Terkini

Sunday, 19 August 2007

Memahami prinsip darurat dalam muamalah

DEWASA ini, wujud kecenderungan di kalangan umat Islam untuk memperlonggar dan mempermudahkan hukum agama khususnya dalam urusan muamalah yang sudah sememangnya bersifat mudah dan anjal. Atas alasan darurat umpamanya, ada yang menggunakannya sebagai bahan justifikasi untuk menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan secara jelas dalam nas-nas syarak seperti dalam isu riba. Memang syariat Islam membenarkan prinsip darurat diguna pakai apabila berhadapan dengan keadaan terdesak hingga tidak memungkinkan individu melaksanakan tuntutan syarak secara sempurna. Dalam Islam prinsip darurat disebutkan sebagai salah satu kaedah fiqah yang masyhur iaitu “al-darurah tubih al-mahzurah” bemaksud apabila wujud keadaan mendesak (darurat) maka seseorang dibolehkan mengerjakan perkara yang terlarang (Imam Al-Sayuti, Al-Ashbah Wa An-Nazooir). Sebagai contoh Islam memberikan kelonggaran (rukhsoh) untuk memakan makanan haram seperti babi sesuai dengan kadar keperluaannya untuk kekal hidup apabila berhadapan dengan darurat iaitu keadaan terdesak yang tidak memungkinkannya untuk mendapatkan makanan halal. Hal ini bersandarkan kepada nas al-Quran: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang (yang ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (al-Baqarah: 173). Begitu jugalah dalam konteks muamalah maliah atau urusniaga kewangan, aspek darurat juga diguna pakai dalam keadaan tertentu yang benar-benar mendesak hingga tidak memungkinkan seseorang melaksanakan urusniaganya secara halal. Dalam hal ini ulama memperincikan prinsip dan garis panduan (dhawabit) yang harus diguna pakai dalam melaksanakan kaedah fiqah agar tidak berlaku sebarang penyimpangan mahupun penyelewengan. Ulama menyepakati bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal pasti apa yang dimaksudkan dengan darurat. Menurut Imam Al-Syatibi dalam kitabnya Al-Muwafaqat, darurat ialah keadaan yang terlalu mendesak hingga tidak memungkinkan seseorang untuk menjaga dan mempertahankan lima perkara pokok dalam syarak iaitu soal agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Ini bermakna apabila wujud keadaan terdesak yang boleh menjejaskan penjagaan lima perkara pokok ini, syarak mengizinkan seseorang itu melakukan perkara yang asalnya diharamkan. Walau bagaimanapun, kajian secara teliti harus dilakukan terlebih dahulu untuk memastikan semua pintu alternatif tertutup sebelum membuat keputusan bahawa darurat benar-benar wujud dan tidak dapat dielakkan (Majalah Al-Ahkam Al-Adliah, seksyen 22). Berpandukan garis panduan inilah maka darurat tidak seharusnya diguna pakai secara sewenang-wenangnya. Apatah lagi untuk menjustifikasikan sesuatu tindakan atau urusniaga yang jelas haram demi memuaskan gelojak nafsu manusiawi yang rakus. Dalam konteks inilah, bagi penulis, isu darurat tidak wajar diguna pakai dalam menjustifikasikan urusniaga secara riba khususnya dalam urusan perbankan dan pembiayaan. Mungkin ketika bank-bank Islam masih belum wujud atau tidak beroperasi secara menyeluruh, prinsip darurat masih relevan bagi mempermudahkan urusan orang ramai bermuamalah seperti pembiayaan keperluan harian mahupun dalam urusan perniagaan. Namun melihat realiti pertumbuhan industri perbankan dan kewangan Islam tempatan yang cukup hebat, tiada lagi alasan yang membolehkan prinsip darurat diguna pakai untuk terus berurusniaga secara riba dengan institusi-institusi kewangan konvensional. Ini kerana hampir keseluruhan produk-produk konvensional kini ditawarkan oleh institusi kewangan Islam menggunakan struktur dan kontrak alternatif berpaksikan syariat seperti kontrak jual beli (murabahah, bai‘ bithaman ajil), sewaan (ijarah, ijarah muntahiya bi tamleek), perkongsian (mudarabah dan musyarakah), gadaian (ar-rahn), jaminan (kafalah) dan hutang (qard al-hassan). Justeru, usaha bersepadu harus digerakkan untuk menyedarkan umat Islam mengenai kepentingan berurusniaga secara halal tanpa melibatkan elemen riba. Umat harus disedarkan bahawa memakan riba bolehlah dikategorikan sebagai antara yang paling besar dosanya di sisi Allah. Ini kerana al-Quran bukan sekadar menyatakan pengharaman riba malah menekankan bahawa Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap golongan yang masih meneruskan amalan riba (al-Baqarah: 279). Malah dalam sebuah hadis sahih riwayat Al-Hakim dinyatakan bahawa: Riba mempunyai 73 jenis. Yang paling ringan diantaranya menyamai kesalahan berzina dengan ibu kandung sendiri. Moga-moga peringatan ini dapat meningkatkan kesedaran umat untuk bermuamalah dengan perbankan Islam sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran deposit dan pembiayaan industri perbankan Islam. - (Dr. Asyraf Wajdi Dusuki-Utusan, 19 Ogos 07)

No comments:

Post a Comment