Terkini

Tuesday 24 July 2012

Danainfra terbit sukuk biaya projek MRT Sungai Buloh-Kajang



DANAINFRA Nasional Bhd dijadualkan membuat terbitan bahagian pertama sukuk bernilai RM8 bilion bagi membiayai sebahagian projek Transit Aliran Pantas Sungai Buloh-Kajang (MRT Sungai Buloh-Kajang) pada 20 Julai ini. 



Pegawai Utamanya, Fazlur Rahman Ebrahim (gambar), berkata terbitan pertama dalam bentuk Program Nota Jangka Sederhana (IMTN) itu akan membabitkan sehingga RM2.4 bilion dengan tempoh matang 10, 12 dan 15 tahun.



Beliau berkata, berdasarkan unjuran Danainfra, projek itu memerlukan pembiayaan tambahan pada suku keempat 2012 yang mana terbitan bahagian kedua bernilai sehingga RM1.5 bilion dijangkakan Oktober depan. 

Bagaimanapun, katanya kos sebenar projek MRT itu hanya akan dapat ditentukan hujung tahun ini selepas semua pakej tender dianugerahkan, katanya selepas majlis pemeteraian bagi program terbitan sukuk atau bon Islam itu antara Danainfra dengan empat bank utama di Kuala Lumpur, semalam. 


Danainfra, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan ditubuhkan khusus bagi mendapatkan pembiayaan untuk membiayai projek infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan. 

Fazlur berkata, setakat ini 33 pakej kerja bernilai RM15.5 bilion untuk projek MRT sudah dianugerahkan kepada kontraktor, dengan baki 52 dianugerahkan hujung tahun ini. 

Sementara itu, empat bank yang menyertai program terbitan sukuk itu ialah CIMB Investment Bank Bhd, AmInvestment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd. 
CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, manakala CIMB Islamic Bank Bhd penasihat Syariah program pembiayaan Islam itu. 

Danainfra turut melantik sebanyak lima lagi bank lain sebagai pengurus aturan bersama iaitu Affin Investment Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd, HSBC Bank Bhd dan Standard Chartered bank Bhd. 

Prokhas Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan kepada Danainfra. Fazlur juga adalah Pengarah Urusan Prokhas. 

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment