Terkini

Monday 4 August 2014

Malaysia: FPAM: Perancang Kewangan Mesti Berkelayakan, Miliki Lesen BNM Atau SC Utk Beri Khidmat

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pengguna yang memerlukan perkhidmatan perancang kewangan mesti memastikan mereka mendapatkan khidmat perancang kewangan yang berkelayakan dan memiliki lesen Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Seorang perancang kewangan yang sah mesti mempunyai pengalaman kerja tiga tahun dalam industri itu dan bukan hanya memiliki sijil atau kelayakan, kata Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM).

Semua pengamal perancang kewangan dan penasihat juga perlu memohon Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) daripada SC atau Lesen Wakil Penasihat Kewangan (FARL) daripada BNM.

Dalam sebuah rencana bertajuk "Saya mahu khidmat perancang kewangan, bagaimana mencarinya?", FPAM menawarkan beberapa panduan siapa yang harus dicari oleh pelanggan untuk mendapatkan khidmat perancang kewangan dan sama ada beliau memiliki lesen untuk menawarkan nasihat kewangan.

Sebagai contoh, ia menunjukkan bagaimana pelanggan boleh membezakan antara seorang perancang yang memiliki CMSRL dan seorang lagi Perancang Kewangan Bertauliah (CFP) serta siapakah yang harus ditemui untuk mendapatkan bimbingan dalam perancangan dan nasihat kewangan.

FPAM berkata bagi kebanyakan penduduk Malaysia, profesional perancang kewangan, sama ada perancang kewangan atau penasihat, biasanya mempunyai beberapa gelaran pada nama mereka seperti Perancang Kewangan Berdaftar (RFP), Perunding Kewangan Bertauliah (ChFC) dan CMSR yang biasanya membingungkan dan bukannya melegakan.

Ia berkata pelanggan harus sedar bahawa semua pemegang CMSRL mempunyai gelaran Perancang Kewangan Berlesen dan skop kerja mereka meliputi perancang kewangan menyeluruh dan mencadangkan penyelesaian yang bersesuaian.

"Mereka diberi hak untuk menandatangani rancangan kewangan anda," kata FPAM.

Pemegang FARL mempunyai gelaran Penasihat Kewangan dengan skop kerja mereka juga meliputi nasihat dan nasihat kewangan berkaitan insurans.

Lesen hanya diberikan sebaik sahaja mereka, sama ada memiliki sijil RFP, pensijilan Perancang Kewangan Islam atau sijil CFP diiktiraf antarabangsa.

"Semasa memilih perancang kewangan, anda perlu membezakan antara individu yang memiliki sijil perancang kewangan tetapi tiada lesen untuk menawarkan perkhidmatan, dan perancang kewangan yang memiliki kedua-dua sijil dan lesen.

"Oleh itu lebih baik anda memastikan perancang kewangan atau penasihat berlesen sebelum menggunakan perkhidmatannya. Ini mudah dilakukan secara dalam talian menerusi laman web BNM atau SC," kata persatuan itu.


(Bernama / 04 Ogos 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment