syarak dan ia tidak memerlukan sebarang pindaan. Isu yang berlaku lebih bersifat pelaksanaan dan penguatkuasaan, dan ia perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa negeri.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

Fatwa - Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.
     
  3. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebuttidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.
     
  4. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagaigolongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Fatwa - Parameter Pelaburan Emas


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:
Syarat Umum Jual Beli

1. Transaksi jual beli emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh Syarak, iaitu pihak yang berakad, item pertukaran, dan sighah menurut ’uruf yang diamalkan. Jika sekiranya suatu transaksi tidak memenuhi salah satu rukun jual beli, transaksi tersebut dikira tidak sah.
Pihak Yang Berakad

2. Pihak yang berakad mestilah orang yang mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud) iaitu dengan memenuhi kriteria berikut:

i. Baligh, berakal dan rasyid

Jika sekiranya pihak yang berakad seorang yang gila atau kanak-kanak samada mumayyiz atau tidak mumayyiz, maka jual belinya adalah tidak sah. Akad oleh kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak sah kerana jual beli ini melibatkan barang yang tinggi nilainya.

ii. Keredhaan

Akad jual beli mestilah dimeterai oleh dua pihak yang saling reda-meredhai, tanpa ada unsur paksaan, tekanan dan eksploitasi.
Harga Belian (al-Thaman)

3. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)

4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
5. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
6. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:

i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.

ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.

iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah

7. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi

10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.

ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh

11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:

a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.
Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:

a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.
Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
 
Syarat Kedua: Secara Lani 

15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:
Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.

ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.

iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.

iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibahtersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.

20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com