Terkini

Thursday, 21 August 2014

Malaysia: Pembiayaan Islam disasar 40 peratus sistem kewangan menjelang 2020

KUALA LUMPUR: Pembiayaan Islam di negara ini diunjur meningkat hingga 40 peratus menjelang tahun 2020 daripada kira-kira 26.9 peratus ketika ini berikutan pertumbuhan sistem kewangan Islam yang sungguh menggalakkan.
Pengarah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara Malaysia (BNM), Wan Mohd Nazri Wan Osman, berkata unjuran itu bagaimanapun bukanlah sesuatu yang seharusnya dicapai, tetapi lebih bersifat untuk menilai dan membuat jangkaan pertumbuhannya dalam tempoh tertentu.
Beliau berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran pertumbuhan tahunan untuk pembiayaan Islam tetapi unjuran itu bertujuan membantu pihak terbabit menilai sama ada persediaan negara adalah mencukupi atau tidak bagi menghadapi pertumbuhan sistem kewangan Islam.
"Ia bukan sasaran yang tinggi atau perlu dipenuhi, tetapi adalah visi kami mengenai bagaimana kewangan Islam seharusnya berkembang dan mencapai tahap peningkatan yang sepatutnya," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Pendidikan Kewangan Islam (IFE) di sini hari ini.
Hadir sama Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Sri Dr Zaleha Kamaruddin.
Persidangan IFE selama dua hari anjuran bersama BNM dan UIAM itu bermatlamat menghasilkan kurikulum untuk standard antarabangsa bagi kewangan Islam sebagai panduan untuk universiti itu menghasilkan graduan berkualiti dalam bidang berkenaan.
Ia menghimpunkan pembuat dasar, pelaksana, penyelidik dan pendidik untuk membangunkan kurikulum paling bertepatan untuk projek berkenaan.
Wan Mohd Nazri berkata, BNM berharap penganjuran persidangan IFE seperti itu mampu mengupas dan menghasilkan idea terbaik menghasilkan kurikulum bertepatan untuk menghasilkan graduan di bidang kewangan Islam yang memenuhi kehendak pasaran.
"Apa yang penting, pertumbuhan kewangan Islam yang diharapkan mestilah sejajar dengan kaedah atau kehendak yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Zaleha berkata IFE adalah satu daripada 16 projek permulaan bagi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) - Pendidikan yang mana UIAM dan BNM berperanan sebagai peneraju utama.
(BH Online - 21 Ogos 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment